TEHRAN — Gerakan penentangan Lubnan Hizbullah secara rasmi mengesahkan Mohammed Afif Al Nabulsi, ketua perhubungan medianya terbunuh dalam serangan udara Israel di tengah Beirut.

Dalam kenyataan pada awal pagi Isnin, Hizbullah mengucapkan takziah kepada Setiausaha Agung Naim Qassem, pejuang penentangan dan keluarga Al-Nabulsi atas kesyahidan beliau.

Mohammad Afif Al-Nabulsi, yang bertanggungjawab terhadap hubungan media Hizbullah, bersama beberapa rakannya syahid dalam pengeboman rejim Zionis, kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa dia adalah suara yang setia, kuat, dipercayai dan satu tonggak utama aktiviti media, politik dan penentangan Hizbullah.

Pergerakan itu berkata, Afif dengan jelas menggariskan ciri-ciri perang yang sedang berlaku dengan penampilan langsungnya di pinggir bandar selatan Beirut yang menjadi titik tumpuan pengeboman Israel ke atas ibu negara Lubnan.

Hizbullah menambah, kedudukan berani Afif menimbulkan rasa takut di hati musuh kerana dia tidak pernah takut dengan ancaman untuk membunuhnya dan membalas ugutan musuh dengan ungkapan terkenal “Kami tidak takut pengeboman, bagaimana kami boleh takut dengan ancaman”.

Serangan Israel pada Ahad menyasarkan sebuah bangunan di daerah Ras Al-Naba’a di Beirut, mengakibatkan pembunuhan ketua perhubungan media Hizbullah.

IRNA