MANILA — Angka kematian akibat ribut tropika Trami yang melanda Filipina minggu ini meningkat kepada 110, dengan sekurang-kurangnya 42 masih hilang, akibat banjir besar dan tanah runtuh, kata Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina pada Ahad.

Agensi bencana berkata Trami memberi kesan kepada lebih 5.9 juta orang di 16 wilayah di seluruh negara Asia Tenggara itu.

Trami, taufan ke-11 melanda Filipina tahun ini, meninggalkan jejak kemusnahan dengan banjir besar dan tanah runtuh di pulau Luzon, khususnya di wilayah Bicol dan Calabarzon, serta kawasan di tengah dan selatan Filipina.

Pihak berkuasa masih mencari 42 orang hilang yang sama ada tertimbus dalam tanah runtuh atau dihanyutkan banjir.

Pengawal Pantai Filipina berkata Trami juga menyebabkan lebih 8,000 orang terkandas di pelabuhan laut.

Dua hari selepas Trami keluar dari Filipina pada Jumaat, mangsa bencana masih terdesak menunggu makanan dan air bersih.

Sebahagian daripada mereka yang hilang tempat tinggal akibat banjir mula pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut pada Sabtu.

Kerosakan infrastruktur Trami dianggarkan mencecah 994.6 juta peso (16.98 juta dolar AS), manakala kerosakan pada pertanian ialah 1.432 bilion peso (24.5 juta dolar).

Filipina sedang bersiap sedia untuk menghadapi lebih banyak hujan berikutan impak satu lagi taufan tropika, Kong-Rey, yang dikesan 1,000 km ke timur Pulau Luzon pada Ahad.

Bergerak ke arah barat dengan kelajuan 20 km sejam, Kong-Rey membawa angin 75 km sejam dan tiupan sehingga 90 km sejam.

Biro cuaca negeri meramalkan Kong-Rey akan meningkat secara beransur-ansur dalam tempoh 24 jam akan datang dan mungkin mencapai kategori ribut tropika teruk pada Isnin dan kategori taufan pada Selasa.

“Siklon tropika ini juga mungkin mengalami peningkatan pesat,” biro itu memberi amaran.

Purata 20 taufan melanda Filipina setiap tahun.

XINHUA