KOTA BHARU — Seorang anggota polis cedera di kedua-dua belah lengan selepas diserang seorang lelaki menggunakan gunting pokok dalam kejadian di Kampung Kijang Badang, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dalam kejadian jam 1 pagi, ketika sepasukan polis dari Balai Polis Badang termasuk mangsa ke sebuah rumah selepas menerima maklumat berhubung kes khianat.

Katanya, pasukan mahu membuat tangkapan ke atas suspek berusia lingkungan awal 30-an.

“Suspek menyerang polis dengan menggunakan gunting pokok besar.

“Dia mencederakan kedua-dua belah lengan seorang daripada anggota. Suspek diarahkan untuk memberi kerjasama dan menyerah diri tetapi lelaki itu bertindak agresif serta menyerang polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk mempertahankan diri dan keselamatan awam, polis melepaskan satu das tembakan mengenai bahagian paha kiri suspek.

Katanya, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan dan dalam keadaan stabil.

“Suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 5 September ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 353 KK.

“Lelaki itu juga turut disiasat mengikut Seksyen 324 KK,” katanya.

BH ONLINE