CANBERRA — Seorang lelaki maut dan seorang wanita dimasukkan ke hospital selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Wilayah Utara (NT) Australia.

Lelaki berusia 63 tahun dan wanita 29 tahun itu sahaja dalam pesawat terbabit yang terhempas di kawasan rekreasi kira-kira 50 km tenggara Darwin pada Ahad.

Polis, Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan NT berkata dalam satu kenyataan pada malam Ahad, kemalangan itu dilaporkan kepada polis pada kira-kira 10:20 pagi waktu tempatan.

Perkhidmatan kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian di mana juruterbang berusia 63 tahun itu ditemui mati di dalam pesawat.

Wanita itu ditarik tanpa cedera dari pesawat oleh pasukan helikopter dan dibawa ke hospital untuk penilaian.

Akhbar News Corp Australia melaporkan pesawat itu adalah pesawat microlight dan seorang saksi melihatnya terbang rendah sejurus sebelum nahas.

Saksi berkata, pesawat itu terhempas ke dalam air di Empangan Fogg, yang dihinggapi buaya dan ular sawa air.

Polis NT mewujudkan tempat kejadian jenayah di lokasi nahas dan telah memulakan siasatan.

XINHUA