KANGAR – Empat lelaki termasuk dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki 240,000 biji mercun bola bernilai RM35,000 di sebuah rumah, minggu lalu.
Lans Korporal E Lohindran, 32, Koperal Mohd Hisyamuddin Ahmad Mispha, 37, Nurrul Azizol Mohamad, 40, dan Fairul Izwan Abdul Aziz, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh bersama suspek yang masih bebas didakwa memiliki bahan letupan iaitu 80 bungkusan plastik hitam mengandungi 240,000 biji mercun bola tanpa kebenaran di Taman Kemajuan, jam 4.30 petang pada 15 Mac lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967 (Akta 207) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor S Mageswaran, manakala Lohindran dan Mohd Hisyamuddin diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim mewakili Nurrul Azizol dan Fairul Izwan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula.
BH ONLINE