ad

Category: MALAYSIA

  • Malaysia kekal berpendirian hak rakyat Palestin perlu dikembalikan

    KUALA LUMPUR — Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, dikembalikan tanah dirampas dan membentuk negara merdeka serta berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar kerajaan Malaysia.

    Katanya, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

    “Penyelesaian itu bagaimanapun hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) serta memenuhi teras-teras yang dinyatakan dahulu.

    “Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika memberikan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad Zahid berkata, pendirian lantang dan tegas Malaysia kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan PBB.

    Katanya, Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada 22 September lalu dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

    “Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 1967.

    “Selain bantuan dari kerajaan, kita juga turut membantu menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul dari sumbangan awam melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar,” katanya.

    BH Online

  • ‘Wang AS$1.5 juta dalam e-Walet hasil pelaburan tiba-tiba hilang…’

    TANJUNG MALIM, Perak — Seorang pesara berusia 67 tahun kerugian RM717,050 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini, melihat iklan pelaburan di laman sosial ketika berada di rumah pada 22 Mei lalu.

    Katanya, mangsa menghubungi ejen syarikat terbabit yang kemudian memaklumkan operasi perniagaan mereka berpangkalan di Paris, Perancis.

    “Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu diberikan satu pautan di laman web untuk muat turun aplikasi pelaburan berkenaan.

    “Mangsa kemudian membuka satu akaun dalam aplikasi terbabit bagi tujuan pelaburan selepas membaca syarat diberikan menerusi aplikasi itu.

    “Pada 13 Julai lalu, mangsa membuat pindahan wang RM8,000 ke dalam akaun yang diberikan bagi pengaktifan e- Walet dan juga sebagai modal pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Yusri berkata, mangsa menambah modal pelaburan keseluruhan sebanyak RM717,050 selepas melihat wang AS$14,985 dikreditkan dalam akaun e-Walet miliknya pada peringkat awal pelaburan berkenaan.

    “Mangsa melakukan 17 transaksi ke dalam 10 akaun bank berbeza dan diminta menunggu selama dua bulan untuk tempoh matang.

    “Kelmarin, mangsa melihat wang dalam e-Walet pada laman web itu bertambah menjadi AS$1.5 juta,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa kemudian cuba memindahkan wang itu ke dalam akaun bank miliknya tetapi gagal menyebabkan dia menghubungi pihak syarikat terbabit.

    Katanya, pihak syarikat itu meminta mangsa memasukkan lagi wang sebanyak RM300,000 sebagai cukai pindahan wang, tetapi mangsa tidak berbuat demikian.

    “Pada kira-kira jam 9 malam semalam, mangsa mendapati akaun e-Waletnya kosong dan aplikasi terbabit juga tidak dapat diakses lagi kerana disekat pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

    “Semakan dengan pihak BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) mendapati pelaburan itu tidak mendaftar dengan BNM,” katanya.

    Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim menerima laporan polis daripada mangsa hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

    Sumber – BH Online

  • LKIM sasar bina 257 kediaman baharu nelayan tahun ini

    KUALA NERUS — Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan membina 257 rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) membabitkan peruntukan RM16.3 juta di seluruh negara tahun ini.

    Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, berkata sehingga September lalu, sebanyak 173 rumah siap sepenuhnya dan 31 rumah lagi masih dalam pelaksanaan, manakala baki 53 rumah belum dibina.

    Beliau berkata, daripada jumlah 173 yang disiapkan, ia membabitkan 71 unit rumah baharu di Sarawak, Kedah (49), Perak (34), Negeri Sembilan (25), Terengganu (25) dan Wilayah Persekutuan Labuan (16).

    Katanya, lain-lain negeri adalah Johor (11 unit), Selangor (8), Perlis (5), masing-masing empat di Kelantan, Pahang dan Melaka serta satu di Pulau Pinang.

    “Rumah ini dianggarkan bernilai RM58,000 setiap satu, namun ada juga yang kosnya lebih tinggi daripada itu, contohnya di Pulau Redang ia bernilai RM95,000.

    “Ini kerana kos pengangkutan bahan binaan ke pulau agak tinggi.

    “Kita berharap rumah baharu ini memberi keselesaan kepada golongan nelayan bersama keluarga mereka,” katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah nelayan di bawah PKPN – Bina Baharu kepada seorang penduduk di Kampung Baru Pulau Redang, di sini, hari ini.

    Pada program itu, LKIM turut menyumbang enam lampu LED untuk dipasang di bangsal tempat nelayan berehat dan melakukan aktiviti ketika tidak ke laut.

    Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Terengganu Selatan di Pulau Redang mempunyai 30 nelayan berdaftar dan semua mereka turut menikmati insentif bersasar daripada LKIM seperti Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 sebulan, Subsidi Bahanapi Petrol dan Diesel serta Insentif Hasil Tangkapan Ikan (IHTI).

    BH Online

  • Dua wanita maut, kenderaan terjunam ke sungai

    BETONG — Dua wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda mereka terjatuh ke dalam sungai di Kampung Semueh Baru, Jalan Lubuk Antu di sini, hari ini.

    Identiti dan usia kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 11.29 pagi dan terus menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong.

    “Kemalangan kendiri melibatkan sebuah pikap terjatuh dalam sungai. Seorang lelaki dewasa pemandu dan seorang kanak-kanak lelaki berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Merindun, sebelum pasukan bomba sampai.

    “Dua penumpang wanita dewasa turut dikeluarkan oleh orang awam, sebelum pasukan bomba tiba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya hari ini.

    BH Online

  • Gaji konstabel polis bawah paras minimum RM1,500

    IPOH — Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan tangga gaji permulaan bagi anggota polis berpangkat konstabel pada masa ini adalah di bawah kadar paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.

    Beliau berkata, disebabkan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

    Razaruddin berkata, cadangan berkenaan selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup khususnya bagi anggota pangkat rendah.

    “Buat masa ini, bagi anggota berpangkat Konstabel baharu yang keluar (yang baharu menamatkan latihan), gaji mereka RM1,441,” katanya selepas Majlis Perasmian WCB/PSK Jabatan KDNJA Bukit Aman di Lapang Sasar Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta, hari ini.

    Hadir sama Timbalan Pengarah KDNKA (WCB/PSK), Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari dan Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

    Polis turut mencadangkan kenaikan 30 peratus daripada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) atau pemberian satu KGT secara ‘one off’.

    Cadangan itu membabitkan semua peringkat skim gaji PDRM iaitu Skim perkhidmatan Pegawai Kanan Polis, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli, serta Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Sokongan.

    “Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) yang diterima pegawai dan anggota berbeza mengikut tiga kategori iaitu bandar, pinggir bandar, dan luar bandar iaitu masing-masing RM300 bagi pegawai dan anggota pangkat rendah di kawasan bandar.

    “Masing-masing RM200 dan RM250 bagi pegawai dan anggota di pinggir bandar; dan masing-masing RM100 dan RM150 bagi pegawai dan anggota yang bertugas di luar bandar,” katanya.

    Pada 6 Julai lalu, media melaporkan PDRM sedang berusaha mengkaji semula tangga gaji pegawai dan anggota dalam pasukan keselamatan utama negara itu yang masih di peringkat perbincangan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), dalam usaha meningkatkan tahap integriti pasukan.

    BH Online

  • Tekan suis lampu rumah meletup

    KUALA LUMPUR — Gegaran akibat letupan gas di sebuah kediaman di tingkat 10, Apartmen Desa Tun Razak di sini, semalam mencetuskan suasana panik.

    Difahamkan, sebelum kejadian, penghuni rumah berkenaan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun baru pulang ke rumah dan letupan tercetus sejurus mangsa menekan suis lampu.

    Saksi kejadian, Nor Leelawatiy berkata dia yang ketika itu sedang bersiap untuk tidur dalam bilik dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dan gegaran dirasai di seluruh kediamannya.

    “Saya yang ketika itu sedang duduk di bilik tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang turut menggegarkan rumah saya.

    “Dalam keadaan cemas, saya meluru keluar keranamenyangkakan berlaku gempa bumi sebelum suami memaklumkan berlaku letupan di rumah jiran hadapan,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

    Impak letupan kuat yang berpunca kebocoran gas di bahagian dapur rumah berkenaan mengakibatkan dinding konkrit di bahagian ruang tamu pecah dan sisa batu jatuh ke tingkat 1.

    Penduduk, Jaya, 52, berkata, jatuhan sisa konkrit itu menyebabkan motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja sejak 17 tahun lalu mengalami kerosakan dan tidak dapat digunakan buat sementara waktu.

    Kontraktor pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berkata, dia perlu membelanjakan beberapa ratus ringgit bagi membaiki kerosakan pada pada bahagian badan dan suis kekunci motosikal yang rosak.

    Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki melecur teruk manakala 12 motosikal rosak dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Apartmen Desa Tun Razak, di sini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.59 malam.

    Mangsa yang melecur 30 peratus di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Canselor Tuanku Muhriz bagi menerima rawatan.

    BH Online

  • Bayi doktor maut tertinggal 10 jam dalam kereta di parkir hospital

    KUALA LUMPUR — Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut selepas tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya dari pagi hingga petang di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Cheras, di sini, semalam.

    Kejadian berlaku selepas ibu mangsa yang juga seorang doktor, menyangka sudah menghantar bayinya itu ke TASKA sebelum ke tempat kerja.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata terdahulu pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.

    Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada hari sama.

    “Hasil siasatan awal mendapati pada jam 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan bayinya di tempat duduk belakang penumpang sebelah kiri dalam kereta untuk dihantar ke TASKA.

    “Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke TASKA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Zam Halim berkata, ibu mangsa hanya menyedari bayi itu masih berada di dalam kereta pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke TASKA.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras melalui talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

    BH Online

  • Dr Mahathir, Nassuruddin bincang tingkat pelaburan di Kelantan

    KOTA BHARU, Kelantan — Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berbincang untuk meningkat pelaburan, penggunaan tanah sebagai modal dan penyelesaian isu bekalan air bersih di Kelantan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika negeri mampu menyediakan kemudahan asas seperti sistem jalan raya, bekalan air dan elektrik yang baik, ia akan menarik kemasukan pelabur.

    Negeri itu juga mampu membekalkan tenaga kerja apabila industri dibuka kerana ramai orang Kelantan berhijrah ke Lembah Klang untuk bekerja dalam pelbagai industri.

    “Kelantan adalah negeri orang berniaga. Rata-rata penduduk terbabit dalam aktiviti perniagaan dan kebanyakannya ialah industri kecil-kecilan.

    “Tidak banyak industri kilang dari luar negara bertapak di sini, kecuali syarikat ROHM-Wako Electronics Sdn Bhd dari Jepun yang asalnya di Selangor tetapi memilih berpindah dan buka kilang di Kota Bharu pada 1989,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

    Terdahulu, Dr Mahathir bertemu dan berbincang mengenai pembangunan negeri dengan Menteri Besar Kelantan dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sempena program State Government 4 (SG4) di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam.

    Dr Mahathir berkata, orang Kelantan juga sinonim dengan berniaga dan mereka cekap dalam peluang perniagaan serta sanggup ambil risiko.

    “Insya-Allah negeri ini akan makmur dan berjaya jika sumber negeri dan kebolehan rakyatnya diperkenal dengan baik,” katanya.

    BH Online

  • Dr Zaliha terima Anugerah Alumni Tersohor UKM

    KUALA LUMPUR — Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerima Anugerah Alumni Tersohor 2023 daripada Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

    Pengiktirafan itu bagi meraikan kejayaan dan pencapaian Dr Zaliha khususnya di Kementerian Kesihatan (KKM) selepas menjadi wanita pertama dilantik menerajui kementerian itu berkuat kuasa 3 Disember 2022.

    Dr Zaliha yang juga penuntut Fakulti Perubatan UKM sekitar 1983 hingga 1989 menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan penganugerahan terbabit.

    Katanya, beliau amat berbangga kerana berpeluang menuntut ilmu dan membina pengalaman di Fakulti Perubatan UKM.

    “Sesungguhnya, penganugerahan Alumni Tersohor dari Fakulti Perubatan UKM hari ini adalah satu penghargaan yang cukup bermakna bukan sahaja kepada saya dan keluarga saya bahkan juga saya harap kepada keluarga besar Alumni UKM,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Alumni Tersohor Fakulti Perubatan, UKM di sini hari ini.

    Penganugerahan Alumni Tersohor itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak.

    Yang turut hadir, Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur), Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid dan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor.

    Dilahirkan pada 28 Jun 1964, anak kelahiran Johor itu memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Ibrahim (G) School sebelum meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Bharu.

    Pada 1981, beliau memulakan pengajian di Matrikulasi MRSM, Seremban dan meneruskan pengajian di Fakulti Perubatan UKM serta memperoleh Ijazah Doktor Perubatan pada 1989.

    Pada majlis itu, Dr Zaliha menyampaikan syarahan “Reformasi Sistem Kesihatan yang Kalis Masa Hadapan” yang menyentuh pelbagai isu kesihatan masyarakat di negara ini dalam mendepani cabaran masa hadapan.

    Katanya, sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia berjaya meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan menunjukkan prestasi sistem penjagaan kesihatan yang baik berbanding banyak negara berpendapatan sederhana yang lain.

    “Namun, sejak 20 tahun kebelakangan ini, tahap kesihatan rakyat Malaysia semakin menurun.

    “Dengan peredaran masa serta perubahan sosioekonomi, demografi dan gaya hidup rakyat, terdapat keperluan untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan negara agar kalis dengan perubahan yang berlaku,” katanya.

    Pada majlis itu juga, beliau merasmikan ruang Alumni Tersohor yang terletak di Bangunan Praklinikal di sini.

    BH Online

  • Pendidikan universiti percuma di Sarawak bermula 2026 – Abang Johari

    SIMANGGANG — Pendidikan percuma peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak untuk anak jati negeri itu dijangka dapat dilaksanakan pada 2026, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 telah memberikan keyakinan kepada beliau untuk menetapkan jangkaan itu dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh kerajaan negeri.

    “Saya boleh katakan 2026 (untuk menyediakan pendidikan universiti percuma) sebab saya telah congak-congak kekuatan ekonomi kita akan lebih kuat pada 2026. Kalau 2022 pendapatan negeri dah bertambah hingga (RM)12 bilion, pengiraan (saya) tahun ini kemungkinan kita memecahkan rekod (pendapatan) 2022,” katanya.

    Berucap pada majlis penutupan Pesta Benak Edisi ke-20 hari ini, beliau berkata hasrat menyediakan pendidikan peringkat tinggi percuma ini adalah untuk memastikan lebih ramai lagi anak Sarawak berkelayakan dan berkemampuan menggunakan teknologi baharu untuk memacu pembangunan negeri ini.

    “Kita sudah ada sovereign fund (dana berdaulat) untuk masa depan kita dan bakinya akan kita tumpukan kepada pendidikan anak kita dan juga memantapkan ekonomi kita dan juga kita membangunkan lagi infrastruktur kita,” katanya.

    Sementara itu, Abang Johari berkata satu kawasan antara bahagian Samarahan dan Sri Aman telah dikenal pasti untuk pelaksanaan penanaman padi berskala besar menggunakan teknologi terkini.

    Beliau berkata langkah itu juga adalah pendekatan jangka panjang bagi memastikan Sarawak tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan beras tempatan seperti yang berlaku di tempat lain di negara ini.

    “Kita (kerajaan Sarawak) sudah ada dasar mengeluarkan beras menggunakan teknologi baru, anak benih baru. (Kita tidak mahu) apabila beras dah kurang (bekalan berkurangan) barulah nak berkira (untuk mengadakan dasar pengeluaran beras),” katanya.

    Menyentuh mengenai penganjuran Pesta Benak itu yang berlangsung sejak 29 September, beliau berkata peningkatan jumlah pengunjung ke acara itu menggambarkan kepesatan perkembangan pelancongan domestik di Sarawak.

    Menurutnya pesta ini mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung pada masa hadapan sekiranya penganjur dapat mempelbagaikan lagi aktiviti yang dijalankan yang seterusnya dapat menjana pendapatan masyarakat setempat.

    BH Online memetik Bernama