PASIR GUDANG – Polis menyelesaikan kes samun berkumpulan dengan tertangkapnya lima suspek termasuk empat warga asing, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata semua suspek berumur 29 hingga 62 tahun itu ditahan susulan kejadian samun berkumpulan dilaporkan berlaku di kawasan Pasir Gudang, kira-kira jam 1 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang mangsa iaitu lelaki warga asing yang ketika itu berada di rumah diserang suspek.

“Mangsa dipukul sehingga cedera pada badan dan barangan peribadi miliknya dirampas sebelum suspek beredar.

“Lebih kurang jam 3.45 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga asing.

“Polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, sekeping dokumen peribadi milik mangsa dan empat keping kad urusan penghantaran wang ke luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil semakan, suspek warga tempatan mempunyai satu rekod jenayah membabitkan dadah dan semua yang ditahan direman empat hari bermula hari ini hingga 28 Januari depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

BH ONLINE