KUALA LUMPUR — Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan kecuaian terhadap anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu positif dadah, minggu lalu.
Bagaimanapun, peniaga berusia 26 tahun dan isteri berumur 21 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah pangsapuri di Jalan Kuang Bertam, Kepong, kira-kira jam 11 pagi 19 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, tidak menawarkan ikat jamin tetapi jika mahkamah membenarkan jaminan, pihaknya memohon setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu saksi.
Peguam, Edwin Thomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili pasangan terbabit, memohon ikat jamin rendah atas alasan kedua-dua anak guamnya menanggung keluarga dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Izralizam kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan, dan menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
BH ONLINE-BERNAMA