BATU PAHAT — Pelajar sebuah madrasah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan meliwat junior dalam sebuah stor, bulan lalu.
Tertuduh berusia 15 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa berusia 13 tahun di sebuah madrasah dalam daerah ini, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi, 8 Julai lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa ketika itu sedang tidur dalam bilik sebelum didatangi tertuduh sambil membawa sebilah pisau.
Mangsa terjaga dan mendapati pisau berada di lehernya dengan tertuduh memintanya mengikuti arahan termasuk ke sebuah stor.
Bimbang sesuatu berlaku, mangsa akur dengan arahan itu dan sebaik tiba di stor, tertuduh bertindak melakukan perbuatan terkutuk.
Selepas kejadian itu, mangsa memberitahu pihak pengurusan madrasah yang kemudiannya menghubungi bapanya.
Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada keesokan hari dengan tertuduh ditahan hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Azlan Bohari.
Dengan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 25 September depan untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan laporan akhlak serta fakta dan perintah dikenakan terhadap tertuduh kelak.
Pada masa sama, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
BH ONLINE