GERIK — Luluh hati seorang isteri apabila menyaksikan sendiri suaminya diserang dan diseret harimau masuk kawasan hutan Bersia di sini, awal pagi tadi.

Ketika kejadian sekitar 5 pagi, suami wanita itu hendak ke tandas di kawasan rumah kongsi mereka di hutan itu.

Susulan serangan haiwan liar itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata gerakan mencari yang dilancarkan menemui mayat mangsa berumur 54 tahun dalam keadaan parah pada kaki kiri dan leher jam 12 tengah hari, kira-kira 100 meter dari rumah kongsi mereka.

Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Gerik) menerima maklumat kejadian serangan harimau di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, jam 8.25 pagi tadi.

“Maklumat diterima berkaitan kejadian seorang lelaki tempatan telah dibaham harimau ketika hendak ke tandas di rumah kongsi Bagan Balak di KM79.2 JRTB Gerik-Jeli dengan perkara itu disaksikan seorang wanita warga Thailand yang juga isteri mangsa.

“Isteri mangsa terdengar harimau mengaum dan membuka pintu rumah kongsi mereka sebelum melihat harimau mengheret suaminya ke semak,” katanya dihubungi hari ini.

Azizi berkata, Ketua Balai Bersia bersama tiga anggota balai itu dibantu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Gerik serta 10 anggota Perhilitan ke lokasi jam 10.30 pagi tadi bagi melakukan siasatan serta memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, media melaporkan Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff mengesahkan penerimaan aduan berhubung seorang lelaki diserang binatang buas di kawasan hutan dekat Bersia, hari ini.

BH ONLINE