SUNGAI PETANI – Penuntut lelaki direman enam hari untuk membantu siasatan berhubung kes mencederakan seorang penuntut wanita sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di sini, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, M Kalairasi terhadap suspek yang berusia 19 tahun itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bermula hari ini sehingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Kesiksaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata suspek turut mengalami kecederaan di tangan kanan akibat tertikam pisau ketika bergelut dengan mangsa.
Katanya, suspek kini ditahan di wad dengan pengawasan polis dan akan di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas dibenarkan keluar dari hospital.
“Hasil siasatan polis mendapati mangsa berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan akibat tikaman di beberapa bahagian belakang badan dan leher dan pada hari ini dilaporkan stabil dan sedar.
“Mangsa sudah sedar selepas menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.
“Kita juga sudah merakam keterangan suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Selain itu, Wan Azharuddin berkata, polis turut akan merekod keterangan daripada mangsa selepas mangsa stabil dan beberapa saksi di tempat kejadian untuk polis melengkapkan siasatan,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang penuntut wanita di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah ini cedera parah dipercayai ditikam seorang penuntut lelaki kerana pertengkaran dan tidak berpuas hati dalam isu peribadi di hadapan sebuah tandas di universiti berkenaan.
Mangsa dikatakan dihampiri oleh suspek yang juga bekas teman lelakinya sebelum menikam belakang badan mangsa berulang kali menyebabkan mangsa rebah.
BH ONLINE