KUALA LUMPUR – Program komedi berdiri ‘Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter’ yang sepatutnya berlangsung malam ini dibatalkan berikutan ancaman diterima keluarga pelakon dan pelawak berusia 54 tahun itu.
Perkara itu didedahkan isteri kepada pelawak terbabit, Dr Jezamine Lim, yang memaklumkan keluarganya menerima ancaman sangat kejam terutamanya terhadap anak-anak mereka.
“Acara ini sepatutnya menampilkan pertunjukan pembukaan khas pertama oleh dua anak saya, Zander dan Zydane.
“Namun, ancaman bunuh yang saya terima minggu lalu membuatkan saya sangat bimbang mengenai keselamatan mereka,” kata Jezamine, yang juga pengurus Harith melalui kenyataan hari ini.
Menjelaskan ancaman diterima itu, Jezamine menegaskan tindakan mengancam keselamatan anak-anak yang tidak bersalah melampaui segala batas yang boleh dibayangkan.
“Ia perbuatan yang keji, penakut dan tidak berperikemanusiaan,” katanya sambil mengesahkan laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa dan siasatan polis sedang dijalankan.
Tambahnya lagi, tidak cukup dengan itu, ancaman ditambah dengan gangguan dalam talian yang tidak henti-henti daripada individu tertentu, yang akhirnya membawa kepada keputusan bersama untuk mengutamakan keselamatan berbanding meneruskan persembahan tersebut.
“Saya benar-benar kecewa dengan bagaimana mentaliti orang ramai yang tidak berfikir boleh mendorong sesetengah orang ke tahap yang ekstrem.
“Ya, anda berhak untuk tidak setuju atau merasa tersinggung dengan kata-kata seseorang – emosi adalah perkara biasa – tetapi untuk menjatuhkan diri sehingga mengancam keluarga seseorang, untuk menyasarkan anak-anak, bagaimana anda boleh membenarkan perkara itu,” katanya.
Terdahulu, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) memaklumkan mengenai pembatalan program ‘Punchline: Harith Iskander 35 Years Of Laughter’ sambil memohon maaf atas kesulitan berlaku.
Pembatalan berikutan satu kontroversi mengenai hantaran dikongsi pelawak itu di media sosial pada 21 Januari yang dikatakan mengandungi penghinaan terhadap Islam oleh pemilik akaun, Cecelia Yap Song KL serta Harith sendiri.
Pihak polis membuka siasatan susulan beberapa laporan polis dibuat terhadap hantaran itu.
Polis juga sudah merekodkan kenyataan Harith berkenaan isu tersebut dan satu laporan berasingan mengenai ancaman dibuat di balai polis Dang Wangi pada Selasa.
Dalam pada itu, Jezamine berkata keputusan pembatalan program itu dibuat secara bersama oleh Dewan Filharmonik Petronas dan keluarga.
Menurutnya, Harith meluahkan rasa kecewa yang mendalam berkenaan pembatalan terbabit, menegaskan bahawa ia bukanlah keputusan yang dibuat dengan mudah selepas beberapa bulan persiapan.
Mengambil kira pemahamannya tentang Islam, Jezamine mengingatkan pembaca tentang nilai belas kasihan dan rahmah.
“Saya diajar bahawa Allah menyuruh umat Islam untuk berbuat baik kepada semua orang, tidak kira tindakan atau status mereka.
“Kebaikan adalah satu sifat yang mencerminkan sifat Allah yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang,” tulisnya, sambil meluahkan kesedihan bagaimana kebencian telah menguasai sesetengah individu sehingga mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk mengganggu dan menyebarkan kebencian dalam talian.
BH ONLINE