KUALA LUMPUR — Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendakwa beliau percaya ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho (Jho Low) kini bersembunyi di Myanmar yang bergolak.

Muhammad Shafee, peguam utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan perkara itu pada forum bertajuk ‘Media Townhall: Getting the Facts Right-The Untold Stories of 1MDB & Other Cases’ hari ini.

Beliau menyimpulkan perkara itu berdasar soal balasnya terhadap bekas penasihat undang-undang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, yang pernah dianggap sebagai proksi Jho Low.

Jasmine yang menghilangkan diri pada 2018 sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa tahun lalu, menjadi saksi penting dalam perbicaraan rasuah Najib membabitkan penyalahgunaan dana 1MDB bernilai berbilion ringgit.

“Daripada keterangan Loo yang saya soal siasat, saya rasa dia (Jho Low) berada di Myanmar dan dilindungi oleh jeneral-jeneral di sana.

“Ini kerana Low mampu mendapatkan pasport untuk Loo dan membolehkannya masuk ke Myanmar tanpa menggunakan pasport Malaysia.

“Loo mengembara menggunakan pasport Myanmar dan dia mengesahkan bahawa Jho Low yang mengatur dokumen itu.

“Ketika ini, Myanmar seperti ‘negara koboi.’ Anda boleh melakukan pelbagai perkara di sana,” katanya ketika menjawab soalan peserta forum itu.

Menurut keterangan Loo dalam perbicaraan, dia memasuki Myanmar pada 2019 dan kekal di sana selama empat tahun sambil berunding dengan pihak berkuasa Malaysia untuk kepulangannya pada 2021.

Bagaimanapun Loo menjelaskan bukan perkara mudah memasuki Myanmar kerana dia ditahan tentera Myanmar sebaik tiba di negara itu dan ia memberi tekanan kepadanya.

Bekas peguam itu turut berkata dia membawa pasport, tetapi pasport itu tidak dicop kerana dia menggunakan dokumen perjalanan lain yang diatur oleh Jhow Low untuk menunjukkan dirinya sebagai warga tempatan.

BH ONLINE