KUALA LUMPUR — Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang bertugas bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), menyumbang 80 beg sekolah untuk kanak-kanak di Hallusiyat, semalam.
Penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Komander MALBATT 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Shahbuddin, dalam satu majlis yang diadakan di Bangunan Perbandaran Hallusiyat.
MALBATT 850-12 dalam hantaran di Facebook, hari ini memaklumkan sumbangan diserahkan kepada Timbalan Datuk Bandar Hallusiyat, Hussein Berri.
“Sebanyak 80 beg sekolah disumbangkan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membantu komuniti setempat.
“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban keluarga yang terkesan akibat konflik di Lubnan, khususnya dalam menyediakan keperluan asas pendidikan kepada anak-anak,” katanya.
Sejurus majlis penyerahan sumbangan itu, katanya Firdaus turut menghadiri program MALBATT Medic Care Day yang diadakan di Sekolah Perubatan Imam Sader.
“Program ini menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma, memberi manfaat kepada penduduk setempat serta membantu memenuhi keperluan penjagaan kesihatan mereka.
“Seramai 73 penduduk hadir untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan pergigian sepanjang program itu,” katanya.
Tambahnya, program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk sesi mewarna yang mendapat sambutan hangat daripada kanak-kanak.
“Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti Civil-Military Cooperation (CIMIC) yang dijalankan oleh MALBATT 850-12.
“Aktiviti seperti ini mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan, memperkukuhkan hubungan baik antara pasukan pengaman dan komuniti setempat, serta meningkatkan keberkesanan misi pengaman di Lubnan,” katanya.
BH ONLINE