KOTA BHARU — Seorang kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 10 hari lalu.

Isterinya, Nurul Ain Muhammad Mudzafar, 39, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan suaminya, Faizal Ahmad, 39, pada petang 16 Ogos lalu, sebelum mangsa keluar bekerja pada jam 4.30 petang.

Katanya, pada awalnya dia beranggapan suami perlu bekerja luar kawasan yang biasanya mengambil masa empat ke lima hari sahaja, namun kali ini berbeza kerana tempoh lama selain langsung tidak dihubungi.

“Sebelum ini saya beberapa kali cuba menghubungi Faizal tetapi tidak berjaya selain pergi ke pejabat tempat dia bekerja dan bertanya sahabat serta saudara mara, namun semua tidak mengetahui keberadaan suami saya.

“Saya dan keluarga kemudian membuat laporan polis semalam, selain berpakat menghebahkan kehilangan suami di media sosial Facebook, dengan harapan ada yang boleh memberi maklumat mengenainya.

“Kali terakhir, dia dilihat berada di Istana Balai Besar Kelantan dengan menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz bernombor plat DDU 4787 selain berpakaian seragam JPS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Ain yang kini sedang sarat mengandung enam bulan berkata, lebih menyedihkan apabila anak pertamanya yang berusia enam tahun setiap hari menangis bertanya bapanya kerana mereka berdua sangat rapat.

“Suami saya seorang yang sangat baik dan setahu saya, dia tidak ada musuh. Saya tidak dapat tidur lena memikirkan bagaimana keadaannya sekarang memandangkan banyak berlaku kes kehilangan orang sejak kebelakangan ini.

“Besar harapan saya semoga suami saya dapat segera ditemui dalam keadaan selamat kerana saya dan anak sangat merinduinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes berkenaan jam 11.42 pagi, semalam.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai Kes Orang Hilang (OH) dan kes masih dalam siasatan.

BH ONLINE