KUCHING — Seorang paderi ditemui lemas dalam keretanya yang terbabas ke dalam parit di belakang Dewan Serbaguna Persatuan Foo Chow di Kapit ketika banjir melanda kawasan berkenaan awal pagi tadi.

Kereta dipandu lelaki berkenaan, Bangau Amping, 75, dipercayai terbabas dan tenggelam dalam parit sebelum kejadian disedari orang awam apabila banjir kilat akibat limpahan Sungai Batang Rajang itu mulai surut.

Bomba menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.15 pagi tadi yang memaklumkan penemuan sebuah Proton Saga di dalam parit sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diarah ke lokasi terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata arus sangat deras menyukarkan anggota untuk memeriksa kenderaan, namun selepas dihampiri, didapati seorang lelaki terperangkap di dalamnya.

“Anggota bomba memecahkan cermin kenderaan dan mengikat badan mangsa menggunakan tali untuk mengeluarkannya. Selepas berjaya dikeluarkan, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan di dalam kenderaan mengesahkan hanya mangsa berada dalam kereta itu,” katanya.

Sementara itu, katanya, beberapa kawasan di Kapit dilanda banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat pagi ini, antaranya Selepong 3 Jalan Selirik, Bukit Goram, Simpang Utong, Taman Buluh Perindu dan Rumah Panjang Engking.

BH ONLINE