SANAA – Pejuang Houthi Yaman mendakwa mereka menyerang Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv dengan peluru berpandu balistik jarak jauh pada pagi Khamis.
“Pasukan peluru berpandu menjalankan operasi ketenteraan kualitatif yang menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv. Operasi itu dilakukan oleh peluru berpandu balistik hipersonik dan berjaya mencapai matlamatnya,” kata jurucakap tentera Houthi Yahya Sarea dalam kenyataan disiarkan oleh TV al-Masirah dikendalikan Houthi.
Sementara itu, beliau mendakwa kumpulannya awal pagi tadi melancarkan serangan baharu terhadap kapal induk USS Harry Truman di utara Laut Merah, kali kelima sejak Sabtu, menggunakan beberapa peluru berpandu balistik dan pelayaran serta dron.
Beliau berkata, serangan ke atas kapal pengangkut pesawat AS itu sebagai membalas dendam atas serangan udara intensif ke atas kemudahan awam di ibu kota Sanaa dan beberapa wilayah utara sejak Sabtu, apabila Presiden AS Donald Trump mengumumkan penyambungan semula serangan udara terhadap kumpulan Houthi untuk memaksanya berhenti menyerang bandar Israel, kapal Israel dan kapal perang AS di Laut Merah.
Tiada sebarang komen daripada Israel atau pihak AS.
XINHUA