ad

Category: MALAYSIA

  • Malaysia tegaskan pendirian henti segera serangan ke atas Palestin di APEC

    KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau dengan tegas menyatakan pendirian Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bahawa serangan ke atas Palestin perlu dihentikan segera dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

    Katanya, beliau menyatakan pendirian itu dalam sidang akhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, AS.

    “Kebetulan pada sidang akhir itu kedudukan Malaysia adalah berdepan dengan Presiden Joe Biden dan sebelah kanan saya itu adalah Setiausaha Negara AS, Antony Blinken… maka saya tiada pilihan dan menyuarakan dengan tegas pendirian.

    “Saya menyatakan bahawa ada pemasalahan, di mana kita diminta mengutuk Russia dalam soal Ukraine tetapi membisu dengan pembunuhan kejam, keganasan yang saya sebut sebagai ‘atrocities’.

    “Dan saya sebut perkataan yang agak penting – jangan lagi orang barat menganggap hegemoni kolonial menentukan dasar dan bentuk tindakan kita maka saya menyatakan mereka tidak boleh memaksa untuk menentukan pendirian kita, di situ saya nyatakan kita mesti sekurang-kurangnya menghentikan serangan sekarang – ‘end stop now’ ,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    BH Online
  • Kelantan mula dilanda banjir

    KOTA BHARU – Kelantan mula dilanda banjir selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Puteh dibuka hari ini, dengan 17 mangsa dipindahkan.

    Dua PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja dan dan SK Dalam Rhu.

    Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua 17 mangsa membabitkan empat keluarga.

    Hujan dilapor bermula kira-kira jam 5 pagi tadi dan masih berterusan setakat jam 11.30 pagi ini, dengan beberapa daerah mengalami hujan lebat.

    BH Online
  • 13 sekolah ditutup akibat banjir di Terengganu

    KUALA TERENGGANU – Jumlah sekolah yang terpaksa ditutup akibat banjir di empat daerah di Terengganu meningkat.

    Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Azman Othman @ Abdullah, berkata 13 sekolah terpaksa ditutup hari ini disebabkan laluan dinaiki air berbanding hanya lima sekolah semalam.

    Beliau yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Terengganu, memaklumkan antara sekolah ditutup di daerah Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh, SK Losong, SK Kampung Bukit dan SK Bukit Bayas.

    Selain itu, katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SMK Sultan Mansor dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Sheikh Abdul Malek.

    “Sekolah di daerah Besut yang terpaksa ditutup ialah SK Bukit Puteri, manakala di Kuala Nerus membabitkan SMK Padang Kemunting dan di Dungun pula, SMK Intan Zaharah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau meminta meminta pengurusan sekolah yang terbabit banjir memohon cuti bencana yang akan turut dipertimbang untuk sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) jika bilik darjah banyak digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.

    “Kita sudah minta semua pengurusan sekolah, terutama yang terbabit banjir memohon cuti bencana,” katanya.

    BH Online
  • Ibu tunggal rugi RM170,000 angkara cinta kenalan Instagram

    KUANTAN – Seorang ibu tunggal kerugian RM170,408 akibat terpedaya dengan sindiket Love Scam, selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Instagram.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, pada Oktober lalu, wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu melayari laman sosial Instagram dan berkenalan dengan seorang lelaki bernama Fahad Ramzan.

    Katanya, mangsa dan individu terbabit kemudiannya mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

    “Lelaki terbabit dikatakan berjanji untuk berkahwin dengan mangsa yang membuatkan mangsa mempercayainya.

    “Beberapa minggu kemudian, suspek meminjam wang mangsa berjumlah RM1,500 dengan alasan untuk membuat pembayaran bil hospital miliknya dan berjanji akan memulangkan semula wang pinjaman itu.

    “Sejak itu, lelaki terbabit berterusan meminjam wang mangsa lagi dengan pelbagai alasan. Mangsa membuat sembilan transaksi bermula pada 24 Oktober hingga 14 November lalu dengan jumlah keseluruhan RM170,408.50.

    “Siasatan mendapati wang itu adalah daripada simpanan mangsa sendiri serta pemberian keluarga. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak melayan individu tidak dikenali dan tidak mudah mempercayai kenalan di media sosial.

    “Selain itu, orang ramai dinasihati untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan portal semak mule sebelum membuat pemindahan wang ke akaun yang tidak dikenali,” katanya.

    BH Online
  • Kelantan kutip RM3.056 juta untuk Palestin

    KOTA BHARU – Kelantan mengumpul sebanyak RM3.056 juta hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk disalurkan kepada penduduk Palestin.

    Sumbangan itu diperoleh menerusi beberapa saluran termasuk Tabung Aid4 Palestin sebanyak lebih RM2 juta; Gabungan Usahawan Prihatin Kelantan (RM526,000) dan kerajaan negeri Kelantan sebanyak RM400,000.

    Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, ketika mengumumkan perkara itu berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan.

    Katanya, kutipan berkenaan berjaya dikumpul dalam tempoh seminggu dan ia akan dilakukan secara berterusan selagi penduduk di Palestin diserang Israel.

    “Jumlah kutipan berkenaan akan diserahkan kepada NGO di bawah Tabung Aid4 Palestin dalam masa terdekat dan kita bersyukur ada juga yang menderma dalam bentuk barangan termasuk barang kemas dan jam tangan selain wang tunai.

    “Kita bersyukur berjaya mengumpul sejumlah lebih RM3 juta dalam masa seminggu sahaja dan kutipan ini akan dilakukan secara berterusan bagi membantu penduduk Palestin,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin Peringkat Kelntan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

    BH Online
  • Kerani maut digilis lori

    KLANG – Seorang kerani maut digilis treler selepas terjatuh sebaik motosikal ditunggangnya terlanggar lubang di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, dekat sini, pagi tadi.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika lelaki berusia 37 tahun itu dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara, dekat sini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie, berkata siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong sebuah lori sebelum terlanggar lubang dan tercampak ke atas jalan.

    “Mangsa kemudian digilis treler yang membawa muatan tiang batu dari arah sama dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH Online

  • ‘Ibu restui peluk agama Islam, hadiah sejadah, al-Quran’

    KUALA LUMPUR – Ketika segelintir mualaf berdepan cabaran getir untuk meyakinkan keluarga sebelum memeluk Islam, lain pula kisahnya bagi Muhammad Azhar Abdullah yang mendapat sokongan kuat terutama daripada ibunya, V Indra Devi, 53.

    Bukan setakat memberi restu, malah ibu Muhammad Azhar, 31, yang memberi nama Islam kepadanya selain menghadiahkan sejadah dan al-Quran sebagai tanda sokongan terhadap penghijrahannya, lima tahun lalu.

    Berkongsi kisahnya, Muhammad Azhar yang menetap di Kepong, di sini berkata, dia memeluk Islam dengan kerelaan sendiri kerana sudah lama tertarik melihat keindahan Islam dan dan bersyukur apabila tidak mendapat tentangan keluarga.

    “Waktu sekolah, saya ada ramai kawan Melayu dan banyak bergaul dengan mereka. Daripada situ, saya nampak mereka solat melakukan ibadat lain malah cuba berpuasa sejak di bangku sekolah.

    “Setiap kali dengar azan, hati saya jadi tenang cuma ditakdirkan terima hidayah itu ketika dewasa iaitu dalam usia 26 tahun,” katanya ketika dihubungi.

    Muhammad Azhar berkata, hanya fahaman dan pegangan agama yang berubah sejak dia memeluk Islam, namun hubungan serta kasih sayang terhadap keluarga tidak pernah pudar.

    Buktinya, dia dan keluarganya masih tinggal serumah dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

    “Apa boleh saya katakan, perubahan saya lebih kepada kelakuan kerana dulu agak ‘nakal’ tapi kini cuba berubah ke arah lebih baik. Selebihnya sama saja malah setiap kali perayaan Deepavali, saya masih berkumpul dengan keluarga seperti dulu memandangkan kami duduk serumah.

    “Emak pun sangat pentingkan soal halal dan haram, buktinya dia akan beli ayam sembelih di kedai Muslim. Dalam erti kata lain, tiada masalah langsung dan emak sangat memahami saya memandangkan dia ada ramai anak angkat Melayu,” katanya yang bekerja sebagai mekanik.

    Seperti mualaf lain, Muhammad Azhar juga berusaha memperbaiki diri dan amalan bagi menjadi Muslim yang lebih baik.

    “Jika ada rezeki pula, saya mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah dan haji kerana itu salah satu impian sejak memeluk Islam.

    “Diharap impian itu menjadi kenyataan dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang beri bimbingan serta tunjuk ajar dalam ilmu agama,” katanya.

    BH Online

  • Guru besar dedah tinggal dalam stor sekolah lebih tiga tahun hingga bersara wajib

    KOTA KINABALU – Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di Telupid, George Odol mendedahkan pengalamannya tinggal dalam stor sekolah lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah itu.

    Dia yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini, ditugaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) di sekolah itu pada 2020.

    George menceritakan sekolah itu dibina pada 1999 tanpa rumah guru.

    “Guru yang bertugas di sekolah itu terpaksa menumpang tinggal di rumah penduduk kampung dan kelas yang diubah suai.

    “Oleh kerana keprihatinan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah membina dua rumah ala kadar sebagai kemudahan guru yang berkhidmat di SK Ulu Ansuan,” katanya dalam kisah hidup yang disiarkan sebuah laman sosial.

    George berkata, pada 2020, apabila dia ditempatkan bertugas di sekolah itu, dia terpaksa tinggal dalam stor prasekolah dengan keluasan 13.4 meter persegi.

    “Agak menyedihkan seorang pegawai pendidikan, pentadbir sekolah, guru besar terpaksa tinggal di rumah yang begini sahaja.

    “Saya terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi prasekolah,” katanya.

    Bagaimanapun, George mengakui sedikit pun tidak kesal sebagai guru dalam kalangan etnik Kadazan Dusun yang terpaksa korbankan keselesaan menetap di kawasan pekan atau di bandar untuk datang ke sekolah pedalaman.

    Tambahan pula, katanya, kebanyakan murid di sekolah kawasan pedalaman di negeri ini adalah etnik Kadazan Dusun.

    “Justeru, jika bukan kami guru (dalam kalangan etnik) Kadazan Dusun datang ke sini untuk mendidik anak Dusun di sekolah pedalaman, siapa lagi yang (boleh) diharapkan,” katanya yang menerima keadaan itu.

    Beliau menyifatkan, ia pengorbanan mereka sebagai pendidik yang dihantar bertugas di sekolah pedalaman negeri Sabah.

    Bagaimanapun, katanya, pada penghujung perkhidmatannya, sebuah rumah panjang tujuh pintu dibina di sekolah, namun beliau mengambil keputusan tidak menetap di situ dan memberi keutamaan kepada guru dari luar daerah Telupid.

    BH Online

  • Malaysia akan bantu mudah cara pensijilan halal bagi produk Peru – PM

    SAN FRANCISCO – Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra meminta Malaysia agar mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk membantu memudah cara pensijilan halal bagi produk Peru, memandangkan pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya telah bersetuju untuk memudahkan permintaan Peru itu secepat mungkin,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Boluarte di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini, pada Khamis.

    Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen, Sim Tze Tzin.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Boluarte telah menjemputnya melawat Peru tahun depan, sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 yang akan dipengerusikan Peru.

    Presiden Peru itu turut mempelawa perniagaan Malaysia untuk melawat dan melabur di Peru, katanya.

    Anwar juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di Peru baru-baru ini.

    “Boluarte telah menyampaikan komitmen kerajaannya untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia,” katanya.

    Anwar berkata Malaysia mengulangi komitmen untuk terus melatih pegawai Peru di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan saling belajar daripada kepakaran masing-masing.

    Mengenai permintaan Peru untuk mewujudkan status Perkongsian Pembangunan dengan ASEAN, beliau berkata Malaysia pada dasarnya menyokong usaha itu.

    Kedua-dua pemimpin turut membincangkan aspek pemerkasaan wanita dan perubahan iklim, katanya.

    Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Peru berjumlah US$168.45 juta (RM751.77 juta) dari Januari hingga Jun 2023, meningkat 12.8 peratus daripada US$155.97 juta (RM666.44 juta) yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022.

    BH Online

  • Gabungan petugas kesihatan bantah serangan Israel di hospital

    KUALA LUMPUR – Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQF) menggesa Mesir memainkan peranan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.

    Gesaan itu disuarakan dalam satu himpunan aman di hadapan pejabat Kedutaan Mesir, Jalan Ru di sini, hari ini, yang dihadiri kira-kira 100 anggota perubatan terdiri daripada doktor dan petugas kesihatan.

    Pengerusi MWCQF, Zuraidah Kornain, berkata selain himpunan aman hari ini, pihaknya yang mewakili gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), tokoh individu (NGI) dan pihak berkepentingan turut menyampaikan satu memorandum rayuan kepada Kedutaan Mesir, semalam.

    “Kita menggesa kerajaan Mesir menolak melabelkan pejuang pembebasan Palestin sebagai pengganas sebaliknya mengiktiraf hak mereka yang sah untuk mempertahankan negara.

    “Kerajaan Mesir juga perlu memimpin Pakatan Arab-Islam dan mendorong penubuhan pakatan itu terdiri daripada negara-negara bersatu dalam mengekalkan tekanan politik,” katanya kepada media, hari ini.

    Katanya, Pakatan Arab-Islam ini perlu bersatu untuk menghentikan pembunuhan di Gaza, memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan serta memberi rawatan penting kepada yang cedera.

    Selain itu, katanya pakatan itu juga diharapkan dapat menganjurkan penyelesaian pelanggaran berterusan oleh Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

    “MWCQF membayangkan kerjasama ini sebagai usaha yang kuat ke arah keamanan, dengan Palestin berfungsi kepada penunjuk arahnya.

    “Kami dengan penuh harapan meminta bukan sahaja daripada Mesir, malah Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Gaza,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau menzahirkan kesedihan dan kekecewaan terhadap ‘layanan kasar’ yang diberikan pihak Kedutaan Mesir di ibu negara, ketika pihaknya cuba menyampaikan memorandum secara baik, semalam.

    Sedangkan, katanya kedutaan Amerika Syarikat (AS); Pesuruhjaya Tinggi British, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) serta beberapa kedutaan lain menerima baik kehadiran mereka.

    Sementara itu, Penasihat Kehormat MWCQF, Dr Fauziah Mohd Hassan, berkata pihaknya tampil pada himpunan aman hari ini bagi mewakili gabungan global yang menentang pembunuhan beramai-ramai atau ‘genocide’ ke atas rakyat Palestin.

    “Kami sebagai petugas perubatan dari Malaysia bersama rakan lain di seluruh dunia amat terkejut dengan apa yang berlaku di Gaza, hospital-hospital dibom dan diserbu.

    “Semalam, hospital terbesar di Gaza iaitu Hospital Al-Shifa diserbu oleh tentera dan kereta kebal tentera Zionis sedangkan di bawah Konvensyen Geneva, hospital perlu dilindungi,” katanya.

    Beliau berkata, sebagai pekerja kesihatan, adalah terikat dengan prinsip untuk tidak membahayakan, melindungi dan menghormati nyawa manusia.

    “Oleh itu, seruan doktor Israel untuk memusnahkan hospital di Gaza itu amat dikecam sekeras-kerasnya. Ianya satu pengkhianatan terhadap etika perubatan dan bertentangan dengan ‘Hippocratic Oath’ kami.

    “Oleh itu, kami menyeru kerajaan dunia untuk menuntut gencatan senjata segera, dan membenarkan bantuan kemanusiaan dan perubatan tanpa halangan dan berterusan ke seluruh Gaza,” katanya.

    Tambahnya, umum mengetahui Gaza dibahagikan kepada selatan dan utara, dan kebanyakan bantuan hanya sampai ke bahagian selatan, justeru mereka mahu semua bantuan sampai ke dua-dua bahagian.

    “Kami menyokong penuh seruan kerajaan Malaysia untuk menghantar pasukan perubatan ke Gaza untuk menyokong dan membantu rakan sekerja kami di Gaza yang keletihan.

    “Seterusnya menawarkan khidmat kami kepada rakyat Palestin yang cedera dan sakit yang kini berada dalam keadaan yang amat kritikal,” katanya.

    BH ONLINE

  • Google, Kerajaan Malaysia jalin kerjasama strategik sasar cipta 300,000 peluang pekerjaan menjelang 2026

    SAN FRANCISCO – Kerajaan Malaysia dan Google hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat.

    Gandingan kerjasama itu bermatlamat untuk membantu perniagaan dari semua saiz memajukan daya saing digital mereka melalui program kemahiran, pelaburan dalam infrastruktur digital, inovasi kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab dan dasar mengutamakan awan, kata Google dalam kenyataan di sini, hari ini.

    “Komitmen terbaharu Google ini yang bertujuan untuk mempercepat inovasi tempatan dan pembangunan tenaga kerja dalam bidang AI, pastinya akan meningkatkan daya saing digital negara, selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

    Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia disasarkan untuk meningkatkan saiz ekonomi Malaysia, serta memastikan semua pihak berkepentingan terutamanya rakyat dan perniagaan kecil dapat menikmati faedah sosio-ekonomi seterusnya, katanya.

    Google berkata inisiatif terbaharu itu adalah bersandarkan kepada pelaburannya di Malaysia sejak 12 tahun lepas.

    Pada 2022 sahaja, produk dan program syarikat itu menyokong lebih 47,900 pekerjaan dan turut menyumbang sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada perniagaan tempatan dengan manfaat ekonomi bernilai kira-kira AS$2.8 bilion.

    “Perkongsian yang kami umumkan hari ini dengan Kerajaan Malaysia menyelaraskan misi tempatan Google untuk memajukan Malaysia dengan matlamat kerajaan bagi mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi termasuk peluang pekerjaan yang saksama,” kata Presiden & Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangan, Alphabet dan Google, Ruth Porat.

    Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Zafrul Aziz mengalu-alukan sumbangan berterusan Google kepada rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan, terutamanya melalui program yang membimbing tenaga kerja mahir dan membantu perniagaan kecil negara berkembang ke peringkat serantau.

    “Selain menyokong pencapaian misi NIMP 2030, kerjasama ini juga akan meningkatkan keseluruhan daya saing global Malaysia kepada pelabur asing. Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan rancangan pelaburan Google di Malaysia,” katanya.

    Peluang Peningkatan Kemahiran Inklusif kepada 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026

    Untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan digital kepada rakyat Malaysia dari semua latar belakang, Google Cloud, CloudMile dan Trainocate menyediakan lima kaedah pembelajaran digital tanpa sebarang kos.

    “Kaedah pembelajaran itu yang boleh diakses menerusi program Go Cloud yang bertujuan untuk menambah kemahiran 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026 terdiri daripada kursus secara dalam talian untuk membantu individu menggunakan AI generatif (gen AI), analitik data dan alat produktiviti berasaskan awan dengan lebih baik lagi.

    Mereka yang melengkapkan lima kaedah pembelajaran akan memperoleh lencana kemahiran digital yang boleh mereka kongsikan dalam resume mereka dan melanjutkan akses 30 hari kepada lebih banyak kaedah pembelajaran tanpa sebarang kos.

    Google berkata program ini adalah berasaskan kepada Gemilang, program latihan digital yang telah menyediakan 31,000 biasiswa Sijil Kerjaya Google kepada individu kurang bernasib baik dengan kerjasama institusi pendidikan dan badan bukan keuntungan.

    “Ini membantu rakyat Malaysia memperoleh pensijilan profesional—tanpa sebarang kos—untuk pekerjaan peringkat permulaan dalam bidang permintaan tinggi seperti analisis data, sokongan teknologi maklumat (IT) serta e-dagang dan pemasaran digital.” katanya.

    Selain itu, kerajaan dan Google Cloud akan memulakan inisiatif bersama landas pelancaran AI untuk mencipta pekerjaan baharu, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan membantu syarikat tempatan meneroka pasaran global.

    Google juga akan menyokong penambahbaikan Dasar Awan Pertama kerajaan yang sedia ada bagi Malaysia, menyumbang kepakaran dasar dan Rangka Kerja AI Terjaminnya untuk bergerak seiring dengan kemajuan terkini dalam pengkomputeran awan dan AI.

    Ini mengukuhkan usaha kerajaan untuk mengutamakan penggunaan perkhidmatan awan yang berdaya tahan, cekap kos dan dipacu inovasi berbanding sistem di premis yang berintensif modal, sambil menyelaraskan dengan amalan terbaik global bagi privasi data dan piawaian keselamatan.

    BH ONLINE memetik BERNAMA

  • 67 daerah seluruh negara berisiko banjir

    BAGAN DATUK — Sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara dikenal pasti berkemungkinan besar dilanda banjir menjelang Monsun Timur laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bilangan itu berdasarkan data dan penilaian Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Beliau berkata, penyelarasan sudah dilaksanakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan semua agensi penguatkuasaan terbabit.

    “NADMA bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal (PPK) di sekolah yang selama ini digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk dibangunkan dewan PPK.

    “Kemudahan tandas dan tempat mandi akan disediakan sepenuhnya mengikut jumlah potensi mangsa banjir berdasarkan rekod Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah.

    “Ini (PPK) kita lakukan di tempat-tempat yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan sering dilanda banjir.

    “Berdasarkan METMalaysia dan JPS, ada sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.

    Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut menyediakan jambatan Bailey sebagai persiapan aspek infrastruktur di kawasan kritikal yang dijangka dilanda banjir besar.

    Katanya, NADMA menempah tujuh jambatan Bailey tambahan manakala pemasangannya dilakukan oleh jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) di peringkat negeri dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat pusat.

    “Kesiapsiagaan ini termasuk juga dari segi bantuan dikemukakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang diselaraskan kerana kita menjangkakan MTL bermula pertengahan November ini hingga Mac tahun depan.

    “Tanda-tanda MTL sudah bermula sekarang dengan hujan yang melebihi tahap biasa,” katanya.

    BH Online

  • Majoriti tak setuju PLKN 3.0 diadakan semula

    KUALA LUMPUR — Tinjauan pendapat BH mengenai Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) mendapati majoriti daripada pembaca tidak setuju program itu yang dimansuhkan pada 2018, diadakan semula.

    Seramai 3,112 pembaca BH mengambil bahagian dalam undian menerusi Facebook BH yang mana daripada jumlah tersebut, 67 peratus atau 2,085 orang tidak bersetuju PLKN 3.0 dilaksanakan.

    Seorang pembaca, Ahmad Syarif Che Abdullah berkata program itu tidak sesuai ketika ini kerana negara sedang menghadapi kekangan kewangan dan adalah lebih baik jika negara mengutamakan perkara yang lebih penting.

    Baharuddin Ahmad Bahar pula berpendapat kerajaan perlu memikirkan program yang lebih menjimatkan serta merangka program alternatif lebih menyeluruh dari segi kepentingan pada warga negara yang terlibat.

    Dalam pada itu, seramai 1,027 pembaca BH bersetuju dengan pelaksanaan semula program tersebut namun perlu mengikut kesesuaian umur peserta.

    Hana Noor berkata PLKN 3.0 perlu untuk mendisiplinkan anak muda masa kini yang dilihat terlalu banyak berseronok dan membuang masa.

    Namun tambah Hana Noor, program PLKN 3.0 hanya sesuai untuk peserta lepasan SPM hingga 21 tahun seperti yang dilakukan pada siri sebelum ini.

    Bagi Salim Kasinon, PLKN 3.0 perlu bagi membina jatidiri lebih berkualiti serta menerapkan sifat daya tahan dalam kehidupan.

    Sementara itu, lain pula pendapat pembaca BH menerusi tinjauan di laman ‘X’ yang dahulu dikenali sebagai Twitter.

    Setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 1,531 pembaca mengambil bahagian dalam undian dan daripada jumlah itu, 55.5 peratus atau 850 berpendapat PLKN 3.0 perlu dilaksanakan semula berbanding 681 pembaca atau 44.5 peratus yang berpendapat latihan itu tidak perlu dikembalikan.

    Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.

    Bagaimana pun Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya semalam menjelaskan, hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani PLKN 3.0 apabila ia dilaksanakan pada tahun hadapan.

    Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0 dan sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.

    Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah hingga berusia 35 tahun.

    BH Online

  • Sepatutnya semua negara termasuk AS cari jalan selesai isu serangan Israel terhadap Palestin – Zambry

    PUTRAJAYA — Malaysia mengakui negara akan turut terkesan dengan keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin baru-baru ini.

    Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata selain Malaysia beberapa negara lain terutama yang turut dilihat menyatakan sokongan terhadap perjuangan Hamas dalam isu Palestin ini akan turut terkesan.

    Tanpa mengulas kesan terbabit, beliau mengakui Malaysia memandang serius keputusan dibuat Dewan Perwakilan AS itu dan pihaknya sedang melihat keseluruhan kandungan RUU berkenaan sebelum melaksanakan sebarang tindakan susulan.

    “Sepatutnya bukan hanya Malaysia, malah seluruh dunia termasuk AS sendiri perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah serangan Israel terhadap rakyat Palestin itu dengan segera.

    “Apa pun, Malaysia akan bersama-sama dengan negara lain untuk melihat isu ini kerana semua negara dikatakan menyokong Hamas dan tidak seiring dengan AS,” katanya kepada pemberita pada Program Diplomasi Awam sempena Hari Wisma Putra di sini, semalam.

    Rabu lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan RUU yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.

    RUU bertajuk Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan majoriti 363 berbanding 46 yang menentang.

    Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan akan terus mengamalkan dasar diplomasi aktif bagi membawa suara Malaysia di pentas dunia berhubung isu kemanusiaan di Palestin.

    Menurutnya, meskipun dianggap sebagai sebuah negara kecil, peranan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak kemanusiaan sentiasa diberi keutamaan.

    “Malaysia akan menggunakan semua pengaruh yang ada.. walaupun dianggap sebagai sebuah negara kecil namun dalam konteks peranan dan pengaruh Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Negara Membangun (G77) dan Global South, Malaysia sentiasa diberi keutamaan.

    “Suara Malaysia seringkali diminta di pentas dunia, jadi dalam usaha ini kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu ini,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin dunia termasuk India dan Qatar minggu depan.

    BH Online

  • Lelaki maut ditikam selepas berselisih faham dengan 2 rakan di kilang

    KAJANG — Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam pergaduhan di sebuah kilang perabot di Sungai Lalang, Semenyih di sini, awal pagi semalam.

    Kejadian dikatakan berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dengan rakan sekerja.

    Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mengesahkan kejadian itu susulan laporan diterima pihaknya daripada majikan mangsa pada jam 1.42 pagi.

    “Sepasukan pegawai dan anggota polis dikejarkan ke lokasi, namun mangsa yang berusia 23 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kajang.

    “Pemeriksaan menemukan luka tikaman pada bahagian kiri perut mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya melalui kenyataan.

    Berdasarkan soal siasat, katanya, saksi mendakwa ketika kejadian mangsa mabuk dan berlaku perselisihan faham sehingga dicederakan dua rakan sekerja yang kemudian melarikan diri selepas kejadian.

    Bertindak atas maklumat, katanya, polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 24 dan 28 tahun di kawasan Sungai Buloh pada jam 12.35 tengah malam tadi.

    “Susulan penahanan itu polis menemukan dua pisau di kawasan kilang berkenaan yang disyaki digunakan dalam kejadian berkenaan.

    “Keputusan bedah siasat juga mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada abdomen akibat ditikam objek tajam sehingga kehilangan banyak darah,” katanya.

    Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    BH Online

  • Tiga pekerja bina lebuh raya maut tertimbus tanah

    MACHANG — Tiga pekerja warga Bangladesh maut selepas tertimbus tanah ketika sedang membina tapak pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong, tengah hari tadi.

    Saksi kejadian, Anies Asiykin Ariffin, 29, berkata kira-kira jam 12 tengah hari tadi, dia yang baru sahaja selesai memasak di dapur untuk hidangan tengah hari sebelum mendengar jeritan beberapa pekerja di tapak pembinaan berkenaan.

    Katanya, sebelum itu, dia ternampak beberapa pekerja berlari ke arah pemandu mesin pengorek sambil menunjukkan ke arah tempat mangsa tertimbus.

    “Jarak rumah saya dengan lokasi kejadian adalah 50 meter dan pada ketika itu tidak memikirkan sesuatu yang pelik sehinggalah diberitahu biras, Siti Rohani Setapa, 38, ada pekerja tertimbus dalam timbusan tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

    Katanya, kesemua mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 30-an dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang.

    BH Online

  • Kerajaan tanggung subsidi diesel lebih RM1 bilion sebulan – Anwar

    KUALA LUMPUR — Kerajaan dijangka menanggung perbelanjaan subsidi diesel secara purata melebihi RM1 bilion sebulan atau bersamaan RM14 bilion bagi tahun ini.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbelanjaan itu diunjur berdasarkan senario semasa.

    “Selanjutnya, jumlah keseluruhan subsidi yang telah ditanggung oleh kerajaan ke atas produk diesel bagi 2018 sehingga 2022 adalah melebihi RM35 bilion.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.9 bilion dibelanjakan untuk super subsidi diesel sektor perikanan dan hampir RM1 bilion bagi pengangkutan awam.

    “Manakala bagi sektor kenderaan barangan, tidak diperuntukkan harga super subsidi memandangkan harga belian diesel adalah sama dengan harga runcit diesel di stesen minyak,” katanya dalam jawapan bertulis yang diterbitkan di laman web Parlimen semalam.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah subsidi diesel yang dibelanjakan setiap tahun bermula 2018 sehingga kini.

    Ia sama ada membabitkan sektor perikanan, kenderaan perdagangan dan persendirian termasuk mahu kerajaan memberi pencerahan, apakah impak kepada kedudukan kewangan negara sekiranya subsidi diesel diteruskan.

    Perdana Menteri berkata, tujuan pemberian subsidi itu adalah bagi mengelakkan pengguna terkesan dengan kenaikan harga pasaran sebenar produk petroleum di peringkat global.

    Ketika ini, beliau berkata harga jualan runcit diesel ditetapkan pada kadar RM2.15 seliter ketimbang harga pasaran iaitu RM3.75 seliter.

    BH Online

  • Ramasamy diarah bayar RM1.52 juta kerana fitnah Dr Zakir Naik

    KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy membayar RM1.52 juta kerana memfitnah pendakwah dari India, Dr Zakir Naik dalam tempoh 30 hari.

    Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas mendapati Dr Zakir selaku plaintif berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan bekas pemimpin DAP itu, empat tahun lalu.

    Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan maaf kepada Dr Zakir dan menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk prosiding pendengaran berhubung isu terbabit.

    Ketika membaca keputusan penghakiman, Hayatul Akmal berkata, mahkamah mendapati Ramasamy gagal membuktikan kewajaran penerbitan kenyataannya terhadap Dr Zakir.

    Menurutnya, kenyataan berbaur dendam dengan niat jahat ini berlaku lebih tiga tahun, iaitu bermula 10 April 2016 hingga 8 November 2019.

    “Hujahan pembelaan Ramasamy tidak boleh dipertahankan kerana tiada bukti kukuh untuk mewajarkan kenyataan fitnah itu.

    “Mahkamah mendapati plaintif berjaya memenuhi elemen sama ada pernyataan yang disangkal bersifat fitnah, merujuk kepadanya dan diterbitkan kepada pihak ketiga,” katanya.

    Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di Nigeria untuk majlis ceramah sehingga 5 November.

    Justeru itu katanya, Dr Zakir menghadiri prosiding ini secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

    Selain Akberdin, Dr Zakir turut diwakili peguam, Datuk Sulaiman Abdullah, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie, Mohd Reza Mohd Rafie dan Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.

    Sementara Ramasamy yang memakai kot hitam hadir dengan diwakili peguam, Datuk Murali Navaratnam, Razlan Hadri, Navpreet Singh dan Felix Lim.

    Ketika ditemui di luar mahkamah, bekas pemimpin politik itu berkata, pihak peguam akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.

    “Saya tidak gembira, fakta merujuk kepada satu perkara sahaja, namun sama ada kenyataan itu fitnah atau tidak, ia suatu isu lain.

    “Mahkamah memutuskan bahawa lima kenyataan saya ialah memfitnah, mungkin saya tidak bersetuju dengan perkara itu,” katanya.

    Pada Oktober dan Disember 2019, Dr Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

    Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.

    Dr Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi sebagaimana yang didakwanya pelarian dari India.

    Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, diterbitkan portal berita, pada hari sama.

    Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.

    Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019.

    BH Online

  • MALBATT 850-11 tidak terbabit konflik Israel-Palestin

    SUBANG — Batalion Malbatt 850-11 yang dihantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Lubnan, adalah untuk melaksanakan misi pengaman dan kemanusiaan di negara berkenaan dan tidak terbabit dalam konflik antara Palestin dan Israel.

    Penghantaran 854 pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM bersama 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Brunei itu akan menggantikan misi yang telah dilaksanakan oleh Malbatt 850-10.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembabitan ATM dalam misi-misi di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini adalah satu bentuk pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM.

    “Setakat ini situasi keselamatan pasukan pengaman kita (ATM) boleh dianggap terkawal selepas kedudukan dua kem Malbatt 850, di Tibnin dan Marakah di Lubnan, berada jauh dari kawasan sempadan antara Lubnan dan Israel.

    “Berbanding kem yang diduduki oleh pasukan pengaman dari lapan negara yang turut ditugaskan di Lubnan, kedudukan kem Malaysia di bahagian belakang pasukan pengaman yang bertugas di sempadan.

    “Justeru boleh dikatakan risiko keselamatan terhadap ancaman dan serangan agak kurang namun Malbatt 850-11 diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam melaksanakan penugasan mereka,” katanya dalam Majlis Penghantaran kumpulan pertama Batalion Malbatt 850-11 di Subang, hari ini.

    Mengulas mengenai situasi keselamatan Malbatt 850-10 yang akan kembali ke tanah air dalam masa terdekat selepas melaksanakan penugasan selama 12 bulan, Mohamad berkata terdapat beberapa situasi berlaku sejak konflik Palestin dan Israel bermula pada 7 Oktober lalu.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima sejak konflik Palestin dan Israel bermula, pegawai dan anggota kita (ATM) akan bersembunyi dalam kubu di kem masing-masing apabila terdapat amaran serangan.

    “Namun ia tidak membabitkan sebarang kejadian buruk,” katanya.

    Mohamad berkata, penghantaran Batalion Malbatt 850-11 ini adalah seperti yang dijadualkan selepas pelaksanaan misi kemanusiaan Batalion 850-10 berakhir selepas 12 bulan berada di Lubnan.

    “Jangan pula ada yang anggap dan kata tujuan penghantaran Malbatt 850-11 ini adalah untuk terbabit sama dalam situasi konflik antara Palestin dan Israel, itu tidak benar,” katanya.

    Beliau berkata pembabitan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab tugas pengaman dan memberi bantuan kemanusiaan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan.

    BH Online

  • Penghantaran pertama bantuan kemanusiaan untuk Palestin, esok

    KUALA LUMPUR — Penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish Mesir melalui penerbangan kargo, pada jam 9 malam esok.

    Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari, berkata penghantaran pertama itu membabitkan keperluan perubatan dan barangan lain sebanyak 20 tan, sebelum diikuti penghantaran kedua sebanyak 30 tan yang dijadual pada 10 November ini.

    Beliau berkata, 50 tan barangan bantuan kemanusiaan dengan nilai hampir RM7 juta itu berjaya dikumpul menerusi Ops Ihsan oleh 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh 24 jam.

    “Perjalanan bantuan tersebut akan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish Mesir dan dibawa masuk melalui sempadan Rafah dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

    “Kita jangka barangan itu sampai kepada rakyat Palestin dalam tempoh tiga hingga lima hari bermula esok bergantung kepada kebenaran untuk barang itu masuk ke Rafah,” katanya pada sidang media penghantaran pertama bantuan kemanusiaan Ops Ihsan kepada rakyat Palestin di Gaza di sini, hari ini.

    Pelepasan bantuan kemanusiaan akan disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan ketua perwakilan asing.

    Pada Sabtu dan Ahad lalu, hampir 800 sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat terlibat dalam membantu urusan penerimaan, pengasingan, pengumpulan data hingga kepada penyusunan barangan di dalam kotak yang disediakan di gudang Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) di Sepang, Selangor.

    BH Online memetik Bernama