JELI – Padah mengubah suai mercun dengan memasukkan belerang ke dalam botol bersama batu kerikil, tiga pelajar sebuah sekolah agama di sini cedera dan melecur termasuk seorang putus jari tangan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang tadi ketika tiga pelajar berusia 15 dan 16 tahun itu bermain mercun yang diubah suai mereka di asrama lelaki sekolah terbabit.
Susulan kejadian itu, ketiga-tiga pelajar terbabit kemudian dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun, mengesahkan kejadian itu.
Berdasarkan siasatan, katanya kejadian dipercayai berlaku di dalam sebuah asrama lelaki di sebuah sekolah agama di sini.
“Semasa kejadian, semua mangsa dipercayai mengubah suai mercun dengan memasukkan belerang ke dalam sebuah botol bersama batu kerikil untuk dijadikan mercun.
“Akibat tindakan itu, mangsa cedera dan melecur di beberapa bahagian badan. Salah seorang daripadanya yang berusia 16 tahun putus jari tangan sebelah kiri.
“Semua mangsa sedang menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Jeli,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Kamarulzaman menasihatkan orang ramai berhati-hati dan sentiasa memantau aktiviti anak-anak dalam menyambut perayaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Difahamkan ini kes ketiga membabitkan kecederaan akibat mercun dilaporkan berlaku sepanjang Ramadan tahun ini.
Sebelum ini, dua beradik di Kuala Nerang dilapor cedera dan melecur dengan seorang parah selepas bermain mercun bola di halaman rumah mereka di Kampung Baru, Kuala Nerang, Kedah.
Dalam kejadian 18 Mac lalu itu, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, cedera teruk selepas semua jarinya hingga pergelangan tangan kiri hancur, selain bawah pipi kanan terkoyak. Sementara adiknya, Muhammad Aiman Naufal yang berusia empat tahun turut cedera.
Terdahulu, pada 14 Mac lalu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera parah pada dua jari kanan selepas mercun bola meletup sebelum sempat dilempar di Machang, Kelantan.
Kejadian berlaku di Batu 23 Jalan Sawmill, dekat Labok, dengan remaja itu cedera pada jari telunjuk dan jari hantu.
BH ONLINE