LANGKAWI – Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita pada 2023.
Tertuduh, Raziamean Razali, 39, yang berpangkat Laskar Kanan Maritim bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah rumah di Tanjung Mali Pantai Chenang, Langkawi, pada jam 3.13 petang 10 Oktober 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqlima Azizi, manakala tertuduh diwakili peguam, V Rajadevan.
Pada prosiding hari ini, Aqlima meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau menghubungi pengadu.
Bagaimanapun, Rajadevan menganggap permohonan pendakwaan itu sebagai tidak wajar memandangkan tertuduh adalah pegawai kerajaan yang masih bertugas dan tidak akan menghilangkan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu, menghampiri dan menghubungi pengadu.
Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Mei depan untuk proses serahan dokumen.
Pada Januari lalu, media melaporkan seorang ibu tunggal berusia 40 tahun mendakwa kerugian lebih RM300,000 kerana terperdaya dengan janji manis dan menjadi mangsa pukul bekas teman lelakinya sehingga cedera.
BH ONLINE