GAZA/JERUSALEM – Pergerakan Islam Palestin Hamas pada Sabtu membebaskan kumpulan kedua tebusan Israel, empat wanita yang diterima oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di bandar Gaza.
Saksi tempatan memberitahu Xinhua berpuluh-puluh militan Hamas dan Jihad Islam Palestin menghantar empat tebusan itu kepada ICRC di Dataran Palestin di bandar Gaza.
Liri Albag, Karina Ariev, Daniella Gilboa dan Naama Levy telah diserahkan kepada ICRC di Gaza, kata Hamas dalam satu kenyataan akhbar.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Agensi Keselamatan Israel (ISA) mengesahkan pembebasan empat tebusan askar wanita Israel terbabit.
Empat pemerhati tentera Israel berusia 19-20 tahun itu diculik oleh Hamas dari pangkalan pengawasan tentera Israel di Nahal Oz pada 7 Okt 2023, dekat sempadan Semenanjung Gaza.
Pemindahan tebusan dari Hamas ke ICRC di Gaza disiarkan secara langsung di Kan TV News milik negara Israel dan media terkemuka Israel dan antarabangsa yang lain. Keempat-empat mereka, yang cedera semasa penculikan, kelihatan dalam keadaan sihat, berjalan dan tersenyum.
Pembebasan tebusan ini adalah sebahagian daripada fasa kedua pertukaran tahanan-tebusan antara Hamas dan Israel, yang dilaksanakan di bawah syarat awal perjanjian gencatan senjata.
Peringkat pertama gencatan senjata selama enam minggu berkuat kuasa pada 19 Januari.
Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel dicapai selepas 15 bulan pertempuran sengit, hasil rundingan ditengahkan oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.
XINHUA