KUCHING — Seorang lelaki yang hilang ketika memeriksa pukat yang dipasangnya di tebing sungai di Batu 4, Kuala Baram, di Miri dikhuatiri disambar buaya.

Minggu anak Ikum, 59, dikatakan turun ke tebing sungai itu petang tadi, namun tidak kembali ke rumah sehingga jam 5 petang.

Sumber berkata, anaknya kemudian memeriksa di lokasi mangsa memasang pukat, selepas cubaannya menghubungi telefon bimbit mangsa sebelum itu gagal.

“Setibanya di lokasi pukat itu, anak mangsa hanya menemui barang milik mangsa di tebing sungai.

“Pukat milik mangsa juga didapati koyak dan kesan buaya ditemui di tebing sungai,” katanya.

Berikutan itu, anak mangsa memaklumkan kepada penduduk kampung dan mereka mula mencari di kawasan sekitar.

Selepas gagal mengesannya, anak mangsa membuat laporan polis sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihubungi pada jam 5.55 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong diarah ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.

“Anggota bomba bersama orang awam membuat pencarian di sekitar tebing sungaidalam radius satu kilometer, namun mangsa masih gagal ditemui.

“Operasi pencarian ditangguhkan pada jam 7.28 malam disebabkan faktor cuaca gelap dan pencarian akan disambung semula pagi esok,” katanya.

BH ONLINE