KUALA LUMPUR – Pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi di Kure Kosen, Hiroshima, Jepun dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi sejak Isnin lalu.
Difahamkan, pelajar yang dikenali sebagai Hannani berusia 21 tahun dipercayai meninggalkan kampus pada tengah hari Isnin lalu dan sehingga kini masih belum pulang.
Berdasarkan maklumat tular, pihak kedutaan serta Imigresen Jepun sudah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.
Setakat ini, pihak kampus mengesahkan bahawa Hannani yang meninggalkan Kure Kosen masih belum kembali ke asrama.
Difahamkan, mereka juga sudah menghubungi polis dan usaha menghubungi Hannani melalui LINE, Messenger serta WhatsApp juga tidak membuahkan hasil.
“Kami juga sudah memeriksa biliknya dan mengesahkan dia membawa pasport serta dompet. Kini, kami sedang cuba menghubungi pelajar Malaysia lain di Kosen.
“Sekiranya ada sebarang maklumat, sila hubungi kami. Kami juga akan maklumkan jika ada sebarang perkembangan. Maaf atas kelewatan menghubungi tuan/puan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Hannani diminta untuk menghubungi Pegawai Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL) Tokyo, Encik Imran Yusof di talian +81 80-7561-8080 atau Puan Yang Munirah di +60 12-688 8364.
BH juga sedang mendapatkan pengesahan dari pihak kedutaan Malaysia di Jepun berhubung kejadian berkenaan.
BH ONLINE