ad

Category: MALAYSIA

  • Badan kanak-kanak terbakar hampir seluruh badan, dipanah petir

    KANGAR – Dua beranak cedera selepas dipanah petir dalam kejadian di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, di sini jam 7 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa Nor Lelawati Abu Bakar, 39, keluar dari rumahnya untuk mengambil anaknya, Muhamad Azizul Jaafar, 8, pulang dari rumah jirannya dan ketika itu hujan.

    “Ketika kedua-dua beranak itu sedang berjalan pulang ke rumah, terdengar dentuman kuat di langit sebelum kedua-duanya dipanah petir.

    “Berikutan kejadian itu, Muhamad Azizul mengalami kesan terbakar hampir seluruh badan, manakala Nor Lelawati pula hanya mengalami trauma.

    “Mangsa ditemui jiran dan kedua-dua beranak itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapatkan rawatan pakar kulit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Kejadian masih dalam siasatan.

    BH Online
  • Mayat disimen ditemui dalam bilik air

    KLANG – Mayat dipercayai wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air di rumah sewa di Kampung Pendamar, di sini, semalam.

    Difahamkan, kediaman terbabit sebelum itu disewa dua lelaki warga asing sebelum mereka memaklumkan kepada pemilik rumah iaitu lelaki berusia 66 tahun ingin pindah keluar, Oktober lalu.

    Menurut sumber, selepas penyewanya berpindah, pemilik rumah datang ke kediaman terbabit untuk membuat pemeriksaan sebelum penyewa baru berpindah masuk.

    “Bagaimanapun lelaki warga emas terbabit menyedari terdapat tambahan simen di dalam bilik airnya sebelum bertanya kepada penyewa lamanya namun tidak mendapat maklum balas.

    “Selepas itu barulah mereka memaklumkan balik kepada pemilik rumah terbabit kononnya ada bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu menyebabkan terpaksa menambah simen,” katanya.

    Sumber berkata, lelaki itu yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mengupah pekerja warga asing untuk membaiki rumahnya sebelum disewa kepada orang lain.

    “Ketika proses membaiki itulah mayat mangsa ditemui di dalam simen terbabit sebelum pemilik rumah tampil membuat laporan di Balai Polis Pandamaran semalam.

    “Polis yang menerima maklumat kemudian ke lokasi kejadian dan meminta bantuan bomba untuk memecahkan simen terbabit bagi mengeluarkan mayat,” katanya.

    Difahamkan juga seorang lelaki warga asing sudah ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kes bunuh terbabit dengan penemuan mayat itu.

    BH Online
  • Tarik mayat suami sejauh 100m dalam banjir

    RANTAU PANJANG – Seorang wanita memberanikan diri menarik mayat suaminya sejauh kira-kira 100 meter (m) hingga ke rumah, selepas lelaki itu ditemui lemas dalam banjir dipercayai akibat terjatuh dari perahu, di Kampung Bakat, di sini, hari ini.

    Norzubaila Ramli, 36, berkata terdahulu beliau dimaklumkan seorang penduduk kampung bahawa suaminya, Mohd Kamaruddin Mohamed Yahya, 44, terjatuh dari perahu.

    Susulan itu, katanya, beliau bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat Mohd Kamaruddin hampir tenggelam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, beliau terpaksa menarik jasad suami dengan memegang bahagian leher hingga ke rumah kerana tidak berdaya mengangkat mangsa masuk ke dalam perahu.

    “Disebabkan bimbang suami dihanyutkan arus deras banjir, saya memberanikan diri menariknya sendirian sambil menaiki perahu yang dikayuh seorang penduduk. Ketika itu, saya dapat merasakan suami sudah meninggal dunia kerana dia langsung tidak memberikan sebarang respons.

    “Sebaik saja sampai, saya bersama anak-anak mengangkatnya ke dalam rumah sementara jiran meminta bantuan pihak bomba. Saya bersama empat anak beberapa kali memanggil namanya tetapi tidak bersahut.

    “Sepatutnya, saya mengikut suami untuk melihat pukat di belakang kawasan rumah yang dinaiki banjir mencecah paras lebih dua meter, namun dia menolak dan mahu pergi sendirian,” katanya

    Norzubaila berkata, mereka sekeluarga sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), semalam, namun sekitar jam 12 tengah hari tadi, suami mengajaknya pulang sebentar untuk melihat rumah sambil mengangkat pukat.

    “Kami singgah di rumah dulu untuk meninggalkan anak-anak dan berjanji mahu mengangkat pukat bersama-sama. Bagaimanapun, dia kemudian menyuruh saya memantau anak-anak di rumah saja.

    “Malah pada mulanya, salah seorang anak kami sudah berada di dalam perahu tetapi suami menyuruh anak turun kerana tidak mahu ada yang ikut bersama. Kami akur dan biarkan saja kerana suami sudah biasa memukat di kawasan itu setiap kali banjir.

    “Kami sekeluarga masih terkejut dengan apa yang terjadi tetapi reda dengan ketentuan Ilahi, selain berharap segala proses menguruskan jenazah dapat diselesaikan segera,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

    Beliau berkata, anggota bertugas kemudian membawa mayat mangsa ke Unit Forensik, Hospital Pasir Mas, untuk bedah siasat.

    BH Online
  • Bekas wartawan BH, Hasan Omar meninggal

    MASJID TANAH – Bekas wartawan Berita Harian, Hasan Omar, 56, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Melaka akibat serangan jantung pada kira-kira jam jam 11 pagi tadi.

    Anak ketiganya, Mohd Haiqal, 21, berkata Allahyarham dikejarkan ke hospital berkenaan dengan ambulans selepas mengalami serangan jantung di sebuah kedai kereta di Bachang.

    “Ahli keluarga tidak mengesyaki apa-apa yang berlaku sebelum itu kerana arwah bapa kelihatan sihat dan ceria pada pagi itu. Kemudian kami mendapat berita yang bapa terpaksa dikejarkan ke hospital.

    “Sebelum ini arwah pernah menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang pada 2014 dan keadaannya sihat sehinggalah pada pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Haiqal berkata, Allahyarham dijadualkan untuk menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Melaka (UNIMEL) bersama ibunya esok, namun semuanya tidak kesampaian.

    Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noorazilah Muhammad, 54, dan tiga anak lelaki serta seorang perempuan.

    Beliau pernah bertugas bersama BH di Sabah, Kedah dan Kuala Lumpur sebelum menjadi wartawan sambilan di Melaka.

    BH Online
  • 4,530 mangsa banjir di Kelantan, 12 PPS masih dibuka

    KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 4,530 orang daripada 1,462 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 4,398 orang daripada 1,405 keluarga malam tadi.

    Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa kini berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas dan Tanah Merah.

    Di Pasir Mas, 11 PPS dibuka melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Rantau Panjang yang menempatkan 813 mangsa daripada 264 keluarga, SK Gual Tinggi (898 mangsa daripada 293 keluarga), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, Rantau Panjang (634 mangsa daripada 225 keluarga), SMK (Agama) Lati (88 mangsa daripada 23 keluarga) dan Masjid Mukim Padang Licin (116 mangsa daripada 45 keluarga).

    Enam lagi PPS ialah SK Gual Periok yang menempatkan 269 mangsa daripada 79 keluarga, SK Sri Kiambang (345 mangsa daripada 107 keluarga), SK Chicha Tinggi (261 mangsa daripada 72 keluarga), SK Lati (223 mangsa daripada 62 keluarga), SMK Gual Periok (153 mangsa daripada 41 keluarga) dan SK Sri Rantau Panjang 2 (711 mangsa daripada 243 keluarga).

    Selain itu, sebuah PPS dibuka di jajahan Tanah Merah iaitu Balai Raya Padang Kijang dengan menempatkan 19 mangsa daripada lapan keluarga.

    Sementara itu, berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ Sungai Golok di Pasir Mas merekodkan bacaan paras bahaya iaitu 9.97 meter (m) manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat berada pada tahap waspada dengan bacaan 2.30m.

    BH Online memetik Bernama
  • Van universiti rempuh belakang bas universiti

    BERUAS – Sebuah bas Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dinaiki 32 penuntut terlibat kemalangan dengan sebuah van milik universiti sama di Jalan Pantai Remis, di sini, malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihak menerima panggilan kecemasan jam 10.45 malam.

    Menurutnya, kemalangan itu membabitkan van Toyota Hiace dinaiki enam individu melanggar bahagian belakang bas universiti berkenaan.

    “Akibat kemalangan itu, seorang lelaki berusia 40-an tersepit di bahagian penumpang hadapan van, manakala pemandu van cedera ringan.

    “Empat penumpang van serta semua 32 penumpang bas tidak cedera. Mangsa yang tersepit sudah dikeluarkan dengan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.

    BH Online
  • Chua Jui Meng banyak tabur bakti kepada negara – PM Anwar

    KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng yang meninggal dunia petang semalam.

    Anwar berkata mendiang merupakan figura yang telah banyak menabur bakti kepada negara, khususnya selaku menteri kesihatan paling lama, selama sembilan tahun dari 1995 hingga 2004.

    Selain itu beliau berkata Chua turut memainkan peranan penting sepanjang bersama KEADILAN, tatkala mengemudi pimpinan parti itu di Johor.

    “Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat serta rakan-rakan yang sama turut sama berjuang untuk negara tercinta. Saya doakan urusan keluarganya dipermudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    BH Online memetik Bernama
  • Pelancong, pelawat asing perlu isi Kad Ketibaan Digital Malaysia

    KUALA LUMPUR – Pelancong atau pelawat asing yang memasuki negara ini diwajibkan mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

    MDAC adalah sebahagian daripada lima inisiatif utama bagi penambahbaikan kemudahan perkhidmatan Jabatan Imigresen, selaras pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula tarikh sama.

    Menurut Jabatan Imigresen, peraturan baharu berkuat kuasa Jumaat lalu itu bagaimanapun dikecualikan kepada mereka yang transit melalui Singapura, yang berstatus Penduduk Tetap (PR) dan pemegang kad Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS).

    “Semua pelancong dan pelawat warga asing, kecuali mereka dalam senarai yang mendapat pengecualian, perlu menyerahkan MDAC sebelum tiba di negara ini,” menurut jabatan itu dalam hantaran Facebook.

    Pelancong dan pelawat asing boleh mengisi data secara dalam talian seawal tiga hari sebelum ketibaan ke Malaysia menerusi pautan https://imigresen-online.imi.gov.my/mdac/main.

    Bagi memastikan kelancaran ketibaan warga negara asing, kelonggaran pengisian MDAC diberikan sehingga 7 Disember.

    Pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India membabitkan tempoh 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu.

    Ketika ini, negara Teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa.

    Kemudahan sama turut dinikmati lapan negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

    Inisiatif lain di bawah PLV itu antara lain meliputi pemberian kemudahan visa kemasukan berbilang hingga 30 hari kepada semua pelancong yang ingin memasuki negara ini.

    Selain itu, pemberian pas lawatan sosial jangka panjang hingga 12 bulan diberikan kepada pelajar antarabangsa yang tamat pengajian di negara ini bagi tujuan menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan.

    Pengenalan PLV itu juga bertujuan menjana hasil pendapatan negara, sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri utama pelaburan dan pelancongan di Asia.

    BH Online
  • Jalan ‘Glow In The Dark’ terpanjang di Malaysia

    ALOR SETAR – Jalan Padang Sanai ke Durian Burung dalam daerah Padang Terap dipasang garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘Glow In The Dark’ sepanjang tiga kilometer sekali gus terpanjang di Malaysia.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata projek garisan jalan itu yang pertama di Kedah dan siap dipasang pada Selasa lalu.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang berkata garisan jalan berkenaan akan memberikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

    “Cahaya matahari dikumpulkan dan apabila malam ia akan memantulkan cahaya yang terang. Jadi garisan ini akan membantu pengguna jalan raya memandu dengan lebih selamat pada waktu malam.

    Mengulas lanjut, Mohamad Yusoff berkata Kedah adalah negeri yang mempunyai sumber cahaya matahari tertinggi dan mampu menjadi tarikan untuk pelabur mengusahakan ladang solar.

    Malah katanya, sumber cahaya matahari yang tinggi menjadikan usahawan solar di Kedah hanya memerlukan lebih empat jam untuk menyimpan tenaga solar berbanding enam jam di negeri lain.

    Sementara itu, JKR Padang Terap/ Pokok Sena dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan jalan bercahaya dalam gelap sedang diuji di Jalan Padan Sanai-Durian Burung (K11), Kedah.

    BH Online
  • Mangsa banjir di Kelantan bertambah

    KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 3,259 orang setakat jam 3 petang ini berbanding 2,632 orang pagi tadi.

    Ini berikutan jumlah mangsa di Pasir Mas bertambah berikutan beberapa kampung di kawasan rendah dinaiki air hari ini.

    Kesemua mangsa daripada 1,026 keluarga itu ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu di Pasir Mas, Bachok dan Tanah Merah.

    Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, jumlah mangsa banjir di Pasir Mas semakin bertambah kepada 3,016 orang daripada 947 keluarga berada di 10 PPS berbanding 2,370 orang pagi tadi.

    Mangsa banjir di Bachok adalah 221 orang daripada 70 keluarga berada di dua PPS dan 22 mangsa daripada sembilan keluarga berada di satu PPS di Tanah Merah, manakala satu PPS di Kota Bharu ditutup sepenuhnya tengah hari ini.

    BH Online
  • Ancaman ‘White Lung’: Malaysia siap siaga pantau pelancong China – Tiong King Sing

    KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia menerima peningkatan kemasukan pelancong China walaupun wujud dakwaan ancaman kesihatan susulan peningkatan penyakit misteri berkaitan pernafasan dan radang paru-paru di negara berkenaan.

    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kawalan dan pemantauan kesihatan untuk pelancong asing termasuk dari China sentiasa disiap siagakan di pintu-pintu masuk negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “KKM sudah kawal (buat pemantauan), sudah sediakan mesin pengimbas suhu badan dan perkara-perkara lain yang sepatutnya.

    “Di negara China juga sudah naik taraf dalam persediaan mereka (di pintu masuk negara) berhubung isu berkenaan,” katanya kepada media semasa Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), ‘Ainu Sham Ramli.

    Terdahulu, kerajaan memutuskan memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai Jumaat lalu dalam usaha merancakkan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.

    Walaupun bakal memberi impak baik kepada industri pelancongan negara, timbul kebimbangan mengenai ancaman kesihatan yang mungkin dibawa pelancong China.

    Ini susulan terdapat laporan mengenai peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dan radang paru-paru membabitkan kanak-kanak di utara negara itu yang dikaitkan dengan ‘White Lung Sydrome’.

    Dalam pada itu, King Sing mahu semua pihak termasuk media dan media sosial tidak terlalu memutar belitkan isu berkenaan sehingga boleh menimbulkan kebimbangan awam seterusnya boleh menjejaskan ekonomi negara.

    Mengenai sambutan Hari Batik Malaysia 2023, King Sing berkata pihaknya mahu Kraftangan Malaysia lebih agresif membantu usahawan batik untuk meningkatkan pengeluaran batik negara untuk pasaran luar negara.

    “Kita adakan perbincangan dengan Ketua Pengarah (Kraftangan Malaysia) untuk naikkan taraf ‘skills’ (kemahiran) dalam menghasilkan batik.

    “Sebolehnya kita mahu tingkatkan lagi eksport batik Malaysia sempena hubungan bilateral (dua hala) antara Malaysia dengan China, maka kita merancang untuk hasilkan rekaan dan koleksi khas batik,” katanya.

    Rekaan dan koleksi khas itu bagi melambangkan hubungan baik antara dua negara sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024.

    BH Online
  • Mangsa banjir di Kelantan bertambah, Johor berkurang

    KUALA LUMPUR — Hujan lebat malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di tiga jajahan di Kelantan dinaiki air seterusnya menambah bilangan mangsa banjir kepada 655 orang daripada 207 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 594 orang daripada 181 keluarga malam tadi.

    Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga bertambah kepada lima berbanding tiga malam tadi.

    Di jajahan Pasir Mas, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh menempatkan 226 mangsa daripada 77 keluarga dan 64 orang daripada 26 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial.

    Di jajahan Bachok, 241 mangsa daripada 66 keluarga berlindung di PPS SMK Beris Panchor dan SK Jelawat pula menempatkan 114 mangsa daripada 35 keluarga manakala di jajahan Machang PPS SK Pulai Chondong menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kilat dari lima kampung di Johor Bahru menurun sedikit kepada 565 orang 8 pagi ini, berbanding 582 orang pada 8 malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa daripada 150 keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan SK Bukit Mutiara.

    Menurut kenyataan itu, seramai 312 orang daripada 84 keluarga dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara.

    PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pula menempatkan 253 orang daripada 66 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat.

    JPBN turut memaklumkan cuaca di sekitar Johor Bahru cerah setakat 8 pagi ini.

    Sementara itu, paras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada dengan bacaan 7.95 meter.

    BH Online memetik Bernama
  • Mangsa terjun ke landasan sendiri

    KUALA LUMPUR — Lelaki yang maut digilis tren transit aliran ringan (LRT) di stesen Dato Keramat, di sini semalam dipercayai turun ke landasan dengan sendiri.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.56 malam daripada anggota polis bantuan.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis mendapati mangsa yang juga lelaki tempatan bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.

    “Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa melompat dan baring di landasan lalu dilanggar oleh LRT berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu media melaporkan seorang lelaki maut dengan kedua-dua kakinya digilis tren selepas dikatakan terjatuh di landasan di stesen LRT Dato Keramat, di sini, malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.05 malam tadi.

    Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya memaklumkan kejadian menyebabkan berlaku gangguan di landasan berkenaan.

    Katanya, kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu mengakibatkan sistem kecemasan diaktifkan serta-merta menyebabkan tren berhenti lama di landasan.

    Mengulas lanjut Ashari berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian jam 11.13 malam.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, justeru orang ramai yang mempunyai

    sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 039289922 bagi membantu siasatan,” katanya.

    BH Online
  • MyCARE sumbang bernilai RM3.6 juta kepada Palestin

    JOHOR BAHRU — Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah menyalurkan hampir RM4 juta sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi empat fasa sejak berlaku konflik peperangan 7 Oktober lalu.

    Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, fasa pertama dan membabitkan sumbangan bernilai RM500,000.

    Manakala fasa ketiga dan fasa keempat sumbangan bernilai RM1.1 juta disalurkan meliputi keperluan, barangan makanan kering biskut, tilam, air minuman dan alatan perubatan termasuk ambulans.

    “Daripada jumlah yang telah disalurkan itu, lebih RM700,000 disumbangkan menerusi Tabung Palestin MyCARE Johor termasuk RM100,000 dari pihak Pasaraya Econsave.

    “Bantuan dan sumbangan ini akan dilakukan secara berterusan sehingga Palestin pulih kerana kemusnahan di Gaza itu sangat teruk. Bantuan fasa kelima akan cuba disalurkan dalam bulan ini namun bergantung kepada keadaan semasa di Gaza.

    “Bagi fasa keempat, kami merancang untuk bantuan berbentuk selimut dan baju sejuk disalurkan kepada penduduk Gaza kerana ketika ini sudah masuk musim sejuk di sana. Semua sedia maklum kediaman mereka habis ranap dan rosak dibedil tentera Zionis,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jualan Amal Gaza yang dianjurkan Kelab Media Johor bersama Pasaraya Econsave dam MyCARE di Pasaraya Econsave Taman Teratai di sini, hari ini.

    Dalam program itu juga, sebanyak 50 buah motosikal berkuasa tinggi dan 20 buah kenderaan pacuan empat roda dilepaskan bersama dalam Misi Bantuan Tabung Palestin ke Tanjung Piai.

    Selain Pasaraya Econsave, Kelab Media Johor turut menyumbangkan RM5,000 bagi tabung Gaza yang disampaikan Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak kepada MyCARE Johor.

    Sementara itu, Pengurus Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, Pasaraya Econsave menyasarkan kutipan RM500,000 menerusi Tabung Kecemasan Palestin sehingga akhir bulan ini.

    Setakat ini katanya, tabung berkenaan yang dilancarkan pada 14 Oktober lalu dengan kerjasama MyCARE Johor sudah mengutip RM200,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi tabung berkenaan yang diletakkan di 94 buah cawangan Econsave seluruh negara.

    “Selain kutipan tersebut, pihak Econsave sendiri akan menyumbang RM100,000 kepada rakyat Palestin antaranya dalam bentuk barangan, makanan kering, air mineral dan lampin yang akan masuk dari sempadan Rafah,” katanya.

    BH Online
  • Jeda kemanusiaan harus jadi permulaan proses keamanan berkekalan di Gaza – Zambry

    KUALA LUMPUR – Jeda kemanusiaan tidak sepatutnya dianggap sebagai penyelesaian kepada konflik berlarutan di Gaza, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

    Sebaliknya, beliau berkata, jeda kemanusiaan itu harus menjadi permulaan untuk proses keamanan dan gencatan senjata yang berkekalan.

    Oleh itu, katanya, Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memulakan langkah yang perlu untuk memastikan penyelesaian dua negara menjadi kenyataan.

    Beliau menegaskan penyelesaian itu mendapat sokongan global dan turut disokong oleh banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    “Seluruh dunia sedang memerhati dan bergantung harap pada PBB, terutama Majlis Keselamatan. Sudah terlalu lama dan banyak kali badan ini mengecewakan rakyat Palestin. Kini sudah tiba masa untuk membetulkan ‘kesilapan sejarah’ kuasa besar yang menyebabkan pembunuhan dahsyat dan berpanjangan terhadap nyawa tidak bersalah sepanjang tempoh lebih tujuh dekad dalam sejarah moden.

    “Ini adalah mesej yang jelas, bukan hanya daripada rakyat Malaysia dan saya sendiri, bahkan semua penduduk dunia yang mencintai perdamaian,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Debat Terbuka Peringkat Tinggi UNSC di New York, semalam.

    Beliau mengulangi bahawa satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap soal Palestin ialah dengan memberikan mereka hak mutlak yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan masa depan sendiri, menerusi penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

    Jeda kemanusiaan yang dicapai di Gaza hasil pengantaraan Qatar pada 22 November, bermula jam 7 pagi Jumaat minggu lalu sebelum dilanjutkan selama dua hari pada Isnin.

    Hari ini, Kementerian Luar Qatar mengumumkan gencatan senjata itu dilanjutkan selama satu hari lagi pada Khamis.

    BH Online memetik Bernama
  • Murid terpaksa tempuh jalan becak 3km ke sekolah

    PITAS — Sekumpulan anak penduduk Kampung Tampakahu di sini, terpaksa mengharungi jalan becak dan rosak teruk sejauh tiga kilometer pergi dan balik sekolah setiap hari, sejak pertengahan tahun ini.

    Kanak-kanak terbabit belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Senaja, kira-kira 14 kilometer dari pekan Pitas.

    Wakil penduduk Kampung Tampakahu, Lister Mihun, 33, berkata ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka dengan berjalan kaki sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah dengan kenderaan yang menunggu di luar kampung.

    “Jalan yang rosak teruk itu adalah sebahagian daripada laluan penting 10 kilometer kepada 100 penduduk Tampakahu.

    “Jalan itu adalah laluan tunggal penduduk Tampakahu dibina awal tahun ini menghubungkan kampung itu dengan pekan Pitas, selain turut digunakan penduduk Kinangoh ketika laluan kampung berkenaan terjejas banjir.

    “Keadaan jalan yang rosak teruk itu turut menyulitkan penduduk Tampakahu membawa keluar hasil pertanian mereka seperti kepala sawit, getah dan sayuran untuk dipasarkan di luar,” katanya.

    Kampung Tampakahu berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka diwakili Datuk Harun Durabi dan Parlimen Kudat diwakili Datuk Verdon Bahanda.

    Ketika ini, hanya kenderaan dengan pacuan empat roda boleh menggunakan laluan itu memandangkan keadaan permukaan jalan yang rosak teruk.

    Bagaimanapun katanya, segelintir penduduk ada yang memberanikan diri bergadai nyawa melalui jalan licin itu dengan motosikal dan kenderaan kecil untuk melancarkan perjalanan mereka.

    Lister berkata, keadaan jalan bertambah lebih buruk dan sukar digunakan ketika musim tengkujuh dan banjir apabila permukaannya menjadi licin, becak dan berlumpur.

    Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera menaik taraf kemudahan berkenaan menjadi jalan berturap penuh demi keselesaan penduduk Tampakahu.

    BH Online
  • Bertemu kekasih lama di laman sosial galak kes cerai di Terengganu

    KUALA TERENGGANU — Pertemuan dengan bekas kekasih di laman sosial antara faktor menyumbang kepada peningkatan kes perceraian di negeri ini.

    Ketika ini kes perceraian di Terengganu dikatakan pada tahap membimbangkan apabila merekodkan 1,855 kes tahun ini atau 20 peratus daripada 9,075 perkahwinan yang dilangsungkan tahun ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata tahun lalu 1,656 kes perceraian direkodkan atau 14.7 peratus daripada 11,246 perkahwinan yang dilangsungkan pada tahun berkenaan.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata isu perceraian dan masalah rumah tangga perlu diselesaikan semua pihak termasuk kerajaan.

    Katanya, banyak pasangan menyembunyikan faktor mereka mahu bercerai ketika dipanggil untuk proses kaunseling oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

    “Namun, kebanyakan boleh kita kategorikan antaranya masalah pegangan agama lemah menyebabkan gangguan dalam rumah tangga selain pengaruh luar.

    “Faktor lain pasangan berkahwin pada usia muda, bebanan kewangan serta pengaruh media sosial, malah pengaruh media sosial sangat mencemaskan yang mana ramai bercerai apabila berjumpa kekasih lama,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab isu perceraian dibangkitkan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) dalam sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

    Maliaman berkata, masalah perceraian akan memberi kesan sosial kepada keluarga khususnya anak-anak.

    “Pengalaman saya sebagai guru apabila berlaku perceraian, anak akan terkesan sehingga hampir mahu bunuh diri kerana tekanan.

    “Jadi, Insya-Allah isu ini akan diambil berat oleh pihak kerajaan dan menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) juga sudah merancang pelbagai program bersama dengan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) untuk kesejahteraan kehidupan rakyat dan membudayakan wanita menjadi tulang belakang kepada rumah tangga,” katanya.

    Sumber teks - BH Online
  • Misi bantuan kemanusiaan ketiga Op Ihsan ke Gaza berlepas 17 Disember ini

    KUALA LUMPUR — Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa misi penghantaran bantuan kemanusiaan ketiga Ops Ihsan ke Gaza, Palestin dijangka dilakukan pada 17 Disember ini.

    Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata bantuan kemanusiaan itu akan membawa 60 tan barangan keperluan asas dengan kebanyakannya adalah barangan perubatan.

    “Jadi saya ingin menjemput kepada mana-mana Ahli Yang Berhormat (Ahli Dewan Negara) ada kelapangan pada 17 Disember ini untuk sama-sama kita lancarkan dan melepaskan penerbangan ketiga bantuan kemanusiaan ini yang akan kita buat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang bertanyakan langkah dan usaha Kementerian Luar untuk melaksanakan Hab Kemanusiaan Rakyat Malaysia (MHH) di sempadan Rafah, Mesir bagi melancarkan bantuan kemanusiaan dan sukarelawan Gaza.

    Mohamad berkata, Malaysia berjaya membuat penghantaran pertama membabitkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan yang tiba di Gaza pada 10 Nov lepas manakala penghantaran kedua membawa 16 tan barangan bantuan tiba di Mesir pada 11 November.

    Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia sekali lagi akan menyertai dan menyampaikan kenyataan negara pada Perdebatan Terbuka Peringkat Tertinggi berkaitan Situasi di Timur Tengah termasuk Persoalan Mengenai Palestin di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 29 November ini.

    “Perkara ini jelas membuktikan Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada hak rakyat Palestin di semua platform dan pertubuhan antarabangsa agar kekejaman rejim Zionis dapat dihentikandan rantau itu akan mencapai kedamaian berterusan,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu mengenai pendekatan lebih agresif oleh Malaysia dalam sebarang pertubuhan antarabangsa bagi menghentikan kemaraan rejim Zionis melalui serangan darat terhadap rakyat Gaza.

    Sumber - BH Online memetik BERNAMA
  • ‘Kita cari pemimpin boleh bantu penduduk, bukan cakap kosong’

    CHUKAI — Resah setiap kali hujan lebat, penduduk di Kuala Kemaman berharap ahli Parlimen yang bakal dipilih Sabtu ini dapat menyelesaikan isu banjir di kawasan berkenaan.

    Menurut penduduk, masalah banjir bukan isu baharu, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian menyeluruh dilakukan pihak bertanggungjawab.

    Penduduk berkata walaupun terdapat beberapa projek dilakukan namun ia tidak menyelesaikan isu, malah umpama memberi masalah baharu kepada mereka.

    Latifah Ahmad, 44, berkata sebelum ini kerajaan ada menambak beberapa kawasan di Kampung Kuala Kemaman untuk menghalang banjir melanda perumahan di situ.

    “Dulu dekat hadapan ni banyak rumah, tapi apabila kerajaan mahu tambak di kawasan itu, penduduk diarahkan untuk berpindah dan banjir pun berkurangan.

    “Namun kawasan lain iaitu berdekatan dengan sungai pula yang terjejas banjir terutamanya di kawasan baharu iaitu perumahan untuk nelayan.

    “Kawasan sini memang setiap tahun akan banjir, jenis air cepat naik dan memasuki rumah, tetapi lambat surut. Empat atau lima hari baru air surut.

    “Paling teruk tahun lalu, ada rumah yang air sampai ke pinggang. Jadi kita mohon la supaya ada satu jalan penyelesaian berkaitan isu ini,” katanya.

    Murni Daud, 53, berkata masalah banjir sangat membebankan penduduk tetapi mendakwa isu itu diambil mudah oleh pihak berkaitan.

    “Masalah kita ini bila air naik la, tapi kadang kadang mereka (pemimpin) tak ambil berat pun. Kita kalau boleh nak cari pemimpin yang boleh bantu penduduk. Bukannya cakap kosong.

    “Kita nak mereka atasi banjir dan hulurkan bantuan jika penduduk memerlukan. Macam contohnya bila kita dengar berita ada pengumuman kepada penduduk di sini, tapi sebenarnya kita tak terima pun bantuan berkenaan.

    “Bila kita pergi ke mereka dan tanyakan mengenai bantuan itu, katanya tak ada. Sama macam isu sebelum ini, ada penduduk yang tak dapat bantuan berkaitan.

    “Katanya borang tercicir dan beri pelbagai alasan yang akhirnya penduduk itu tak dapat bantuan, walhal rumahnya paling teruk terjejas banjir,” katanya.

    Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

    Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

    BH Online
  • 3 sekeluarga cemas, Perodua Axia dipijak gajah

    GERIK – Tiga sekeluarga cemas apabila kereta dinaiki mereka dipijak kawanan gajah di Kilometer 55 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, sebelum Hentian Titiwangsa menghala Jeli, dekat sini malam tadi.

    Kejadian kira-kira jam 7.35 malam ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala Jertih di Terengganu, menaiki Perodua Axia sebelum pemandu kereta, lelaki berusia 48 tahun terlanggar anak gajah.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata pemandu berkenaan sebelum itu ternampak kawanan enam gajah di laluan berselekoh menghala Jeli.

    “Apabila sampai di lokasi kemalangan yang berselekoh ke kiri menghala Jeli, pemandu Perodua Axia itu ternampak enam gajah berada di laluan dan kemudian terlanggar anak gajah.

    “Selepas itu, kawanan gajah terbabit menghampiri Perodua Axia berkenaan lalu memijaknya dan hanya beredar selepas anak gajah yang dilanggar itu bangun. Kejadian ketika hujan renyai-renyai dan persekitaran berkabus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Akibat kejadian itu, katanya, kereta berkenaan rosak teruk bahagian sisi kiri, hadapan dan belakang, namun pemandu serta dua penumpang, masing-masing berusia 23 dan 47 tahun tidak mengalami kecederaan.

    Media sebelum ini pernah melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menasihatkan pengguna JRTB yang menghubungkan Gerik dan Jeli berhati-hati dengan kehadiran gajah yang sering berkeliaran di kawasan itu.

    BH Online