PASIR MAS — Bandar Kota Bharu sudah dinaiki air sedalam kira-kira dua meter berikutan air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja yang melimpah sejak 12 tengah malam tadi dan menunjukkan trend menaik.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata polis sedang melakukan persediaan untuk memindahkan mangsa banjir sekiranya menjejaskan pusat pemindahan sementara (PPS) sedia ada.
“Limpahan air sungai berlaku kerana air pasang di tempat lain dan bertembung dengan air Sungai Kelantan,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Balai Polis Repek di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Yusoff mengingatkan bahawa bencana banjir bukanlah pesta air untuk orang ramai berseronok dan mandi-manda.
“Sekali lagi saya mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa berwaspada dan mengawasi anak-anak mereka di musim banjir ini. Kita tidak pasti ada lubang, parit, longkang dan sebagainya,” katanya.
Tinjauan Bernama di pusat bandar Kota Bharu petang ini mendapati kebanyakan jalan sudah dinaiki air susulan limpahan air dari Sungai Kelantan.
Beberapa laluan utama di Kota Bharu juga terjejas dan tidak boleh dilalui kenderaan buat sementara waktu.
BH ONLINE-BERNAMA