KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung isu buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ membabitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan berkenaan diserahkan pada 10 Januari lalu untuk arahan lanjut.

“Setakat ini, kita (polis) menerima sebanyak 182 laporan polis berkaitan isu terbabit.

“Dua kertas siasatan dibuka masing-masing mengikut Kanun Keseksaan dan kertas enkuiri polis (KEP),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.

Ahli Parlimen Segambut itu turut membuat laporan polis berhubung penyebaran mesej dan video memberi gambaran kononnya beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Islam atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

Yeoh dilapor berkata, laporan itu dibuat kerana menyifatkan video terbabit berniat jahat dan boleh menjejaskan proses rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan terhadap Musa berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara itu pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.

Saman itu difailkan pada 3 Julai 2020 mendakwa Musa dengan niat jahat membuat kenyataan tidak benar terhadap Yeoh pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’

Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.

BH ONLINE