KEPALA BATAS – Koperal yang tertembak diri sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Selasa lalu mempunyai masalah peribadi termasuk kewangan.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad, berkata perkara itu dikesan hasil siasatan dijalankan dan seramai sembilan individu sudah di ambil keterangan berkaitan kes terbabit.
Menurutnya, keterangan itu membabitkan beberapa anggota polis yang membuat laporan termasuk yang bertugas pada hari kejadian, bekas isteri dan rakan mendiang, pakar perubatan forensik serta pegawai perubatan yang merawat mangsa.
“Mendiang selamat disemadi dan pada masa sama siasatan kes (berjalan) apabila kita telah merekodkan keterangan daripada beberapa individu untuk proses seterusnya.
“Berdasarkan siasatan, punca mendiang bertindak sedemikian adalah kerana masalah peribadi dan berkaitan kewangan,” katanya ketika ditanya berhubung perkembangan kes berkenaan.
Terdahulu, Hamzah ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, malam tadi.
Selasa lalu, media melaporkan Koperal A Francis, 58 yang bertugas di cawangan Kem Komandan itu, ditemukan cedera di bahagian kepala di bilik pengawal pada jam 6.12 petang.
Anggota berkenaan mengalami cedera parah di kepala akibat tertembak diri sendiri dengan sepucuk senjata jenis pistol dan kes disiasat mengikut Seksyen 39, Akta Senjata 1960.
Bagaimanapun, koperal terbabit dilaporkan meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
BH ONLINE