KOTA BHARU — Seorang pegawai pemasaran kosmetik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel, di sini, Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Ferrul Azieman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ketika kejadian di sebuah hotel di sini antara jam 3.58 pagi hingga 6 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh diwakili peguam, Nasrul Nazmi Nik Muhammad.
Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon tertuduh diberi jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.
Bagaimanapun, Nasrul Nazmi pula meminta jaminan minimum dikenakan kerana anak guamnya akan patuh dengan peraturan mahkamah dan tidak mengganggu mangsa memandangkan tertuduh tinggal di Gombak, Selangor.
Mahkamah kemudian menawarkan RM15,000 jaminan dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Gombak setiap dua bulan, selain 14 November ditetapkan bagi sebutan semula kes.
BH ONLINE