ad

Category: MALAYSIA

  • COVID-19: 1 kematian di Sabah, kes melonjak 356 peratus

    KOTA KINABALU – Satu kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan di Sabah pada minggu lalu.

    Menteri Penyelaras COVID-19 Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata kes kematian itu direkodkan di Kota Kinabalu pada minggu epidemiologi ke-50 bagi tempoh 10 Disember hingga 16 Disember lalu itu, manakala seramai 139 pesakit masih menerima rawatan di hospital seluruh negeri.

    Berdasarkan Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, katanya, ketika ini seramai empat pesakit memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

    “Secara keseluruhan, kes positif COVID-19 di Sabah melonjak 356 peratus kepada 984 kes sepanjang minggu lalu, berbanding hanya 216 kes pada minggu sebelumnya.

    “Semua kes yang dilapor membabitkan jangkitan tempatan dengan purata 86 kes baharu setiap hari, berbanding purata 19 kes sehari pada minggu sebelumnya.

    “Bilangan pesakit baharu COVID-19 dalam rawatan juga meningkat sebanyak 55 peratus kepada 133 kes minggu lalu berbanding 86 kes pada minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengikut daerah, Kota Kinabalu mencatat kenaikan tertinggi kes COVID-19 sepanjang minggu lalu dengan 413 kes baharu berbanding 86 kes pada 3 hingga 9 Disember, disusuli Penampang dengan 109 kes baharu berbanding 21 pada minggu sebelumnya.

    Kes di Tuaran meningkat kepada 100 berbanding 32 kes pada minggu sebelumnya, Putatan dengan 60 kes baharu minggu lalu berbanding hanya satu kes pada minggu sebelumnya, diikuti Kota Belud dengan 66 kes minggu lalu berbanding 15 pada minggu sebelumnya.

    Berikutan itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, menasihatkan orang ramai mengamalkan penjagaan kebersihan diri pada tahap optimum seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka di kawasan tumpuan awam, terutama oleh golongan berisiko dan bergejala.

    “Kepada mereka yang belum mendapatkan vaksin dos primer dan dos penggalak, bagi tujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan, dinasihatkan berhubung dengan Klinik Kesihatan yang berdekatan.

    “Golongan berisiko disaran mendapatkan rawatan antiviral Paxovid yang boleh diperoleh di Klinik Kesihatan berdekatan,” katanya.

    BH Online
  • Bekas peguam Anwar, pendakwa kes Najib seleweng dana SRC meninggal dunia

    KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah meninggal dunia petang semalam, pada usia 77 tahun.

    Anak lelaki Allahyarham, Huzir Sulaiman menyampaikan berita berkenaan, memaklumkan bapanya menghadapi beberapa masalah kesihatan, tetapi fikirannya tetap tajam dan cerdas, malah terus mewakili anak guam dan berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa serta panel penasihat.

    Jenazah peguam tersohor itu yang dilahirkan pada Julai 1946, dijadual dibawa ke Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz di Jalan Templer, Petaling Jaya untuk pengebumian tengah hari ini.

    Sebagai peguam, Allahyarham banyak terbabit dalam pelbagai kes besar, termasuk mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau juga dilantik oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas pada 2018 sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Pada 2009, Allahyarham mewakili Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang menuntut semula jawatan Menteri Besar Perak dalam apa yang dirujuk sebagai krisis perlembagaan di negeri berkenaan.

    Sulaiman mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley dan SK Francis Light sebelum pendidikan menengah di Penang Free School, semua di Pulau Pinang.

    Allahyarham adalah lulusan ijazah undang-undang dari University of Singapore atau kini dikenali sebagai National University of Singapore pada 1969 dan memulakan kerjaya dalam bidang guaman pada tahun sama.

    Beliau juga pemegang ijazah sarjana undang-undang dari University of London pada 1979, diploma undang-undang syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada 1992 serta pernah berkhidmat sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Malaya (UM) pada 1973 hingga 1984.

    Berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuk jenayah kolar putih, Sulaiman sering dilantik oleh pihak berkuasa agama Islam negeri dan Persekutuan dalam kes berprofil tinggi, antaranya mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam kes Lina Joy menukar agama Islam kepada Kristian.

    Allahyarham yang pernah menjadi setiausaha Badan Peguam Malaysia (1993-1995) dan juga Presiden Majlis Peguam (2000-2001), kehilangan isteri yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Allahyarhamah Mehrun Siraj yang meninggal dunia pada Jun 2021.

    BH Online
  • Guru agama didakwa lakukan amang seksual terhadap 5 pelajar lelaki

    BUTTERWORTH – Seorang guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar lelaki di sebuah pusat pengajian tahfiz, antara September 2022 hingga Jun lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas lima kertas pertuduhan dibacakan berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun.

    Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah sewa di Tasek Gelugor pada jam 3 pagi, Jun lalu.

    Sementara, pertuduhan kedua hingga kelima pula, tertuduh yang sudah berumahtangga didakwa melakukan perkara sama terhadap empat lagi pelajar lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di asrama tingkat bawah pusat tahfiz di Padang Menora, Tasek Gelugor antara Januari hingga September 2022.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan akan dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Bagi hukuman bagi Seksyen 16 akta berkenaan tertuduh boleh dipenjara lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang dua kali.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Imran Farouk.

    Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun dalam rayuan Mohd Imran meminta mahkamah memberikan ikat jamin atas alasan anak guamnya perlu menyara keluarga.

    Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapinya, selain dikenakan syarat tambahan dengan tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Kes akan disebut semula pada 17 Januari depan untuk serahan dokumen.

    BH Online
  • Kronologi kes calon SPM dilanggar mati berhampiran sekolah

    IPOH – Berikut adalah kronologi kes kematian pelajar Tingkatan Lima yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, akibat dilanggar kereta berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, pada Jumaat lalu.

    12.05 tengah hari 15 Disember:

    – Insiden berlaku ketika ibu bapa mahu mengambil anak pulang dari sekolah, selain lokasi terletak berdekatan masjid yang menjadi tumpuan orang ramai untuk solat Jumaat

    – Mangsa dikatakan ‘rem’ (memulas pendikit motosikal) sehingga menyebabkan bunyi bising dari ekzos motosikal yang difahamkan kepunyaan rakannya

    – Ia didakwa mencetuskan kemarahan suspek yang difahamkan sedang menunggu untuk mengambil isterinya yang juga guru di SMK Jati, iaitu tempat mangsa bersekolah

    – Isteri suspek didakwa menyifatkan suaminya itu sebagai ‘panas baran dan tidak boleh mendengar orang rem motosikal’

    – Kereta dipandu suspek didakwa mengejar motosikal ditunggang mangsa sejauh kira-kira satu kilometer di kawasan sekitar, sebelum melanggarnya

    – Kakak mangsa yang juga jururawat dan kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian sempat memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa yang separuh sedar akibat kecederaan parah

    – Bapa mangsa yang berniaga di restoran berhampiran turut hadir ke lokasi

    12.40 tengah hari 15 Disember – Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans yang tiba di lokasi

    6.30 petang 15 Disember – Proses bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dengan kematian mangsa didapati berpunca daripada kecederaan pada bahagian dada dan perut akibat kemalangan jalan raya

    8.00 malam 15 Disember – Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar

    16 Disember

    – Keluarga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. Kakak mangsa turut memberi keterangan sebagai saksi

    – Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, memaklumkan tujuh individu sudah tampil memberi keterangan

    17 Disember

    – Mohd Yusri mengesahkan suspek yang juga pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan, negatif atau bebas pengaruh dadah

    – Keluarga mangsa mengesahkan sudah melantik peguam bagi menuntut pembelaan atas kematiannya

    – Mohd Yusri kemudian mengesahkan pihaknya sudah merakam keterangan 22 saksi bagi membantu siasatan kes

    – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan bahawa suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 18 Disember mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

    18 Disember – Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh di hadapan Majistret S Punitha

    BH Online
  • PM bidas sikap hipokrit sesetengah negara tangani isu Israel-Palestin

    TOKYO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menekankan mengenai sikap hipokrasi dalam menangani krisis di Gaza oleh negara-negara yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia.

    Anwar berkongsi pandangan itu dalam wawancara eksklusif dengan kumpulan media utama Jepun, The Nikkei yang dikendalikan oleh wartawan Norman Goh di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun pada Ahad.

    Wawancara itu disiarkan di Nikkei Asia yang juga penerbitan utama Nikkei, Inc. dan akhbar kewangan terbesar di dunia.

    “Saya muak dengan hipokrasi ini. Ini bukan politik. Ini adalah isu kemanusiaan. Saya boleh katakan bahawa hipokrasi sedemikian (berlaku) di banyak negara yang kononnya mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.

    Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, konflik terkini yang bermula pada 7 Oktober lalu itu telah mengakibatkan kematian kira-kira 19,000 penduduk Palestin manakala lebih 50,000 lagi cedera.

    Perjanjian gencatan senjata yang berkekalan sukar dicapai apabila Amerika Syarikat menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Gaza yang menggesa “gencatan senjata kemanusiaan segera.”

    Anwar berkata isu kemanusiaan turut dialami di negara anggota ASEAN, terutamanya berkaitan dengan pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

    Beliau menekankan mengenai usaha yang dijalankan oleh ASEAN menerusi konsensus lima perkara untuk mencari penyelesaian terhadap isu di Myanmar.

    Mengulas mengenai ketegangan di Laut China Selatan dengan beberapa negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia yang terbabit dalam tuntutan wilayah yang bertindih dengan China, Anwar menekankan mengenai perlunya untuk mengelakkan persengketaan dan mengekalkan hubungan yang baik dengan China.

    “Tidak sewajarnya sesebuah negara membuat keputusan sepihak mengenai kedaulatan dan integriti wilayah. Dan kita sepatutnya berunding bersama dalam kalangan ASEAN atau secara dua hala,” katanya, lapor Nikkei Asia.

    Berkenaan dengan konflik China-AS, Anwar berkata memihak kepada mana-mana pihak tidak akan memberi manfaat kepada Malaysia dan rantau ini seharusnya kekal sebagai zon yang aman.

    Pendirian Malaysia adalah untuk menjadi rakan dan berinteraksi dengan semua pihak tanpa dilihat sebagai alat kepada mana-mana negara.

    BH Online memetik Bernama
  • Polis Perak nafi DSP diberi layanan istimewa

    IPOH – Selepas dikecam pelbagai pihak, polis menafikan bersikap dwidarjat atau ‘double standard’ berkaitan layanan terhadap pegawai kanan polis ketika didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh.

    Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, menjelaskan tiada layanan istimewa terhadap tertuduh berpangkat Deputi Superintendan (DSP) itu, sebaliknya kawalan ketat diambil untuk menjaga ketenteraman awam di kawasan mahkamah susulan kes berkenaan menarik perhatian umum secara meluas.

    Katanya, kawalan sebegitu juga prosedur biasa seperti pesalah biasa yang menghadapi perbicaraan membabitkan kes yang menarik perhatian ramai.

    “Malah, kita tak anggap kes ini sebagai kes berprofil tinggi. Dia (tertuduh) juga seperti mana pesalah biasa, cuma ia menarik perhatian dan kita perlu ada kawalan yang ketat.

    “Jadi tidak ada isu double standard. Seperti pesalah-pesalah lain, anggota polis yang mengiringinya dari balai untuk dibawa ke mahkamah, seterusnya dihadapkan kepada hakim adalah proses biasa,” katanya kepada pemberita sewaktu berkunjung ke kediaman keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa, di sini, hari ini.

    Hadir sama dalam kunjungan itu, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim.

    Terdahulu, ketika dibawa ke mahkamah, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran SMK Jati, Jumaat lalu diberikan kawalan ketat sekurang-kurangnya lima anggota polis lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap.

    Sebaik prosiding selesai, tertuduh dibawa keluar dari kawasan mahkamah diiringi lima kenderaan bercermin gelap milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Rata-rata pengamal media yang membuat liputan kes itu juga menyifatkan liputan kes terbabit tidak dapat dibuat secara bebas, tidak seperti kes-kes bunuh lain yang dituduh mengikut peruntukan undang-undang yang sama.

    Bagi prosiding di dalam mahkamah pula, hanya seorang pengamal media mewakili setiap agensi dibenarkan masuk kamar perbicaraan yang turut dikawal polis.

    Sementara itu, Azizi berkata, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kini ditahan di Penjara Taiping sementara menunggu sebutan semula kes pada 7 Februari depan.

    Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan siasatan kes kemalangan maut di Ipoh itu dijalankan dengan adil dan telus meskipun membabitkan pegawai kanan polis.

    BH Online
  • Besut daerah keenam dilanda banjir, satu PPS dibuka

    KUALA TERENGGANU – Besut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Terengganu, susulan pembukaan satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Sanggar Dato A Rahim Kampung Kayu Kelat malam tadi, bagi menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga.

    Setakat jam 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat sedikit dengan 2,693 orang dilaporkan terjejas, berbanding 2,622 mangsa daripada 637 keluarga di 36 PPS malam tadi.

    Semua mangsa daripada 654 keluarga kini ditempatkan di 37 PPS di enam daerah.

    Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,687 mangsa daripada 418 keluarga di 14 PPS.

    Ia diikuti daerah Setiu dengan 336 mangsa daripada 94 keluarga di lapan PPS.

    Tujuh PPS di Hulu Terengganu diaktifkan bagi menempatkan 282 mangsa daripada 64 keluarga.

    Di Marang, seramai 44 keluarga membabitkan 249 mangsa terjejas.

    Mereka ditempatkan di PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai, Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai, SK Pengkalan Berangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang.

    Di Kemaman, tiga PPS masih beroperasi bagi menempatkan 131 mangsa daripada 32 keluarga.

    BH Online
  • Mangsa banjir di Kelantan meningkat

    KOTA BHARU – Hujan berterusan menyaksikan mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 4,131 mangsa pagi ini, berbanding 3,832 mangsa malam tadi.

    Semua mangsa daripada 1,288 keluarga itu ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

    Sehingga jam 8.30 pagi ini, tiga daerah di Kelantan dilanda banjir membabitkan Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah.

    Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas merekodkan mangsa paling ramai iaitu 3,832 orang yang ditempatkan di 11 PPS.

    Tanah Merah mencatat 176 mangsa dan Kuala Krai dengan 92 mangsa, masing-masing ditempatkan di tiga PPS.

    BH Online
  • Kes COVID-19 Perlis naik 78 peratus

    KANGAR – Perlis merekodkan peningkatan 78 peratus kes COVID-19 sepanjang minggu epidemiologi dari 3 hingga 9 Disember lalu, dengan 57 kes dilaporkan berbanding 32 pada minggu sebelumnya.

    EXCO Kesihatan Perlis, Megat Hashirat Hassan, memaklumkan lonjakan 25 kes itu bagaimanapun tidak membabitkan pertambahan jumlah kemasukan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

    “Berdasarkan data Jabatan Kesihatan negeri, daripada 57 kes itu, 11 atau 19 peratus adalah kes import, manakala bakinya kes tempatan. Tiada lonjakan jumlah kemasukan ke wad HTF, hanya 14 kes atau 25 peratus sahaja diletakkan di bawah pemantauan hospital itu dan tiada di wad ICU.

    “Sebanyak 43 kes lagi atau 75 peratus berada di bawah pemantauan Pusat Penilaian COID-19 (CAC) Kangar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, sebanyak 41 kes atau 72 peratus pesakit dikesan dijangkiti COVID-19 menerusi saringan bergejala, manakala lapan kes atau 14 peratus dikesan melalui saringan survelan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

    Enam kes lagi atau 11 peratus dikesan menerusi saringan kontak rapat dan masing-masing satu kes atau dua peratus dikesan melalui saringan survelan klinikal ‘influenza-like ilness (ILI) serta saringan prakemasukan ke hospital.

    “Dengan peningkatan kes, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan seperti sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman.

    “Mereka yang mempunyai gejala dinasihatkan berehat di rumah dan tidak ke tempat tumpuan ramai, tetapi jika perlu juga, pakailah pelitup muka dengan cara yang betul bagi mengelakkan penularan jangkitan.

    “Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik dan imuniti rendah serta ibu mengandung juga digalakkan pakai pelitup muka. Sentiasa amalkan ‘Test, Report, Isolate, Inform dan Seek’ atau TRIIS sekiranya bergejala,” katanya.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan sekiranya gejala bertambah teruk, terutama golongan berisiko tinggi, manakala individu positif jangkitan itu dan berisiko tinggi digesa mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan terdekat.

    Dos primer vaksin dan dos penggalak disediakan di Klinik Kesihatan Beseri dan Klinik Kesihatan Gial di Mata Ayer bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi dan kematian, terutamanya golongan berisiko tinggi.

    BH Online
  • Isteri polis, 2 kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Lipis-Benta

    LIPIS – Isteri anggota polis dan dua kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta jam 3.35 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata pemandu kereta yang meninggal dunia, Nor Faizah Ridzuan, berusia 34 tahun adalah isteri kepada anggota polis di Berek Polis Kok Lanas, Ketereh, Kelantan.

    “Nor Faizah yang memandu kereta dan anaknya, Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman (10 tahun) serta dan anak angkatnya, Muhammad Hafiy AzmanAbdullah (3 tahun) dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

    “Siasatan awal dan keterangan saksi bebas, mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Nor Faizah dipercayai tiba-tiba hilang kawalan,” katanya.

    Azli berkata, apabila sampai di tempat kejadian, semasa melalui selekoh, kereta itu masuk ke laluan bersebelahan lalu dirempuh oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

    “Kereta itu diseret oleh lori tersebut dan merempuh besi penghadang jalan. Akibat kemalangan tersebut, pemandu serta dua kanak-kanak di tempat duduk belakang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pemandu kereta itu meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan dada, manakala dua kanak-kanak tersebut cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

    BH Online
  • Mangsa banjir Terengganu meningkat kepada 461 orang

    KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa banjir Terengganu dari dua daerah yang terjejas Setiu dah Hulu Terengganu meningkat kepada 461 setakat jam 8 pagi ini.

    Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu jumlah itu meningkat berbanding 427 semalam.

    Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini sebagai tambahan kepada tujuh semalam.

    PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong menempatkan 130 mangsa daripada 30 keluarga, PPS Kampung Lubuk Periuk (110 mangsa, 43 keluarga).

    BH Online
  • Kelantan dilanda banjir gelombang kedua, 55 mangsa dipindahkan

    KOTA BHARU – Kelantan dilanda banjir gelombang kedua apabila seramai 55 mangsa daripada 12 keluarga di jajahan Kuala Krai berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

    PPS berkenaan mula dibuka 9 pagi ini berikutan beberapa kampung di jajahan itu dinaiki air disebabkan hujan lebat sejak semalam.

    Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, mangsa yang terdiri daripada 32 dewasa, 22 kanak-kanak dan seorang bayi ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A.

    Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, paras air di beberapa sungai utama juga meningkat iaitu dua sungai melepasi paras amaran dan dua sungai berada di paras waspada.

    Dua sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Nal di Kuala Krai dengan bacaan 24.52 meter (m) berbanding paras normal 21m dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (15.89m).

    Dua sungai berada di paras waspada ialah Sungai Pergau di Jeli (50.98m) dan Sungai Semerak di Jambatan Melor, Bachok (7.17m).

    BH Online
  • Guru lempang, tolak murid kerana tak berdiri tegak masa perhimpunan

    KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) sedang menjalankan siasatan dakwaan seorang guru bertindak memukul murid di sebuah sekolah rendah di bandar ini, semalam.

    Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman @ Abdullah, berkata pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan.

    “Kita mengesahkan tindakan awal sudah dilakukan selepas menyaksikan video yang ditularkan melalui Facebook (FB) berdurasi 41 saat seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid di sekolah itu.

    “Kita difahamkan kejadian itu dikatakan berlaku di dewan perhimpunan ketika perhimpunan diadakan sempena program cegah rokok dan vape, kira-kira jam 10 pagi, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Video berdurasi selama 41 saat seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid tular dan ditonton kira-kira 35,000 orang dan mendapat 4,799 komen serta dikongsi 5,749 pengikut sejak disiarkan semalam.

    Difahamkan, video insiden itu dirakamkan guru daripada sekolah berkenaan dan dimuat naik melalui FB sejak semalam.

    Turut difahamkan, guru berkenaan memukul kepala dan menolak murid atas kesalahan tidak berdiri tegak ketika perhimpunan itu diadakan.

    Guru yang merakam video itu dikatakan tidak bersetuju dan kurang senang dengan tindakan dan kaedah pentadbiran sekolah berkenaan.

    Seorang guru yang enggan namanya disiarkan berkata, dua murid lelaki yang hanya melakukan kesalahan tidak berdiri tegak dipukul guru berkenaan pada perhimpunan.

    “Biarlah nak saman atau nak kena apapun, kita nak muat naik juga, tiada niat nak buka aib, tetapi untuk dijadikan peringatan kepada orang.

    “Mu cikgu ke, guru besar ke atau penolong kanan (PK), tak kisahlah, kita bukannya bertujuan nak mengaibkan, tetapi dia yang mengaibkan diri sendiri,” komen beberapa pengikut FB berkenaan.

    Seorang lagi pengikut FB secara ringkas berkata, pendidik harus terdidik.

    Di Putrajaya, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan kejadian seorang guru didakwa mengasari seorang murid ketika penganjuran majlis rasmi di sekolah.

    KPM dalam kenyataan memaklumkan, golongan pendidik dinasihati sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme perguruan.

    “Siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera.

    “KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” menurut kenyataan itu.

    BH Online
  • Daun ketum Malaysia tak laku di Thailand

    PADANG BESAR – Langkah kerajaan Thailand membenarkan penanaman daun ketum untuk tujuan perubatan di negara itu menyebabkan harga ketum Malaysia tidak laku di negara itu dan merosot hampir 200 peratus.

    Jika sebelum ini harga daun ketum Malaysia mencecah RM180 bagi satu kilogram (kg), kini merosot sehingga RM30 di negara itu manakala di Perlis, harganya sekitar RM10 bagi sekilogram.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, mendedahkan langkah kerajaan Thailand itu dilihat ada kesan positif dalam mengawal kegiatan penyeludupan daun ketum dari negara ini ke Thailand.

    “Namun pada masa sama, kegiatan penyeludupan daun ketum tempatan kini kembali beralih kepada pasaran domestik yang mana ia akan diseludup dan diedarkan ke negeri seperti Perlis, Kedah dan sebahagiannya dibawa ke selatan tanah air.

    “Tangkapan terhadap sindiket penyeludupan ketum ke negara Thailand terutamanya dari Perlis menurun lebih 50 peratus namun kegiatan penyeludupan ini masih diteruskan dengan menumpukan barangan lain seperti petrol dan diesel, beras, gula serta barangan bersubsidi yang lain.

    “Pengurangan dari segi tangkapan penyeludupan daun ketum ini juga membolehkan kita menumpukan tugas kepada permasalahan jenayah lain termasuk rentas sempadan serta penyeludupan barangan bersubsidi lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di perkarangan Balai Polis Trafik Padang Besar, di sini semalam.

    Katanya, walaupun sindiket penyeludupan daun ketum mula beralih kepada pasaran tempatan, pihaknya tetap membanteras kegiatan itu berlipat kali ganda.

    “Walaupun daun ketum negara ini sudah hilang nilainya untuk diseludup ke negara jiran kerana ia sudah pun dikomersialkan secara sah di Thailand, tetap mendapat permintaan dalam pasaran tempatan di negara ini,” katanya.

    Terdahulu, Muhammad menyaksikan pelupusan kes membabitkan daun dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM5.748 juta yang dirampas dalam tempoh empat tahun iaitu antara 2018 hingga tahun lalu di Padang Besar.

    BH Online
  • Malaysia sokong resolusi UNGA tuntut gencatan senjata di Gaza

    KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong dan menaja bersama draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) semalam yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.

    Resolusi bertajuk ‘Protection of civilians and upholding legal and humanitarian obligations’”, itu diterima pakai semasa Sesi Khas Tergempar (ESS) Ke-10 UNGA yang disambung semula dengan 153 undi menyokong, 10 menentang dan 23 lagi berkecuali.

    Kementerian Luar melalui kenyataan berkata, sokongan padu terhadap resolusi itu oleh sekumpulan negara mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian adil, berkekalan dan damai terhadap konflik Palestin-Israel.

    “Ini menjadi lebih mendesak memandangkan tragedi kemanusiaan yang mengerikan yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza akibat serangan Israel yang tidak henti-henti,” katanya.

    ESS ke-10 disambung semula atas permintaan bersama oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat memveto resolusi yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza.

    Malaysia bersama Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Namibia, Afrika Selatan, Thailand, Timor-Leste dan Turkiye menyokong permintaan bersama itu.

    Wisma Putra memaklumkan adalah jelas bahawa Majlis Keselamatan gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan penerimaan resolusi itu mengesahkan semula peranan penting Perhimpunan Agung dalam perkara yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

    “Majlis Keselamatan seharusnya memberi keutamaan kepada tuntutan majoriti berbanding kehendak segelintir pihak yang mementingkan diri,” menurut kenyataan itu.

    Resolusi itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi malapetaka kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera serta menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan, selain memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan.

    Resolusi sama turut menggesa semua pihak untuk mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutamanya berkaitan perlindungan orang awam.

    Wisma Putra berkata, Malaysia menegaskan satu-satunya penyelesaian yang berkekalan terhadap malapetaka yang menghancurkan itu adalah dengan memberikan rakyat Palestin negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

    BH Online memetik Bernama
  • Kren binaan tumbang atas landasan punca kelewatan perkhidmatan ETS, komuter – KTMB

    KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral mengalami gangguan disebabkan sebuah kren binaan yang digunakan untuk projek parkir bertingkat, tumbang di atas landasan kereta api, petang semalam.

    Menurut Jabatan Komunikasi Strategik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), insiden itu berlaku di KM355.749 antara Rawang dan Kuang pada jam 5.35 petang, yang menyebabkan talian atas (overhead line) terputus.

    Mengulas lanjut, katanya, ia sekali gus menyebabkan perkhidmatan terbabit mengalami kelewatan daripada jadual asal melebihi dua jam.

    “Perkhidmatan tren yang terjejas adalah KTM Komuter laluan KL Sentral – Tg Malim yang ditamatkan di Stesen Sungai Buloh manakala laluan Tg Malim – KL Sentral ditamatkan di stesen Serendah.

    “Bas perantaraan disediakan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Serendah.

    “Bagi perkhidmatan ETS laluan Padang Besar – Gemas, tren ditamatkan di Stesen Tanjung Malim dan penumpang dibawa menaiki bas perantara yang disediakan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas dengan menaiki tren,” katanya melalui kenyataan, semalam.

    Menurut KTMB, ETS bagi laluan Gemas – KL Sentral – Butterworth dan Gemas – KL Sentral – Padang Besar pula, penumpang diaturkan menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh dan seterusnya dibawa menaiki bas ke Stesen Tanjung Malim untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, dengan menaiki tren di laluan yang tidak terjejas.

    Katanya, sepanjang gangguan perkhidmatan ini, KTMB menempatkan kakitangan di stesen dan anggota Polis Bantuan untuk membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

    “Pengguna yang terbabit juga boleh mendapatkan maklumat semasa melalui media sosial rasmi KTMB dan juga daripada kakitangan KTMB yang bertugas di stesen. Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB,” katanya.

    KTMB juga dijadual mengadakan sidang media jam 9 pagi ini di Stesen KTM Rawang bagi menjelaskan berhubung insiden terbabit.

    Semalam, terdapat rungutan daripada penumpang perkhidmatan KTMB yang mendakwa terpaksa menunggu hampir empat jam bagi menunggu ketibaan tren, tanpa diberikan penjelasan oleh kakitangan bertugas.

    Melalui Facebook, seorang penumpang yang menggunakan akaun Amera Sabrena penumpang berang kerana tidak diberikan sebarang kemudahan termasuk ruang menunggu di situ.

    “Apa dah jadi ni KTM Berhad jadual train EG9425 KL Sentral – Gemas 12 Disember 2023 pukul 9.40 malam tapi sampai 2:00 pagi masih tak sampai tren?.

    “Tiada langsung rasa empati kepada warga emas, penumpang tak sampai 20 orang apa salahnya berilah keselesaan untuk kami menunggu di ruang Ruby Lounge yang dah tak ada orang pun,” katanya.

    BH Online
  • Lelaki tunjuk kemaluan dalam MRT sudah ditahan

    KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki disyaki menunjukkan kemaluan di hadapan seorang wanita dalam gerabak Transit Aliran Massa (MRT) dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima, di sini, pada 5 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata suspek berusia 31 tahun ditahan di Bandar Sungai Long, Kajang dekat sini, kira-kira jam 11.40 malam tadi.

    Katanya, aduan diterima daripada mangsa berusia 22 tahun kira-kira jam 9.32 malam pada 5 Disember.

    “Mangsa melaporkan berhubung perbuatan seorang lelaki tempatan yang menunjukkan kemaluan ke arahnya ketika berada di dalam gerabak MRT.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika suspek berada di dalam salah sebuah gerabak MRT dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ahmad Sukarno berkata dalam soal siasat suspek mengaku dengan sengaja menunjukkan kemaluan ke arah pengadu semasa berada di dalam gerabak terbabit.

    “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek akan direman bagi membantu siasatan.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu tindakan mengeluarkan perkataan atau menunjukkan isyarat yang dimaksud bagi mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya.

    Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana berkelakuan tidak sopan.

    BH Online
  • Pemancing temui rangka manusia di tebing Sungai Malim

    MELAKA – Seorang ‘kaki pancing’ terkejut apabila menemui rangka manusia dalam kejadian di tebing Sungai Malim di Taman Gadong Perdana, di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan rangka manusia itu kira-kira jam 5.10 petang daripada seorang lelaki.

    Beliau berkata, difahamkan lelaki berusia 32 tahun berkenaan ke lokasi kejadian untuk memancing sebelum terjumpa rangka disyaki rangka manusia.

    “Susulan itu sepasukan polis bersama pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) kemudian ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

    “Hasil siasatan dijalankan bersama pakar patalogi Jabatan Forensik Hospital Melaka, mengesahkan rangka yang ditemui itu adalah rangka manusia.

    “Namun begitu rangka terbabit ditemui dalam keadaan tidak sempurna kerana separuh daripadanya tertimbus dengan daun serta tanah,” katanya.

    Menurut beliau, rangka manusia itu dipercayai diangkat naik dari sungai oleh jengkaut yang menjalankan kerja-kerja pembesaran sungai di kawasan terbabit.

    “Hasil siasatan lanjut dijalankan di lokasi kejadian juga tidak menjumpai sebarang identiti si mati selain tidak terdapat sebarang unsur jenayah ditemui.

    “Rangka manusia terbabit kemudian dibawa balik ke Jabatan Forensik untuk tindakan lanjut bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

    Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian masih diteruskan dan Unit K9 sedang mengesan sekiranya terdapat lagi cebisan rangka serta bukti yang berkaitan.

    BH Online
  • Pengarang Sarawak Report, dua lagi diarah bayar RM300,000 kerana fitnah Sultanah Terengganu

    PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini, mengarahkan tiga pihak termasuk Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah Sultanah Terengganu itu.

    Dua lagi pihak dikenakan perintah itu adalah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan, Vinlin Press Sdn Bhd.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan dibuat baginda sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

    Pada 31 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman baginda terhadap Rewcastle-Brown, Chong Ton Sin dan Vinlin Press Sdn Bhd selaku responden berhubung dakwaan fitnah dalam sebuah buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The inside IMDB Expose’.

    Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

    Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Baginda mendakwa kenyataan itu bermakna baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menjadi penasihat TIA.

    Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan.

    BH Online
  • ‘Purata 30 kes penipuan angkara scammer dilaporkan setiap hari sepanjang tahun’

    KUALA LUMPUR – Lebih RM173 juta jumlah kerugian membabitkan 15,133 aduan diterima oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh kira-kira setahun ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata jumlah itu direkodkan sejak NSRC ditubuhkan pada 12 Oktober 2022 hingga 30 November lalu.

    Mengulas lanjut, katanya, daripada jumlah itu, wang yang berjaya disekat hanya kira-kira RM33 juta, bersamaan dengan 19 peratus daripada nilai keseluruhan kerugian.

    “Jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan NSRC adalah RM173,339,234.73 dengan purata 30 kes penipuan dilaporkan setiap hari kepada NSRC membabitkan kes penipuan yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Pada masa sama, Ramli berkata, sejak Januari lalu, JSJK turut menerima 23 laporan polis berkenaan kes penyamaran sebagai pegawai dari NSRC membabitkan nilai kerugian RM720,495.20.

    Beliau berkata, mangsa akan menerima panggilan dari individu yang mendakwa pegawai dari NSRC yang ingin membatalkan nombor telefon mangsa ekoran ada aduan bahawa nombor telefon mangsa menghantar pautan haram serta mesej penipuan.

    “Bagi tujuan siasatan, panggilan kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan sehinggalah mengakibatkan mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.

    “Kita mahu mengingatkan NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan dari orang ramai, berbentuk komunikasi sehala. NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. Justeru, sebarang panggilan yang mengaku dan pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya.

    Sementara itu, Ramli berkata, JSJK membuka sebanyak 38,851 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersil dengan nilai kerugian RM2,198,264,912.26 sejak 1 Januari hingga 8 Disember tahun ini.

    Beliau berkata, jumlah kes tertinggi iaitu 35,554 atau 91.5 peratus adalah membabitkan kes penipuan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Daripada 35,554 kes penipuan disiasat, 85.5 peratus atau 33,235 kes adalah berkaitan penipuan dalam talian iaitu jenayah e-dagang sebanyak 11,173 kes.

    “Telekomunikasi (9,830); pelaburan tidak wujud (5,178); pinjaman tidak wujud (4,113); jenayah e-kewangan (2,041) dan ‘love scam’ (900),” katanya.

    Beliau berkata, daripada keseluruhan 38,851 kertas siasatan yang dibuka, kes pecah amanah jenayah merekodkan sebanyak 1,162 kes atau tiga peratus; ah long (946); jenayah siber (840); pemalsuan (129), wang palsu (95) dan salahguna harta dengan curang (45).

    Katanya, operasi yang dijalankan JSJK turut berjaya menahan seramai 2,811 individu merangkumi jenayah telekomunikasi (1,145 individu), jenayah e-kewangan (104) ‘love scam’ (167) dan jenayah e-dagang (1,395) bagi tempoh September hingga November lalu.

    Ramli berkata, melalui kemudahan makmal yang berfungsi menganalisis transaksi berkaitan mata wang kripto yang pertama ditubuhkan di Asia Tenggara, JSJK melalui Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency sudah menjalankan analisis terhadap 532 e-wallet membabitkan nilai melebihi RM1 bilion.

    BH Online