KUALA LUMPUR — Seorang wanita hampir ‘dijual’ ke Myanmar selepas terpedaya tawaran lumayan sebagai pengasuh oleh pasangan yang mengaku bekerja sebagai konsulat asing di Bangkok, Thailand.
Huda, 41, berkata pasangan terbabit menawarkan upah RM2,000 untuk bekerja kononnya sebagai pengasuh bergerak atau ‘travel nanny’ pasangan itu selama empat hari semasa percutian mereka di negara berkenaan.
Menurutnya, dia mula berasa musykil apabila aplikasi Google Map menunjukkan dia dibawa menaiki kereta selama enam jam daripada Lapangan Terbang Bangkok menuju ke Mae Sot, Tak di Thailand berhampiran sempadan dengan ‘hotspot’ aktiviti sindiket di Myawaddy, Myanmar.
“Bila sampai kat pekan Tak itu ada polis sempadan tahan kereta dan minta pasport dan saya nekad minta tolong lalu bertanya jika ada anggota polis yang boleh berbahasa Inggeris.
“Saya beritahu polis itu yang saya ditipu dan ketika itu pemandu kereta paksa saya berikan pasport kepada polis tetapi saya enggan dan bila sudah kelam kabut itu, polis berkenaan tahan kereta kami ke tepi.
“Polis itu menyoal pemandu berkenaan tetapi pemandu itu tidak mengaku, dia kata dia tidak tahu menahu dan tidak pandai berbahasa Inggeris malah pemandu itu juga mengambil wang tunai yang saya bawa berjumlah RM2,000,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Huda berkata, dia menggeletar selepas menyedari dirinya hanya selangkah lagi menjadi tebusan sindiket di Myanmar dan bersyukur diselamatkan polis terbabit
Menurutnya, sepanjang lima tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan itu kali pertama dirinya menempuh detik cemas seperti itu.
Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai pengasuh bergerak di beberapa negara lain dengan mengenakan bayaran RM240 sehari dan mengakui tawaran upah lebih dua kali ganda ditawarkan pasangan itu sedikit mengaburi matanya.
“Selalunya saya caj RM240 sehari tetapi pasangan ini tawarkan kepada saya RM2,000 secara ‘lump sum’ untuk kerja selama empat hari malah kesemua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan semuanya ditanggung.
“Saya ada iklan perkhidmatan saya di media sosial dan pasangan itu hubungi saya menerusi WhatsApp lalu mereka menemubual saya menggunakan aplikasi Zoom.
“Pasangan berkenaan bercakap dalam bahasa Indonesia, dan mereka menjawab soalan yang saya tanya dengan jawapan yang masuk akal,” katanya.
Menurutnya, dia bertolak ke Bangkok pada 13 Oktober dan dimaklumkan oleh pasangan berkenaan ada seseorang akan menyambutnya di lapangan terbang sebelum dibawa berjumpa pasangan itu.
Katanya, sejurus mendarat seorang lelaki berpakaian seragam dipercayai salah satu agensi pihak berkuasa Thailand menyambut ketibaannya dan membawanya ke sebuah syarikat pelancongan.
“Saya syak lelaki berkenaan pegawai kastam berdasarkan uniform, tag dipakainya dan kehadirannya menyambut saya di kawasan sebelum kaunter pemeriksaan imigresen.
“Disebabkan itu, saya memilih untuk pulang ke Malaysia menggunakan tren kerana khuatir identitinya dikenali jika pulang menggunakan kapal terbang,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata sindiket perdagangan manusia itu kini menggunakan pelbagai helah.
Katanya, orang ramai diminta berhati-hati dengan sebarang tawaran pekerjaan terutama membabitkan negara jiran seperti Thailand dan Myanmar.
BH ONLINE