Category: MALAYSIA

  • Ada kesan darah pada bilik air, bilik rumah Zayn Rayyan – Pegawai penyiasat kanan

    PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu ada kesan darah pada salah sebuah bilik dan bilik air ketika proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) dilakukan pasukan forensik di rumah kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, pada 9 Disember 2023.

    Pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, berkata beliau bersama pasukan forensik berada di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dan proses luminol dilakukan di rumah arwah Zayn Rayyan pada jam 9.30 malam.

    Sebelum ini, saksi ke-28 pendakwaan itu bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

    Mohd Hafizee memberitahu perkara berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, pada hari ke-17 perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa arwah, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

    Raja Zaizul Faridah: Apa proses luminol ini?

    Mohd Hafizee: Proses luminol adalah bertujuan untuk mendapatkan tindak balas kesan darah yang berada di sesuatu tempat kejadian.

    Raja Zaizul Faridah: Jadi ada ASP (Mohd Hafizee) membuat siasatan berkaitan perkara ini (luminol)?

    Mohd Hafizee: Saya telah menghantar semua ‘swabbing’ (calitan) yang diambil daripada pihak forensik… selepas dimaklumkan ada tindak balas darah, saya membuat siasatan untuk mengesahkan mengapa darah itu berada di dalam bilik dan juga bilik air. Hasil siasatan mendapati ada kesan darah di bilik nombor dua di rumah si mati (Zayn Rayyan), selain terdapat kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air.

    Raja Zaizul Faridah: Apa siasatan lanjut yang ASP buat?

    Mohd Hafizee: Saya ada merakam percakapan tertuduh. Hasil keterangan, tertuduh menyatakan si mati pernah berdarah di bahagian hidung dan kebiasaannya si mati akan mencalit kesan hingus atau hidung berdarah di kawasan dinding dalam bilik atau dalam rumah. Selain itu tertuduh, Ismanira ada juga menyatakan si mati pernah berdarah disebabkan terkena pisau cukur di dalam bilik air, namun (hasil ujian) DNA atau darah yang ditemui di dalam bilik air itu adalah milik tertuduh, Zaim Ikhwan, sebagaimana dalam laporan kimia.

    Bagaimanapun, saksi berkenaan tidak menjelaskan kepada mahkamah mengenai pemilik darah yang dikesan di salah sebuah bilik rumah itu.

    Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.

    Zaim Ikhwan dan Ismanira masing-masing berumur 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemui di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

    Perbicaraan di hadapan Syahliza bersambung esok.

    BH ONLINE

  • Kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh dari PPR

    KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam di kediamannya di PPR Batu Muda, Sentul, di sini, petang tadi.

    Berdasarkan maklumat penduduk, kanak-kanak berusia dalam lingkungan 12 tahun itu dilaporkan sedang bermain bersama adik-adiknya di dalam rumahnya.

    Seorang penduduk memaklumkan semasa sedang bermain, mangsa dilaporkan memanjat tembok sebelum terjatuh.

    “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta tidak sedarkan diri di bawah Blok C, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

    “Berdasarkan kecederaan yang dialami, ada pendarahan pada bahagian belakang kepala,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Pemerhatian di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan menerima panggilan pada jam 2.24 petang tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    “Pada masa ini kes masih dalam siasatan dan untuk peringkat awal, kita klasifikasikan kes sebagai Kematian Mengejut (SDR),” katanya.

    BH ONLINE

  • Lelaki kantoi rakam wanita hamil di pasar raya

    SEREMBAN – Tular di media sosial seorang lelaki ‘kantoi’ merakam video wanita mengandung, di sebuah pasar raya di Seremban 2, di sini, dipercayai digunakan untuk perbuatan tidak senonoh.

    Hantaran dibuat seorang wanita di media sosial mendakwa dia diekori seorang lelaki dalam lingkungan 20-an yang dilihat seolah merakam dirinya menggunakan telefon bimbit.

    Wanita itu memaklumkan ketika kejadian dia bersama anak-anak dan suami sebelum menyedari tindakan pelaku, namun pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa.

    Bagaimanapun, dakwanya, selepas diekori beberapa ketika dan lelaki berkenaan masih melakukan perkara sama, dia bertindak berjumpa suspek itu.

    “Rupanya ada beberapa video saya, siap ‘zoom’ belakang saya. Dan beberapa video perempuan mengandung yang lain.

    “Berpurdah pun ada. ‘Taste’ memang dengan orang mengandung. Video terpaksa dipotong atas tindakan seterusnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Menurut wanita itu lagi, dia sudah membuat laporan polis dan hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 20 tahun itu adalah penuntut universiti di sekitar Seremban.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

    BH ONLINE

  • Dua beradik maut dirempuh MPV di Felda Ulu Tebrau

    JOHOR BAHRU – Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, malam tadi.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan dan adiknya, Ammar Saifullah, 15.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata nahas kira-kira jam 9.50 malam itu membabitkan sebuah motosikal Honda yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bersama pembonceng, seorang wanita berusia 20 tahun.

    “Siasatan awal mendapati motosikal datang dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau sebelum dipercayai membelok ke kanan dan mengabaikan arahan lampu isyarat merah.

    “Pada masa sama, sebuah MPV yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun datang dari arah bertentangan dan dikatakan sedang bergerak terus kerana lampu isyarat berwarna hijau.

    “Pemandu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan motosikal berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan.

    Katanya, kedua-dua mangsa parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    BH ONLINE

  • Manarina Hasya syahid, dijemput Allah ketika menuntut ilmu – Bapa

    SEGAMAT – “Arwah pergi sebagai syahid akhirat, dijemput Allah ketika sedang menuntut ilmu,” demikian kata Muhammad Karim Sulaiman, 51, bapa kepada Allahyarham Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang maut dilanggar bas kelmarin.

    Sambil mengaku sudah kering air mata mengenang pemergian anak sulungnya itu, bapa kepada empat anak itu berkata, dia akhirnya reda dengan ketentuan Allah untuk dirinya serta ahli keluarga.

    “Sesiapapun tidak mahu kejadian ini berlaku namun takdir Allah kami reda dan menerima ketentuan Ilahi. Insya-Allah, Allah buat yang terbaik …apapun perancangan kita, lebih baik lagi perancangan dari Allah.

    “Dari situlah hati saya terbuka dan reda semuanya yang berlaku. Kita tahu bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, jadi ini menjadi ujian untuk saya, kena terima seadanya,” katanya selepas pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak malam tadi.

    Jenazah pelajar semester empat jurusan pemasaran selamat disemadikan pada jam 11.45 malam.

    Dalam pada itu, Muhammad Karim mengakui dia perasan perubahan terhadap arwah ketika sambutan Aidilfitri namun tidak menyangka ia berakhir dengan peristiwa ini.

    Menurutnya, Manarina Hasya adalah anak yang baik malah ketika Aidilfitri, arwah sangat rajin melakukan kerja rumah bukan seperti biasa.

    “Aidilfitri baru-baru ini, kami ada nampak perubahan pada arwah, menolong ibu bapa tanpa disuruh tapi kita tak perasan, dia buat kerja sampai habis, biasa kalau disuruh dia agak memilih.

    “Arwah tanya kami apa yang sepatutnya dia tolong untuk melakukan kerja di rumah dan akhirnya saya baru menyedari itulah yang terakhir daripada arwah,” katanya sambil menahan sebak.

    Sementara itu, ditanya mengenai adakah keluarganya akan mengambil tindakan undang-undang susulan insiden itu, Muhammad Karim berkata, dia menyerahkan sepenuh terhadap pihak universiti dan polis untuk menjalankan siasatan.

    Tanpa mengambil tindakan terburu-buru, dia percaya pihak universiti dan polis akan menjalankan siasatan sebaik mungkin.

    “Setakat ini pihak UUM ada siasatan tersendiri bersangkut paut dengan siasatan pihak polis, apa-apa keputusan bergantung kepada hasil siasatan kedua-dua pihak,” katanya.

    BH ONLINE

  • 90 peratus punca penyakit jarang jumpa, MND adalah sporadik

    KUALA LUMPUR – Lelaki dan individu berumur antara 40 hingga 70 tahun serta mereka yang mempunyai sejarah keluarga atau mutasi genetik tertentu berisiko lebih tinggi menghidap penyakit Motor Neuron (MND).

    Pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pakar Perunding Neurologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Prof Madya Dr Rabani Remli berkata kira-kira 90 peratus punca MND adalah sporadik, iaitu berlaku tanpa sebab yang jelas manakala lima hingga 10 peratus kes mempunyai komponen genetik, contohnya mutasi gen SOD1, C9orf72 dan beberapa lagi.

    Kadar prevalens dianggarkan lima hingga tujuh individu bagi setiap 100,000 populasi dan di negara ini, data masih terhad walaupun kes dilaporkan semakin meningkat.

    Dr Rabani berkata, persekitaran seperti pendedahan kepada bahan toksik, trauma kepala atau senaman fizikal ekstrem juga sedang dikaji tetapi masih belum terbukti sebagai punca langsung.

    “MND adalah satu kumpulan penyakit neurologi progresif yang menjejaskan sel saraf motor di otak dan saraf tunjang.

    “Sel ini penting untuk mengawal pergerakan otot secara sedar dan apabila ia rosak, otot akan menjadi lemah, mengecut dan akhirnya lumpuh.

    “Jenis yang paling biasa adalah Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) yang menyumbang lebih 80 peratus kes MND,” katanya, semalam.

    Menurutnya, simptom awal MND termasuk kelemahan otot secara perlahan-lahan dengan lazimnya bermula di tangan atau kaki, sukar menelan, suara menjadi sengau atau tidak jelas, kekejangan otot dan pengecutan otot kecil (fasciculations).

    Katanya, lama-kelamaan simptom itu akan merebak ke seluruh badan termasuk otot pernafasan dan setakat ini, tiada rawatan yang boleh menyembuhkan MND kecuali memperlahankan perkembangan simptom kemerosotan otot dan memanjangkan jangka hayat.

    Beliau berkata, rawatan MND adalah multidisiplin dan bertujuan memperlahankan perkembangan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup.

    “Rawatan sokongan seperti fisioterapi, terapi pertuturan, alat bantuan pernafasan (seperti BiPAP) dan pakar pemakanan adalah amat penting untuk penjagaan jangka panjang.

    “Penyelidikan sedang giat dijalankan di seluruh dunia termasuk terapi gen, sel stem dan ubat neuroprotektif yang baharu. Cuma buat masa ini, tiada kaedah pencegahan yang terbukti berkesan untuk MND kerana puncanya belum dikenal pasti sepenuhnya,” katanya.

    PENYAKIT TANPA UBAT

    Menyedihkan kerana belum ada penawar ditemui sehingga kini buat penyakit motor neuron (MND).

    Lebih membimbangkan penyakit jarang jumpa itu lebih kerap menyerang lelaki termasuk individu yang aktif bersukan.

    Legenda bola sepak tanah air Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari turut menderita penyakit itu sebelum meninggal dunia pada 11 Julai 1991.

    Ikuti perkongsian tiga pesakit dan pakar mengenai MND yang berbahaya kerana boleh membawa maut.

    DULU GAGAH TENDANG BOLA, KINI BUKA TUTUP BOTOL PUN TAK MAMPU

    “MEMANG sedih sebab penyakit saya ini tiada ubatnya dan kemungkinan hanya boleh hidup dalam tiga hingga empat tahun lagi tapi saya terima ini takdir,” kata Azham Fidaiy Azkar.

    Azham Fidaiy, 38, yang menetap di Bukit Katil, Melaka salah seorang penghidap MND yang mengubah hidupnya daripada normal hingga tidak kuat berjalan.

    Kesannya Azham Fidaiy terpaksa mengambil cuti sakit dan tidak dapat meneruskan khidmatnya sebagai penolong jurutera sejak Jun tahun lalu.

    Menurutnya, MND menyerangnya secara tiba-tiba tahun lalu kerana sebelum itu dia sihat, normal dan aktif bermain bola sepak pada waktu terluang.

    “Simptom awal saya alami adalah pada November 2023 bermula dengan lemah tangan kiri sampai nak angkat dan buka penutup botol pun tak boleh.

    “Mulanya ingat sakit itu disebabkan sengal saja, jadi ke klinik untuk periksa sebelum doktor beritahu kemungkinan ada masalah saraf.

    “Tapi semakin lama, badan saya bertambah lemah dan bila ke hospital, doktor periksa lebih lanjut serta sahkan saya ada MND pada Julai tahun lalu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Azham Fidaiy berkata, berat untuknya menerima ujian yang mengubah hidupnya itu namun tiada pilihan melainkan berdamai dengan takdir.

    “Selepas doktor beritahu saya ada penyakit itu, memang down, tak boleh terima kerana segala aktiviti terbatas sampai nak urus diri, mandi, makan dan tukar baju pun susah.

    “Nak menaip pun jari macam tak berfungsi kerana otot makin lemah sampai tertekan juga dan tiga hari termenung hingga hilang selera makan.

    “Lama-kelamaan saya dapat sesuaikan diri dan kini boleh terima sepenuhnya kerana sudah reda walaupun pergerakan tak macam dulu malah kena guna kerusi roda untuk berjalan jauh,” katanya.

    Dalam keadaan dirinya yang terbatas, Azham Fidaiy bersyukur kerana isteri dan anak banyak membantu menguruskan dirinya.

    “Pagi anak ke sekolah namun balik tengah hari, dia akan bantu suapkan makanan dan isteri tolong selepas pulang dari kerja.

    “Mereka faham saya tiada kudrat dan tak boleh nak bergerak, jadi setiap benda nak buat, mereka akan bantu.

    “Ada waktunya sedih juga kerana saya yang sepatutnya jadi hero buat anak dan isteri tapi sekarang sebaliknya. Tapi jauh di sudut hati, saya percaya ada penawar kerana Allah SWT sudah janji setiap pesakit ada ubat dan berharap diizinkan-Nya untuk sembuh,” katanya yang pernah mengikuti fisioterapi di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tun Abdul Razak, dekat sini.

    Sementara itu, isterinya Nurul Syahadah Borhan, 38, berkata, dia reda dengan ujian Ilahi dan berdoa diberi kekuatan serta kesabaran dalam menjaga pasangannya.

    “Suami tak minta jadi begitu tapi kita sekeluarga kena terima ketentuan dan saya berharap ada keajaiban buatnya.

    “Saya kongsi di TikTok pun dengan niat beri kesedaran yang MND wujud kerana ramai juga tak tahu mengenainya dan syukur ramai mendoakan suami.

    “Tapi komen negatif pun ada dan datang daripada individu yang menyalahkan vaksin.

    “Saya tak endahkan pun kerana apa yang penting nak suami tahu saya dan anak sayang dan akan terus beri semangat buatnya,” katanya.

    NAK PAKAI BAJU PUN AMBIL MASA SEBAB TANGAN TAK KUAT

    DALAM keadaan keliru dan emosi yang bercampur baur, Ahmad Nurzahid Mohd Yusoff sanggup berjalan sejauh 12 kilometer dari Hospital Kuala Lumpur ke rumahnya di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap penyakit penyakit Motor Neuron (MND), tiga tahun lalu.

    Kini Ahmad Nurzahid, 59, atau mesra disapa Zahid reda walaupun belum ada penawar bagi penyakit itu yang menyebabkan tangan dan kakinya menjadi semakin lemah.

    Menurutnya, dia seorang yang sangat aktif dan pernah terbabit dalam sukan ragbi, bola sepak, larian jarak jauh serta pelbagai aktiviti lasak ketika berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala sukan tinju pula diceburinya ketika menuntut di Maktab Tentera Diraja (RMC).

    Selepas bersara awal daripada perkhidmatan ATM, Zahid meneruskan kerjayanya di beberapa syarikat swasta.

    SEDAR ADA MND BILA TAK BOLEH BERSUKAN

    “Saya mula sedar ada masalah apabila tidak lagi mampu melakukan kerja harian dan menghadapi kesukaran untuk bersukan seperti biasa.

    “Masalah mula ketara ketika bermain golf apabila tangan saya tidak dapat menghayun dengan baik seperti sebelumnya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Dalam tempoh itu juga, doktor mengesyaki Zahid menghidap barah tiroid dan rawatan untuk penyakit terbabit menjadi keutamaan.

    Katanya, pembedahan pertama dijalankan pada 2019 diikuti pembedahan kedua pada 2020 bagi membetulkan peti suara.

    “Selepas mula jatuh sakit dan kesihatan semakin merosot, saya terpaksa berhenti kerja.

    “Selepas pembedahan itu, barulah saya memulakan rawatan berkaitan MND,” katanya.

    Zahid mengakui sedih dan bimbang apabila menerima perkhabaran mengenai penyakitnya kerana takut dengan apa yang bakal dihadapi.

    “Bila dah biasa aktif, kemudian jadi begini, memang mengejutkan. Saya pun ambil masa untuk terima kenyataan.

    “Mana tidaknya, keadaan ini benar-benar mengubah hidup saya. Saya suka berjalan dan melancong, tetapi selepas sakit, nak bekerja pun tak boleh.

    “Nak pakai baju pun ambil masa sebab tangan tak kuat. Tapi saya bersyukur kerana masih mampu berjalan walaupun tidak sekuat dahulu.

    “Sejak sakit, isteri, anak-anak dan adik-beradik menjadi sumber semangat utama saya untuk terus bertahan,” katanya yang juga datuk kepada dua cucu.

    Menyedari belum ada penawar bagi MND, Zahid hanya mampu mengikut nasihat doktor serta saranan berkaitan penjagaan diri, pemakanan dan senaman ringan yang boleh dilakukan.

    “Sampai sekarang belum ada ubat walaupun saya sangat berharap satu hari nanti akan ditemui penawarnya.

    “Jadi, apa yang saya boleh lakukan sekarang hanyalah kuat dan terus bertahan, itu sahaja.

    “Terima kasih kepada Persatuan MND Malaysia atas bantuan, nasihat dan sokongan moral yang diberikan, yang banyak membantu saya dalam menghadapi cabaran penyakit ini,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pelajar UUM maut dihimpit bas: Polis ambil keterangan dua pemandu

    ALOR SETAR – Dua pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan meragut nyawa pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhammad Karim, sudah diambil keterangan polis berhubung insiden berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata kedua-dua pemandu berusia 32 dan 37 tahun itu dibebaskan selepas keterangan diambil.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu bas berusia 32 tahun yang melanggar belakang sebuah lagi bas itu didapati negatif.

    “Pemandu terbabit hanya mengaku tidak perasan bas di hadapannya ketika kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengenai hasil laporan bedah siasat, Mohd Radzi berkata, Manarina Hasya, 22, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan lebam pada jantung (cardiac contusion) yang berpunca daripada hentakan kenderaan.

    Katanya, ia hasil laporan bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Manarina Hasya meninggal dunia pada jam 6.30 petang semalam akibat kecederaan parah di badan ketika mendapatkan rawatan di hospital.

    Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Johor dengan van jenazah Pusat Islam UUM pada jam 1.15 tengah hari tadi, sejurus selepas bedah siasat selesai dilakukan di HSB.

    BH ONLINE

  • Pegawai kanan polis ditahan di pusat hiburan, positif 4 jenis dadah

    KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, di sini, Jumaat lalu.

    Pegawai lelaki berpangkat Inspektor berusia 43 tahun itu diberkas kerana dipercayai berhibur dan mengambil jus disyaki mengandungi dadah di pusat hiburan terbabit.

    Menurut sumber, tangkapan dilakukan sekitar jam 5.05 petang hasil pemeriksaan mengejut yang dijalankan JSJN Bukit Aman selepas menerima aduan dan maklumat.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah, iaitu amfetamina, metamfetamina, ketamin dan benzo.

    “Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil dadah jenis minuman jus di pusat hiburan itu, dan bekalan dadah terbabit diperoleh daripada seorang lelaki warga tempatan di tempat berkenaan,” katanya.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan pegawai polis itu.

    “Kes disiasat Polis Selangor, dan pegawai itu direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Remaja didakwa rogol budak 10 tahun dalam tandas

    KOTA BHARU – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dalam tandas di sebuah kampung di sini pada November tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah tandas jam 1.30 tengah hari pada 21 November tahun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun serta sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh diwakili peguam, Muhammad Khairul Azwan Azhan.

    Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan serius dan mangsa baru berusia 10 tahun.

    Muhamamd Khairul Azwan bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan memandangkan tahanan reman tidak sesuai untuk anak guamnya yang masih remaja.

    Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM8,000 dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa. Mahkamah turut menetapkan 21 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

    BH ONLINE

  • Dua beradik didakwa miliki dadah

    KOTA BHARU – Dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 114 gram dadah disyaki ganja di sebuah bengkel di Kampung Seberang Pasir Mas, di sini, 6 April lalu.

    Wan Mohd Afiq Wan Kamal, 26, dan abangnya, Wan Mohd Ariff, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa memiliki dadah berbahaya disyaki ganja dengan berat kasar 114 gram di sebuah bengkel di Kampung Seberang Pasir Mas, di sini, sekitar jam 4.30 petang pada 6 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun atau sebat sehingga 10 sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan tiada jaminan ditawarkan.

    Mahkamah menetapkan 28 Mei sebagai tarikh sebutan semula dan laporan kimia.

    BH ONLINE

  • Dua anggota URB disyaki terima rasuah direman 6 hari

    GEORGETOWN – Dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan ketika menjalankan tugas di Bayan Baru, dekat sini, awal pagi semalam.

    Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin mengeluarkan perintah reman terhadap suspek yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia 28 dan 39 tahun bermula hari ini sehingga 26 April ini.

    Terdahulu suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang dalam keadaan tangan bergari diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga kira-kira jam 9.50 pagi.

    Menurut sumber, kedua-dua anggota itu dipercayai meminta wang suapan daripada pengadu yang dipercayai terbabit dalam kes dadah di sebuah pangsapuri di kawasan Bayan Baru kira-kira jam 3 pagi semalam.

    Difahamkan, pengadu menyerahkan wang sebanyak RM1,500 menerusi dua transaksi secara dalam talian sebagai balasan supaya dia tidak dikenakan tindakan selain motosikalnya miliknya turut disita anggota berkenaan.

    Kedua-dua suspek masing-masing ditahan di Balai Polis Bayan Baru pada jam 7.35 malam dan 9 malam tadi dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    BH ONLINE

  • Penuntut UUM maut dihimpit bas kemalangan dalam kampus

    SINTOK – Seorang penuntut perempuan Universiti Utara Malaysia (UUM) maut akibat kemalangan bas ketika berjalan untuk menaiki kenderaan itu dalam kampus universiti terbabit, di sini, hari ini.

    Dalam insiden sekitar jam 8.45 pagi, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, dari FELDA Chemplak, Labis di Johor, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah pada badan.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abd Rahim, berkata kemalangan berlaku di perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana kampus itu membabitkan dua bas.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah bas dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di perhentian bas untuk mengambil penumpang.

    Namun, beliau berkata, bas itu tiba-tiba dilanggar sebuah bas lain dari arah belakang yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.

    “Impak perlanggaran berkenaan menyebabkan bas yang berhenti itu menggelongsor ke hadapan lalu melanggar besi penghadang dan seterusnya menghimpit penuntut perempuan terbabit yang sedang berjalan menunggu giliran untuk menaiki bas yang melanggar itu.

    “Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di hospital itu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, UUM dalam satu kenyataan pula memaklumkan pihak universiti sedang menunggu laporan lengkap berhubung kemalangan berkenaan.

    Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata pihak universiti sudah mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM menghubungi polis bagi menyiasat insiden itu.

    Beliau berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan berkenaan.

    “UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan penuh yang diterima nanti,” katanya.

    BH ONLINE

  • Cuba serang orang ramai, lelaki tersungkur ditembak pengawal keselamatan

    KUALA LANGAT – Seorang lelaki yang disyaki bertindak agresif terhadap orang ramai dengan menggunakan senjata tajam, cedera selepas kakinya ditembak oleh seorang pengawal keselamatan.

    Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, di sini, hari ini.

    Berdasarkan rakaman video berdurasi 57 saat yang tular dalam laman sosial, beberapa individu dilihat menggunakan kerusi bagi mempertahankan diri daripada diserang lelaki itu.

    Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya tersungkur apabila seorang pengawal keselamatan melepaskan satu das tembakan pada kakinya.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

    Beliau berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung insiden itu.

    BH ONLINE

  • Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

    PASIR PUTEH – Seorang lelaki maut akibat dihempap pokok tumbang ketika menunggang motosikal di kawasan belakang Balai Polis Marin Tok Bali, di sini, hari ini.

    Mangsa, Ramli Mohd Rahim, 51, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tok Bali, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Fakarudin Abu Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden terbabit pada jam 4.18 petang.

    Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebatang pokok tumbang dan menghempap seorang lelaki dewasa bersama sebuah motosikal.

    “Anggota bomba kemudian memotong dahan pokok itu menggunakan gergaji berantai, dan berjaya mengalihkannya daripada badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE

  • Penoreh getah hilang 4 hari lalu ditemui lemas

    RAUB – Penoreh getah yang dilaporkan hilang empat hari lalu ditemui mati lemas kira-kira empat kilometer dari lokasi dia disyaki terjatuh di Pusat Rekreasi Jeram Besu di sini, pagi tadi.

    Mat Salleh Junoh, 63, dari Perumahan Tat Sega di sini, ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas menerima laporan dari anak lelaki mangsa pada Khamis lalu.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman, berkata mangsa dilaporkan hilang dari rumah kira-kira jam 7.20 pagi pada 15 April lalu.

    Katanya, anaknya menyedari kehilangan itu selepas mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza milik mangsa tiada di rumah.

    “Selain itu mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan MPV itu dijumpai di parkir Pusat Rekreasi Jeram Besu,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata, sebaik maklumat mengenai kehilangan itu dilaporkan pelbagai agensi polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan mencari mangsa.

    “Seramai 58 anggota keselamatan dan penyelamat terlibat dalam operasi ini termasuk bantuan penduduk kampung,” katanya.

    Che Adam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 11.30 pagi.

    BH ONLINE

  • 30 minit tahan sakit tangan tersangkut dalam lubang tandas

    KUALA NERANG – Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan kira-kira 30 minit selepas tangannya kanannya tersangkut di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Meranti di sini, pagi tadi.

    Kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki berusia 49 tahun itu cuba mengambil gigi palsunya yang terjatuh ke dalam lubang tandas berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Mad Khozali, berkata tangan mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang tiba tidak lama kemudian.

    “Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.04 pagi tadi.

    “Sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Rahim Mohd Rashid tiba di lokasi dan mendapati mangsa masih berada dalam tandas rumahnya dengan tangannya masih tersangkut.

    “Komander Operasi mengarahkan anggota memakai PPE lengkap dan memulakan tugas dengan memecahkan mangkuk jamban menggunakan peralatan khas. Operasi dilakukan sehingga tangan mangsa berjaya dikeluarkan.

    “Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan stabil. Operasi tamat jam 9.06 pagi,” katanya.

    BH ONLINE

  • Remaja lelaki terjatuh ketika memukat ditemui lemas

    BATU KAWAN – Seorang remaja lelaki yang terjatuh ke muara sungai ketika memukat dekat Jalan Batu Kawan menghala Jeti Batu Musang, di sini, petang semalam ditemukan mati lemas.

    Mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemui pada jam 5.45 pagi tadi dengan jarak 10 meter (m) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi sejak semalam.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

    Katanya, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan terbabit dalam operasi berkenaan dengan mendapat bantuan dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Butterworth.

    “Operasi dibahagikan kepada enam sektor pencarian menggunakan dua unit bot gentian kaca. Keadaan arus deras dan jarak penglihatan yang terhad menyukarkan penyelam melakukan pencarian secara menyeluruh yang menyebabkan operasi terpaksa dihentikan pada jam 6.10 petang semalam.

    “Kemudian operasi bersambung semula awal pagi tadi sebelum mangsa ditemui pada jam 5.45 pagi,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat bersama abang dan sepupu lelakinya di sungai berkenaan.

    Difahamkan mangsa menyelam ke dalam sungai terbabit bagi melepaskan jala yang tersangkut, namun tidak timbul menyebabkan abangnya menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE

  • Dua wanita maut selepas kereta dirempuh pikap

    BINTULU – Dua wanita maut, manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah pikap di lampu isyarat Jalan Paragon di sini, malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, mangsa terdiri Yiu Siew Lee, 34, dan Janam Ampar, 44, disahkan mati di lokasi nahas oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berkejar di lokasi kejadian dengan ambulans.

    “Dua lagi mangsa terdiri lelaki warga tempatan dan wanita warga asing turut dilaporkan mengalami kecederaan parah,” ujarnya.

    Pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit yang juga warga China, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 malam.

    “Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan yang mana terdapat dua mangsa masih lagi tersepit dalam kereta yang dinaiki.

    “Dua lagi mangsa dalam kereta sama berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam lalu sebelum kepada petugas KKM untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

    Pasukan bomba katanya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang masih tersepit di celah-celah kereta dengan menggunakan peralatan khas.

    Sejurus dikeluarkan, petugas KKM yang melakukan pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca sebenar nahas masih lagi dalam siasatan polis.

    BH ONLINE

  • Kelapa muda wangi Malaysia kini diminati di China – Jabatan Pertanian

    KUALA LUMPUR – Kelapa muda tempatan, khususnya varieti kelapa wangi seperti kelapa pandan yang beraroma unik dan manis, kini mendapat akses rasmi ke pasaran China menerusi satu protokol eksport baharu.

    Jabatan Pertanian dalam kenyataan hari ini menjelaskan, hanya kelapa muda bagi tujuan minuman segar sahaja dibenarkan dieksport ke China, dengan keutamaan kepada varieti kelapa wangi yang memiliki aroma pandan serta tahap kemanisan brix sekitar 6.7˚.

    Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, berkata protokol fitosanitari yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan China baru-baru ini, bakal melonjakkan pengeluaran kelapa muda berkualiti tinggi tempatan, khususnya untuk segmen pasaran premium luar negara.

    “Sebelum ini, eksport hanya berasaskan keperluan sijil fitosanitari tanpa protokol khusus namun kini kawalan biosekuriti dipertingkat dan elemen kebolehkesanan diwujudkan, sekali gus memperkukuh reputasi kelapa muda Malaysia di peringkat antarabangsa.

    “Malaysia menghasilkan 624,000 tan metrik kelapa pada 2023, dengan 6,000 tan metrik daripadanya adalah kelapa muda yang dieksport, permintaan yang dilihat akan terus meningkat susulan pembukaan pasaran rasmi ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Tiga negeri utama pengeluar kelapa di negara ini ialah Selangor, Johor dan Perak dengan 93 peratus kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil, manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5 peratus) dan agensi kerajaan (0.5 peratus).

    Mengikut rekod Jabatan Pertanian, dianggarkan seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara dan dari segi pengeluaran, pekebun kecil menyumbang lebih 80 peratus kepada jumlah pengeluaran negara, membuktikan penyertaan mereka serta sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah teras kepada pertumbuhan industri kelapa negara.

    Pada masa sama, lebih 278,000 tan metrik kelapa tua diimport untuk keperluan industri pemprosesan, seperti pengeluaran santan dan kerisik.

    Protokol baharu itu turut menetapkan keperluan ladang berdaftar, pematuhan kepada pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP) serta pelaksanaan sistem kawalan perosak bersepadu (IPM) sebagai prasyarat eksport.

    “Jabatan Pertanian turut menggesa lebih ramai pengusaha kelapa wangi, terutamanya kelapa pandan, untuk mengambil peluang ini dengan mendaftarkan ladang dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

    “Bantuan fizikal, insentif input, latihan serta pembangunan ladang turut disediakan di bawah pelbagai inisiatif termasuk RMKe-12 yang memperuntukkan RM16.25 juta bagi pembangunan industri kelapa dan benih berkualiti,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pemandu rentung, kereta langgar pembahagi jalan

    PENDANG – Pemandu ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 65.3 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara, di sini, malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Mohd Happyzam Abd Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 11.36 malam.

    Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak dan BBP Pendang yang diketuai Muhammad Muslim Al Mubarak tiba di lokasi pada 11.58 malam.

    Katanya, setibanya di lokasi, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi di sebelah kiri jalan.

    Katanya, kenderaan itu kemudian terbalik sebelum terbakar.

    “Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang mangsa di dalam kereta terbabit dan tindakan operasi kerja-kerja pemadaman dilakukan sehingga api berjaya dikawal pada 12.40 tengah malam.

    “Terdapat seorang mangsa berada dalam kereta terbabit dalam keadaan rentung, namun jantina serta identitinya belum dikenal pasti,” katanya.

    BH ONLINE