SERIAN — Perjalanan balik dari kampung seorang wanita bersama dua anaknya berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas ke gaung.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi tadi di Kilometer 95 Jalan Kuching-Sri Aman, Serian ketika tiga beranak itu dalam perjalanan balik dari kampung di Betong ke rumah mereka di Kuching.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Neil Beginda, berkata kereta dinaiki terbabas ke sebelah kiri dan melanggar besi penghadang jalan sebelum jatuh ke gaung.
“Akibat kemalangan itu, wanita berusia 46 tahun patah pada tangan sebelah kiri, sementara anak lelakinya berusia lapan tahun yang duduk di bahagian belakang penumpang disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi anak wanita itu berusia 13 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
BH ONLINE