TEHRAN – Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Sabtu memecat timbalannya bagi hal ehwal parlimen kerana perjalanan mahal ke Antartika, ketika negara itu bergelut dengan hiperinflasi di tengah-tengah krisis ekonomi yang menggigit.

Foto dikongsi di media sosial sejak beberapa hari lalu menunjukkan bekas naib presiden, Shahram Dabiri, bersama seorang wanita dikenali sebagai isterinya, bergambar dekat kapal persiaran Plancius.

Kapal berbendera Belanda itu telah menawarkan ekspedisi mewah ke Antartika sejak 2009, dengan satu agensi menetapkan harga perjalanan lapan hari pada 3,885 euro setiap orang.

“Dalam konteks di mana tekanan ekonomi terhadap penduduk kekal tinggi… perjalanan santai yang mahal oleh pegawai, walaupun dibayar daripada poket mereka sendiri, tidak boleh dipertahankan dan tidak boleh dibenarkan,” tulis presiden Iran dalam surat diterbitkan Sabtu oleh agensi berita rasmi IRNA, yang menyatakan bahawa Dabiri telah dipecat.

Dabiri, seorang pakar perubatan berusia 64 tahun dan orang kepercayaan rapat Pezeshkian, telah dilantik ke jawatan itu pada Ogos.

Kerajaan berdepan kritikan hebat selepas foto itu diterbitkan, dan beberapa penyokong Pezeshkian menggesanya supaya memecat pegawai itu.

IRNA akhir bulan lalu memetik sumber di pejabat Dabiri sebagai berkata bahawa dia membuat perjalanan itu sebelum dia memegang jawatan kerajaan.

Kontroversi itu adalah satu lagi tamparan hebat bagi Pezeshkian, yang dipilih tahun lalu atas janji untuk memulihkan ekonomi dan memperbaiki kehidupan seharian rakyatnya.

Pada awal Mac, Menteri Ekonominya Abdolnasser Hemmati telah dipecat oleh parlimen di tengah-tengah penyusutan mendadak mata wang negara berbanding dolar dan inflasi yang melambung tinggi.

AN-AFP


Facebook Posts