KOTA BHARU — Seorang penjual air balang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak angkat perempuan di Ketereh, Oktober tahun lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu menghadapi tiga pertuduhan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, melakukan jenayah berkenaan terhadap mangsa berusia 12 tahun 10 bulan ketika kejadian.

Tertuduh didakwa berbuat demikian ketika dia dan mangsa menaiki motosikal di sebuah kampung dan di sebuah rumah di Ketereh.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli yang memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kerana dikhuatiri tertuduh menganggu mangsa.

Mohd Firdaus pula memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga anak dengan pendapatan bulanan RM2,500 sebagai peniaga air balang.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, namun melarang lelaki berkenaan menganggu mangsa dan saksi, selain melapor diri di Balai Polis Kok Lanas setiap bulan serta 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

BH ONLINE