TANJUNG MALIM — Polis menembak mati dua lelaki disyaki ahli kumpulan samun bersiri selepas mengejar kereta suspek sejauh empat kilometer (km) dan berbalas tembakan berhampiran susur keluar Jalan Proton City-Tanjung Malim di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata kejadian jam 5.20 pagi tadi menyaksikan polis menembak mati dua suspek masing-masing berusia 29 dan 37 tahun, bagi mempertahankan diri.

Terdahulu, katanya, pasukan rondaan cegah jenayah Op Casa Muallim dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengarahkan sebuah kereta Proton Persona dinaiki suspek berhenti untuk pemeriksaan, selepas dikesan dipandu secara mencurigakan.

Bagaimanapun, jelasnya, pemandu enggan berbuat demikian, sebaliknya terus memecut.

Zulkafli berkata, pasukan polis terus mengejar suspek sehingga Proton Persona terbabit terbabas, disusuli seorang daripada suspek melepaskan satu das tembakan dari dalam kenderaan dan mengenai kereta polis.

“Suspek berumur 29 tahun kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan satu lagi das tembakan yang terkena lampu kereta polis.

“Ia disusuli suspek kedua yang keluar dari kereta dengan memegang sebilah parang panjang dan cuba menyerang anggota polis di belakang.

“Polis bertindak mempertahankan diri dengan melepaskan dua das tembakan ke arah suspek pertama dan satu lagi tembakan pada suspek kedua yang menyebabkan kedua-dua suspek mati di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Slim River di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir.

Zulkafli berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis SIG Sauer, sebutir peluru 9mm dalam kelopak dan sebutir dalam ‘chamber’ (silinder peluru), dua bilah parang panjang, dua pasang sarung muka dan sarung tangan.

Turut dirampas, katanya, dua plat pendaftaran kenderaan dalam but, enam butir kelongsong peluru saiz 9mm dan satu pemotong besi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek adalah palsu manakala semakan mendapati suspek berusia 29 tahun mempunyai 20 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala suspek 37 tahun mempunyai tiga rekod jenayah.

“Polis masih meneruskan usaha mengesan beberapa rakan jenayah suspek yang masih bebas.

“Kita mengenal pasti kumpulan ini dianggotai empat ahli yang menjadi ‘mastermind’ (dalang) yang betul-betul aktif.

“Daripada empat ahli aktif ini, mereka akan bawa lagi orang lain membuat kerja secara berasingan untuk mengelak dikesan polis, dengan semuanya adalah warga tempatan,” katanya.

Zulkafli berkata, polis yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah rumah sekitar Tanjung Malim susulan tumpasnya ahli kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak awal 2023.

“Ketika melakukan samun ahli kumpulan ini dilapor sering kali mengeluarkan dialog antaranya ‘call (hubungi) polis, aku tak takut. Dia bukan boleh tangkap aku’ dan ‘jangan report polis, kalau report kami akan datang cari di tempat kerja kamu’.

“Dialog seperti itu bertujuan mengugut mangsa, maka ada kemungkinan mangsa terkesan dengan amaran atau ugutan ini,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

BH ONLINE