JOHOR BAHRU — Seorang pegawai dan tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditempatkan di unit tidak aktif sementara siasatan kes pemerasan ke atas mereka berjalan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata keempat-empat individu itu ditahan sebaik saja laporan diterima pada 28 Ogos lalu dan sudah dilepaskan dengan jaminan polis.
“Kita sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Keempat-empat suspek sudah ditangkap untuk siasatan lanjut dan memandangkan siasatan masih berjalan, suspek ditempatkan di unit yang tidak aktif.
“Kita sedang mengumpul bukti dan sekiranya dapat bukti yang diperlukan, kertas siasatan seperti biasa akan dirujuk ke Bukit Aman dan seterusnya kita serahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, selain siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, polis juga menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan proses itu akan dikendalikan secara telus serta tindakan tegas dari sudut perundangan akan diambil sekiranya ada bukti.
Rabu lalu, seorang peniaga difahamkan membuat laporan polis jam 4.15 pagi, kira-kira 12 jam selepas mendakwa didatangi dua lelaki memperkenal diri sebagai pegawai polis, dekat Austin Height.
Pengadu mendakwa, dua individu itu mengambil telefon bimbit mereka sebelum dibawa dengan sebuah kereta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam. Di situ, dua lagi pegawai polis memberitahu mereka terbabit sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia.
Mereka juga mendakwa diminta membayar RM150,000 jika ingin menyelesaikan kes sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM45,000. Pengadu dan rakan membayar RM30,000 yang ada bersama mereka sebelum dibawa ke bank untuk mengambil baki RM15,000 dan selepas itu dibebaskan.
BH ONLINE