MUAR – Seorang buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuan tirinya di sebuah rumah kongsi ladang sawit, lima tahun lalu.
Tertuduh berusia 41 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah kongsi di Segamat, jam 11 malam, Jun 2020.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan tidak kurang 10 kali.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa dirogol ketika dia ereka tinggal bersama ibu serta adik beradik lain tinggal di rumah kongsi terbabit.
Siasatan awal polis mendapati, mangsa dirogol dua kali sebulan, namun tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana bimbang diapa-apakan.
Mangsa juga dilaporkan mahu keluar dari rumah kongsi itu tetapi dihalang ibunya kerana ketika itu masih bawah umur.
Sehinggalah pada awal bulan ini, rahsia dipendam mangsa selama lebih empat tahun akhirnya terungkai apabila menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya ketika datang ke rumah neneknya di Skudai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Safiah A Aziz.
Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan.
Selepas meneliti hujahan pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan dua penjamin.
Tertuduh kemudian membayar ikat jamin terbabit.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan supaya melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan saksi pendakwaan terutama mangsa.
Kes disebut semula pada 30 April ini untuk serahan dokumen.
BH ONLINE