KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menghentikan pertumpahan darah dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza.
Wisma Putra dalam satu kenyataan turut mengutuk serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, khususnya di Rafah yang meragut lebih 600 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh tiga hari.
“Pembunuhan beramai-ramai dan jenayah genosid ini membuktikan keangkuhan rejim Zionis Israel yang terus mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia serta prinsip kemanusiaan sejagat.
“Serangan kejam ini bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah menghancurkan usaha diplomatik ke arah perdamaian.
“Ia sekali lagi menunjukkan niat jahat Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin tanpa belas ihsan,” katanya, di sini hari ini.
Menurut Wisma Putra, Israel mesti dipaksa mematuhi undang-undang antarabangsa, menghormati resolusi PBB dan kembali ke meja rundingan.
“Malaysia akan terus memperhebat usaha diplomatik melalui kerjasama dengan OIC, Liga Arab, dan rakan antarabangsa bagi menamatkan konflik ini serta memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.
BH ONLINE