BEIRUT — Serangan Israel melanda selatan Lubnan dan pinggir ibu kota Beirut pada Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya lima pegawai perubatan, ketika tentera darat bertempur dengan pejuang Hizbullah di selatan.

Israel meneruskan kempen ketenteraan sengit menentang kumpulan bersenjata Hezbollah disokong Iran, mengurangkan harapan usaha oleh utusan Amerika Syarikat (AS) boleh membawa kepada gencatan senjata.

Pengantara AS Amos Hochstein berkata awal minggu ini di Beirut, gencatan senjata “dalam genggaman kami.” Dia meneruskan perjalanan untuk bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel Katz sebelum kembali ke Washington, menurut akhbar Axios.

Perjalanannya bertujuan untuk menamatkan lebih setahun permusuhan antara Israel dan Hizbullah di sepanjang sempadan selatan Lubnan, yang meningkat secara mendadak apabila Israel meningkatkan serangannya pada akhir September dan menghantar tentera darat ke Lubnan pada 1 Okt.

Tentera Israel telah memerangi Hizbullah di seberang bandar di sepanjang sempadan dan minggu ini mendorong lebih dalam ke pinggir Khiyam, sebuah bandar kira-kira enam km (empat batu) dari sempadan. Hizbullah berkata ia telah menembak roket ke arah tentera Israel di timur Khiyam sekurang-kurangnya empat kali pada Jumaat.

Sumber keselamatan Lubnan memberitahu Reuters, tentera Israel juga telah mara di beberapa kampung di barat. Mereka berkata Israel berkemungkinan besar cuba mengasingkan Khiyam menjelang serangan besar ke atas bandar itu.

Serangan Israel ke atas dua kampung lain di selatan Lubnan mengorbankan sejumlah lima pegawai perubatan daripada pasukan penyelamat yang bergabung dengan Hizbullah, kata kementerian kesihatan Lubnan.

Lebih 3,500 orang yang terbunuh akibat serangan Israel sepanjang tahun lalu termasuk lebih 200 pegawai perubatan, kata kementerian kesihatan.

Israel berkata matlamatnya adalah untuk memastikan kepulangan puluhan ribu orang yang dipindahkan dari utara Israel akibat serangan roket oleh Hizbullah, yang mula melepaskan tembakan rentas sempadan untuk menyokong Hamas pada permulaan perang Gaza pada Oktober 2023.

Israel juga melancarkan lebih banyak serangan ke atas pinggir bandar selatan Beirut, kubu kuat Hizbullah yang pernah padat dengan penduduk.

Ia mengeluarkan arahan pemindahan di platform media sosial X untuk beberapa bangunan di kawasan itu pada Jumaat.
Rakaman Reuters menunjukkan salah satu serangan kelihatan menembusi tengah bangunan bertingkat, menyebabkan keseluruhan struktur tumbang dalam kepulan asap yang besar.

AN-REUTERS, 22 Nov 2024