PUTRAJAYA — Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes berkenaan.

Keputusan sama turut dicapai Datuk Azhahari Kamal Ramli, namun Hakim Datuk Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel itu memutuskan penghakiman berbeza.

Sehubungan itu, panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.

Mahkamah turut menetapkan 13 Januari depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim berlainan.

BH ONLINE