TAWAU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Nurima Juli, 35, atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kematian bekas suaminya yang juga pemandu e-hailing, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, hukuman itu diputuskan selepas mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam bela dan Timbalan Pendakwa Raya selain turut mengambil kira objektif utama iaitu kepentingan awam, fakta kes dan keputusan-keputusan hukuman yang telah dibuat sebelum ini.
“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira tertuduh pertama mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula.
“Mahkamah juga mengambil kira fakta yang tidak dipertikaikan bahawa tertuduh adalah pesalah kali pertama, walaupun perlu dinyatakan bahawa beliau tidak menunjukkan rasa kesal tetapi sebaliknya cuba menjelaskan sebab-sebab beliau melakukan kesalahan yang menjadi subjek pertuduhan alternatif.
“Oleh yang demikian, mahkamah mendapati adalah wajar untuk memerintahkan supaya tertuduh pertama menjalani hukuman penjara selama 20 tahun,” katanya ketika membacakan keputusan di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan alternatif itu, tertuduh bersama adik tirinya Sadam Kiram, 30, melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.
Pada 26 April lalu, kedua-dua mereka didakwa di mahkamah sama dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Prosiding perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Muhammad Fakrurrazi Ahmad Salim manakala Peguam Mark Rosaidi Mohd Amin mewakili Nurima dan Peguam Jhassery P Kang mewakili Sadam.
Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, terhadap kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh kedua (Sadam Kiram) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dan menetapkan hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh pertama (Nurima) berkuatkuasa dari tarikh 26 April 2024.
Untuk rekod, Nurima sebelum ini adalah saksi utama pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh mangsa sama membabitkan bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain (B) bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat dan membunuh Nurman.
Bagaimanapun, pada 25 Januari 2024 lalu Mahkamah Tinggi Tawau membebas dan melepaskan semua lapan tertuduh terbabit selepas pihak pendakwaan memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas semua tertuduh berikutan pengakuan mengejut Nurima yang mengaku menikam bekas suaminya menggunakan gunting.
BH ONLINE