KALABAKAN — Seorang pekerja ladang dikhuatiri maut selepas disambar buaya ketika sedang memancing bersama rakannya di sungai berhampiran Ladang Palm Rides, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.24 malam sebelum lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 105 kilometer (km) itu untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, rakan mendakwa melihat mangsa dibaham buaya semasa mereka menjalankan aktiviti memancing di sungai itu.

“Operasi SAR hari kedua dimulakan jam 8 pagi tadi, bersama agensi penyelamat lain dengan radius pencarian meliputi sejauh 3.2km dari lokasi terakhir mangsa dilihat dibaham buaya.

“Setakat petang tadi mangsa berusia 36 tahun belum dijumpai sebelum operasi pencarian ditangguhkan dan akan disambung semula esok,” katanya.

Operasi SAR turut membabitkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai dan PBS Kalabakan, Jabatan Hidupan Liar (JHL), Agensi Pertahanan Awam (APM) serta penduduk setempat.

BH ONLINE