PETALING JAYA – Tiga pengedar dadah sudah ditahan polis susulan kematian empat pengunjung konsert PinkFish pada ambang tahun baharu pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Selangor pada 8 hingga 12 Januari lalu termasuk seorang yang ditahan itu berada di konsert ketika kejadian.

Beliau berkata, hasil laporan dari Jabatan Kimia, darah kesemua si mati dan tiga lagi pengunjung yang cedera disahkan mengandungi kandungan dadah.

“Tujuh individu termasuk empat yang meninggal dunia, kandungan darah masing-masing dikesan mengandungi kandungan dadah jenis MDMA atau pil ekstasi. Polis pil itu dibeli dari luar dan ada juga dibeli dalam konsert terbabit.

“Polis hampir menyelesaikan siasatan kes itu. Ketiga-tiga pengedar dadah skala kecil ketika konsert dengan penjualan secara individu termasuk seorang itu yang berada ketika konsert berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2,Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di sini, hari ini.

Hussein berkata, polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak melarang penganjuran konsert tetapi akan mengetatkan syarat dari segi muzik, jumlah pengunjung, tempat penganjuran, keluasan tempat dan kesediaan penganjur menyediakan pasukan ‘first aid’ sekiranya berlaku kecemasan.

“Penganjur juga perlu maklumkan hospital yang berhampiran dan paling penting polis akan meletakkan pasukan narkotik untuk mengelak dan membanteras sebarang penyalahgunaan dadah termasuk pengedaran di dalam konsert,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, polis menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, di sini.

Hussein dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita.

BH ONLINE