TANGKAK – Seorang lagi mangsa nahas kereta dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berhampiran Estate Gunung Ledang, malam tadi meninggal dunia menjadikan tiga mangsa maut setakat ini.

Mangsa terbaru itu membabitkan penumpang SUV berusia 61 tahun, Lim Yong Chia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tangkak.

Sebelum itu, dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah pemandu kereta, Zamri Norudin, 53, dan penumpang, Aris Saadon, 56.

Empat lagi mangsa masing-masing penumpang Proton Saga dan pemandu serta penumpang SUV terbabit cedera.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata kemalangan berlaku pada jam 9.55 malam di Kilometer 45, Jalan Muar – Segamat membabitkan Proton Wira dan SUV jenis Toyota Harrier.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta terbabit dalam perjalanan dari Segamat menghala ke Kluang.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar sebatang tiang lampu di tengah pembahagi jalan.

“Selepas pelanggaran itu, kereta terbabit memasuki laluan bertentangan lalu bertembung SUV,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat pertembungan itu, pemandu dan penumpang kereta maut di tempat kejadian manakala penumpang SUV meninggal ketika menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Faszrulhaq Zulkapli di talian 012-2306943 bagi membantu siasatan,” katanya.

BH ONLINE