DAMSYIK – Israel menyerang kawasan bandar Daraa di selatan Syria, lapor agensi berita negara SANA, dengan pemantau perang mengatakan serangan terbaru Israel menyasarkan tapak tentera.
“Jet pendudukan Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan sekitar bandar Daraa,” kata agensi berita rasmi SANA, tanpa segera memberikan butiran lanjut.
Pemantau, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, Israel menyasarkan tapak tentera yang pernah menjadi milik tentera presiden digulingkan, Bashar Assad tetapi kini digunakan oleh tentera pihak berkuasa baharu Syria.
Pemerhati berpangkalan di Britain itu melaporkan kebakaran berlaku, dengan ambulans bergegas ke tempat kejadian di tengah-tengah laporan kematian.
Sejak penggulingan Assad pada Disember, Israel telah melakukan ratusan serangan udara di Syria dan mengerahkan tentera ke zon penampan dikawal PBB di Dataran Tinggi Golan yang strategik.
Menteri Pertahanan Israel Israel Katz berkata tentera udara melakukan serangan ke atas Damsyik pada Khamis, dengan tentera mengatakan ia telah menyerang “pusat perintah” kumpulan Jihad Islam Palestin.
Pemerhati melaporkan satu kematian dalam serangan itu, dengan SANA berkata ia menyasarkan sebuah bangunan di ibu negara.
Tentera Israel berkata “pusat perintah itu digunakan untuk merancang dan mengarahkan aktiviti keganasan oleh Jihad Islam Palestin” terhadap Israel.
Sumber dalam Jihad Islam berkata sebuah bangunan milik kumpulan itu telah dihentam oleh jet Israel, sambil menambah terdapat “korban dan cedera” dalam serangan itu.
Ismail Sindawi, wakil Jihad Islam di Syria, memberitahu AFP bangunan disasarkan telah “ditutup selama lima tahun dan tiada sesiapa dari pergerakan itu yang sering mengunjunginya.” Israel hanya menghantar mesej, kata Sindawi.
Malah sebelum kejatuhan Assad, semasa perang saudara Syria yang meletus pada 2011, Israel melakukan ratusan serangan di negara itu, terutama ke atas tentera kerajaan dan sasaran berkaitan Iran.
AN-AFP, 17 Mac 2025