PETALING JAYA – Polis mengesahkan terdapat kandungan dadah dalam badan remaja perempuan, Yap Xin Yuan, yang mayatnya ditemukan reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting pada 28 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini, polis memerlukan laporan pakar forensik untuk mengetahui sama ada jumlah kandungan dadah yang ditemui dalam badan mangsa berusia 15 tahun itu boleh menyebabkan kematian ataupun ada punca lain.

Beliau berkata, ini kerana dadah dalam badan mangsa tidak boleh dikatakan sebagai punca kematiannya.

“Jadi polis masih menyiasat dan mengumpul keterangan lain bagi mengenal pasti sebab sebenar kematian remaja terbabit.

“Ini adalah proses siasatan dan ada kes yang polis siasat boleh selesaikan atau kumpul jumlah keterangan mencukupi bagi pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan.

Hussein berkata, ada kes yang polis memerlukan masa lebih kerana siasatan tidak boleh dilengkapkan dalam tempoh reman.

“Maksimum kita boleh tahan seseorang bagi apa-apa kesalahan hanya dalam tempoh 14 hari, jadi apabila ada keterangan yang tidak dapat dikumpul dalam tempoh itu, kita tidak boleh tahan mana-mana individu lebih daripada itu.

“Walaupun polis beri jamin bukan bermakna dia (suspek) tidak akan dituduh kerana kita masih menunggu dua perkara iaitu laporan forensik dan laporan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, selepas kedua-dua laporan itu diperoleh, polis akan merujuk kembali kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dengan cadangan pertuduhan.

“Jadi jika pihak TPR mendapati keterangan yang ada ini cukup untuk dituduh, maka akan diberi arahan pertuduhan dan itulah prosesnya di mana orang ramai perlu faham.

“Ada kes yang kita boleh tuduh ketika tempoh reman dan ada kes yang mengambil masa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan antara motif yang disiasat membabitkan kematian Xin Yuan.

Kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang, Banting, 28 Disember lalu.

BH ONLINE