SEREMBAN — Ibarat babak dalam filem aksi – Itu gambaran kejadian sebuah kereta jenis Honda City terjunam dari ruang parkir di tingkat satu Terminal 1, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketika kejadian jam 12.30 tengah hari, seorang lelaki berada dalam kenderaan terbabit.

Saksi kejadian yang enggan namanya dikenali berkata, dia kebetulan berada di lokasi terdengar bunyi dentuman kuat lalu menoleh dan mendapati sebuah kereta terbalik atas jalan.

“Beberapa orang awam mendekati kereta berkenaan dan terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di tempat duduk pemandu.

“Tidak tahu kecederaannya, cuma nampak kepalanya berdarah. Sebuah lagi kereta turut terbabit, tetapi tiada pemandu dalamnya kerana hanya diparkir di kawasan itu,” katanya ketika ditemui.

Saksi sama berkata pagar penghadang turut dilihat di lokasi dipercayai terjatuh dari tingkat satu dipercayai selepas dirempuh kereta jenis Honda City itu.

“Pemandu Honda City dibawa ke hospital oleh orang awam menggunakan kereta. Nampak dia masih lagi boleh berjalan ketika dibawa ke kereta untuk ke hospital.

“Satu lagi kereta iaitu jenis Proton Saga pula hanya rosak bahagian hadapan. Itu yang dilihat dari luaran sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan kejadian itu dan sudah menerima laporan.

BH ONLINE