SAO PAULO — Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, dan 12 yang lain ditahan pada Rabu dalam operasi polis yang menyasarkan kumpulan jenayah di kawasan setinggan di utara Rio de Janeiro, kata pihak berkuasa tempatan.

Sekretariat Keselamatan Awam Rio de Janeiro berkata operasi telah dilancarkan untuk memerangi pemerasan dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Comando Vermelho, salah satu kumpulan penjenayah paling berkuasa di Brazil, mencetuskan pertempuran dengan anggota disyaki.

Berbalas tembak menyebabkan tiga suspek penjenayah maut manakala seorang pegawai polis cedera, lapor media tempatan.

Penduduk berkata, anggota kumpulan penjenayah itu menyekat jalan dengan penghadang dan menyapu minyak di atas kaki lima untuk menghalang polis, menurut laporan itu.

Operasi polis memaksa penutupan dua klinik penjagaan kesihatan utama di kawasan itu dan menyebabkan beberapa laluan bas terpaksa dialihkan.

XINHUA