KUALA LUMPUR — Tiga buah kereta mengalami kerosakan selepas dihempap sebatang pokok ekoran hujan lebat di Jalan Besar, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar pukul 6.34 petang tadi.

Katanya, sembilan anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan penyelamat di lokasi kejadian, didapati terdapat sebatang pokok telah tumbang dan menghempap tiga buah kenderaan.

“Anggota membuat tindakan dengan menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok yang menghempap kenderaan dan menghalang lalu lintas di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga turut membantu semasa menangani insiden berkenaan.

“Tiada mangsa yang terbabit dengan insiden ini dan operasi tamat pada pukul 7.39 malam,” katanya.

BH ONLINE