KUALA LUMPUR — Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki melarikan seorang kanak-kanak perempuan dan melakukan amang seksual di Seri Kembangan, Serdang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata mangsa berusia sembilan tahun itu, dilarikan kira-kira jam 11 malam.

Katanya, ketika kejadian bapa kanak-kanak itu kebetulan berada berhampiran sedang bekerja manakala mangsa bermain bersama beberapa rakan tidak jauh dari situ.

“Bapa mangsa menyedari mangsa dilarikan seorang lelaki dan terus membuat aduan kepada polis.

“Sejurus kejadian, polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga asing berumur 35 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki bahan lucah dan tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata hasil ujian saringan air kencing suspek disahkan negatif.

Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga 29 September ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

BH ONLINE